Images
  • dr intan
    Anggota Parlimen GRC Ang Mo Kio (Jalan Kayu) Dr Intan Azura Mokhtar. (Gambar: Dr Intan Azura Mokhtar)

KOMENTAR: Pendidikan awal kanak-kanak - tanggungjawab dan amanah bersama keluarga, masyarakat dan Pemerintah

BERITAMediacorp: PENDIDIKAN awal kanak-kanak kini lebih menjadi tumpuan pelbagai pihak, sama ada pihak pemerintah, penyelidik, para ibu bapa, dan juga bagi para usahawan.

Penyelidikan dalam pendidikan awal kanak-kanak sejak hampir dua dekad lalu telah menunjukkan bahawa pendidikan awal kanak-kanak (dari lahir sehingga umur 6 tahun) dapat mengurangkan jurang kematangan intelek dan kebolehan berkomunikasi antara anak-anak dari keluarga yang lebih berkemampuan dan mereka yang kurang berkemampuan.

Jurang awal ini didapati boleh memberi kesan yang agak mendalam dalam kebolehan dan kebarangkalian seseorang anak itu untuk meneruskan pendidikannya sehingga dewasa dan sepanjang hayatnya.

Penyelidikan dalam bidang ini juga telah menunjukkan bahawa interaksi secara lisan antara seseorang anak kecil dengan seorang dewasa yang penting (significant adult), iaitu ibu, bapa, ahli keluarga yang dewasa, atau guru, dalam hidupnya, dapat membentuk perkembangan kognitif anak itu.

Para penyelidik juga telah mendapati bahawa interaksi lisan yang didukung menerusi penggunaan bahan permainan, buku, alat penggunaan harian, dan juga bermain secara berpura-pura (pretend play), dapat membantu kanak-kanak membina perbualan dan kebolehan berkomunikasi, justeru memantapkan penguasaan bahasa dan kecelikan (language and literacy) seseorang anak itu.

PENDIDIKAN AWAL KANAK-KANAK DI SINGAPURA

Pendidikan awal kanak-kanak di Singapura bukanlah sektor yang disediakan secara menyeluruh oleh pihak pemerintah. Ini adalah kerana pendidikan awal kanak-kanak tidak dirangkumi dalam Akta Pendidikan Wajib Singapura.

Secara amnya, sektor ini disediakan oleh pihak swasta walaupun pihak pemerintah menyediakan struktur, rangka kerja dan garis panduan dari segi piawai pendidikan dan pelan utama bagi latihan dan pembangunan profesional para guru, menerusi Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (ECDA), di bawah naungan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).

Antara fokus pihak ECDA adalah untuk memastikan tidak terwujud jurang yang terlalu luas antara pusat-pusat pendidikan awal kanak-kanak yang sedia ada, dan mengawal dan melaraskan piawai pendidikan sektor ini, agar para ibu bapa boleh mendapatkan jaminan bahawa anak mereka akan menerima pendidikan yang setaraf tidak kira pusat pendidikan awal yang mana mereka didaftarkan.

Skim Pengendali Utama (Anchor Operator Scheme), yang dikendalikan oleh pihak ECDA sejak tahun 2009 dan dipertingkatkan pada tahun 2014, menyediakan sokongan pembiayaan bagi pengendali pusat pendidikan awal dan penjagaan kanak-kanak yang tertentu untuk meluaskan pilihan pusat-pusat yang berkualiti, bertauliah dan yang mengenakan yuran yang berpatutan.

Para pengendali di bawah skim ini hanya boleh mengenakan yuran yang tidak lebih dari $720 sebulan bagi penjagaan kanak-kanak seharian, tidak lebih dari $1,275 sebulan bagi penjagaan bayi seharian, dan tidak lebih dari $160 sebulan bagi pendidikan tadika.

Namun demikian, bantuan subsidi bagi keluarga yang kurang berkemampuan juga disediakan oleh pihak pemerintah. Contohnya, Subsidi Penjagaan Kanak-Kanak dan Bayi (Childcare/Infant Care Subsidy) diberikan untuk membiayai yuran yang perlu dibayar di pusat-pusat pendidikan awal dan penjagaan kanak-kanak dan bayi yang berlesen sebagai Pengendali Utama.

Subsidi asas sebanyak $300 dan subsidi tambahan (antara $35 sehingga $440), diberikan kepada keluarga yang mempunyai pendapatan keseluruhan tidak melebihi $7,500 sebulan atau pendapatan per kapita tidak melebihi $1,875 sebulan.

Antara keprihatinan para ibu bapa bukan sahaja dari segi yuran yang perlu dibayar, tetapi juga dari segi mutu pendidikan dan penjagaan yang diberi.

Pusat-pusat yang berlesen sebagai Pengendali Utama juga harus memastikan latihan yang mencukupi dan relevan bagi para pendidik dan guru mereka, dan menggunakan pendekatan pedagogi yang sesuai bagi kanak-kanak yang dijaga dan diajar.

Contohnya, ada antara para ibu bapa yang inginkan pendidikan awal cara tradisional di mana tumpuannya adalah pada kemahiran membaca, mengira dan kebolehan menyelesaikan kertas kerja.

Ada pula sesetengah ibu bapa yang lebih mementingkan pembangunan menyeluruh anak-anak mereka menerusi interaksi sosial, kebolehan berkomunikasi, dan pembelajaran melalui bermain (learning through play).

Justeru, pusat-pusat pendidikan awal dan penjagaan kanak-kanak dan bayi di bawah Skim Pengendali Utama juga harus memberikan pendekatan pedagogi yang pelbagai yang dapat memenuhi keinginan para ibu bapa dan anak-anak mereka.

Ada juga para ibu bapa yang berpendapat bahawa yuran pendidikan awal dan penjagaan kanak-kanak yang tinggi mencerminkan mutu pendidikan dan penjagaan yang diberikan.

Mereka tidak berfikir dua kali untuk membelanjakan wang yang berlebihan untuk mendaftarkan anak-anak mereka dalam pusat-pusat yang mengenakan yuran yang agak tinggi, sehingga mencecah $2,000 atau lebih sebulan untuk seorang kanak-kanak, dengan kepercayaan bahawa mutu pendidikan dan penjagaan di pusat itu lebih bermutu dan lebih intensif.

Oleh kerana tren sebegini, dan kebimbangan yang timbul bahawa yuran yang berlebihan boleh meluaskan lagi jurang antara anak-anak dari keluarga yang berkemampuan berbeza, pihak pemerintah menubuhkan dan mempertingkatkan skim pentauliahan pusat pendidikan awal dan pra-sekolah menerusi Rangka Kerja Pentauliahan Pra-Sekolah Singapura (SPARK).

Rangka kerja ini dapat memastikan piawai yang lebih tinggi, lebih mantap dan lebih konsisten bagi sektor pendidikan awal, pra-sekolah dan penjagaan kanak-kanak dan bayi.

Yang lebih penting adalah pusat-pusat Pengendali Utama, yang mengenakan yuran yang berpatutan, dan yang berjaya mendapatkan pentauliahan SPARK, boleh berdiri sama tinggi dengan pusat-pusat yang mengenakan yuran yang lebih mahal, dan membuktikan bahawa mutu pendidikan dan penjagaaan mereka terjamin dan boleh dibanggakan.

Pada masa yang sama, MSF juga menyediakan program sokongan pembangunan (developmental support program) untuk membantu kanak-kanak yang mungkin ketinggalan dari segi kebolehan membaca, mengira atau berkomunikasi, atau dari segi kemahiran sosial dan motor.

Menerusi program ini, dua aspek sokongan diberikan: (i) sokongan pembelajaran yang diberikan oleh pendidik sokongan pembelajaran (learning support educators); dan (ii) intervensi terapi oleh ahli terapi yang bertauliah bagi kanak-kanak yang memerlukan intervensi awal.

Bagi kanak-kanak yang memerlukan intervensi yang lebih intensif dan berpanjangan, Program Intervensi Awal bagi Kanak-Kanak dan Bayi (EIPIC) disediakan oleh pusat-pusat bertauliah seperti Autusm Resource Centre (ARC), Rainbow Centre, Thye Hua Kwan EIPIC Centre, AWWA Early Intervention Centre, dan sebagainya.

Inisiatif sebegini bermatlamat untuk membantu kanak-kanak yang mempunyai keperluan khas dan yang memerlukan intervensi awal dalam pembelajaran dan pembangunan kognitif, agar mereka tidak ketinggalan begitu jauh, menerima bantuan yang diperlukan, dan dapat membina kebolehan mereka ke tahap optimum masing-masing.

Sebelum kesedaran mengenai peri pentingnya intervensi awal dan sokongan pembangunan awal, kanak-kanak yang mempunyai keperluan khas sering dilabel kanak-kanak yang kurang berdisiplin dan tanggapan sebegini, sama ada dari para ibu bapa atau guru-guru, boleh menyekat potensi kanak-kanak ini untuk mengenali kebolehan sendiri.

PERANAN PIHAK YANG BERKEPENTINGAN

Kita harus akur bahawa kebolehan anak-anak kita tidak hanya bergantung kepada pusat-pusat pendidikan awal dan penjagaan kanak-kanak dan bayi.

Walaupun pusat-pusat ini memberikan pendekatan pedagogi dan penjagaan secara langsung kepada anak-anak kita, yang akan membentuk pembangunan kognitif, sosial dan akhlak mereka, pusat-pusat ini harus mengikut garis panduan dan rangka kerja yang disarankan pihak pemerintah.

Pemerintah juga berusaha untuk memastikan mutu pendidikan yang setaraf dari satu pusat ke satu pusat yang lain.

Pada masa yang sama, para ibu bapa juga memainkan peranan penting dalam pendidikan awal dan pembangunan kognitif, sosial dan akhlak anak-anak mereka.

Interaksi lisan yang konsisten antara para ibu bapa dan anak-anak mereka akan dapat membentuk keyakinan dan kebolehan bahasa dan kecelikan anak itu. Interaksi lisan ini boleh dilakukan pada bila-bila masa dan tidak semestinya menerusi waktu belajar tertentu.

Contohnya, para ibu bapa boleh membawa anak mereka ke taman bunga dan sama-sama berkomunikasi tentang dedaun, pohon-pohon, dan bunga-bunga yang ada di taman itu, tentang peri pentingnya menjaga kehijauan, dan bagaimana pembaziran makanan dan sampah sarap yang berleluasa boleh menyebabkan pencemaran alam.

Dalam hanya satu kegiatan lawatan ke taman bunga, anak itu boleh belajar tentang sains, ilmu alam, dan komunikasi lisan.

Masyarakat juga memainkan peranan dalam pendidikan awal kanak-kanak.

Contohnya, gabungan usaha antara pertubuhan akar-umbi dengan pusat-pusat pendidikan awal dan penjagaan kanak-kanak dalam menjaga alam sekitaran di estet perumahan, atau dalam membantu keluarga susah di kalangan masyarakat kita, akan menerapkan kesedaran alam persekitaran, dan sifat keihsanan dalam jiwa anak-anak kita.

Pendidikan awal kanak-kanak adalah tanggungjawab dan amanah kita bersama, termasuk pihak pemerintah, pihak operator pusat pendidikan awal, pihak swasta yang menyediakan sokongan pembangunan bagi keperluan khas kanak-kanak, para pendidik, para ibu bapa, dan masyarakat majmuk.

Gabungan usaha dan kerjasama antara semua pihak harus diteruskan dengan kesungguhan dan pendekatan yang disasarkan bagi membantu anak-anak kita mencapai potensi pembelajaran dan pembangunan kognitif, sosial dan akhlak yang optimum.

MENGENAI PENULIS:
Dr Intan Azura Mokhtar adalah Anggota Parlimen GRC Ang Mo Kio (Jalan Kayu) dan Naib Pengerusi Jawatankuasa Parlimen Pemerintah bagi Pendidikan 

- BERITAMediacorp/im

Komen Anda?

Top