Images
  • Dr Norshahril Saat
    Dr Norshahril Saat. (Gambar: Dr Norshahril Saat)

KOMENTAR: Pandangan generasi millenial Melayu perlu didengar, jangan herdik mereka

BERITAMediacorp: Apakah golongan millenial golongan ‘tidak dengar kata’ dan ‘mementingkan diri sendiri’ dan mereka tidak suka pemikiran mereka 'dikongkong'? Itulah antara rumusan yang diberikan kepada golongan alaf baru itu. Namun demikian, janganlah diherdik mereka daripada melontarkan pelbagai pandangan baru.

Demikian pandangan Dr Norshahril Saat dalam artikel KOMENTAR ini yang disumbangkan kepada BERITAMediacorp. Zamil ISEAS Institut Yusof Ishak itu malah percaya bahawa masyarakat wajar memberikan sokongan, bukan kongkongan. Mengapa? Ikuti pandangan beliau ini:


(Gambar rakaman Cetusan)

Pada bulan Ramadan yang lalu, saya berpeluang mengikuti satu perbincangan hangat bersama beberapa belia Melayu/Islam kita dalam satu program bertajuk Cetusan! Program anjuran pasukan ehwal semasa Melayu Mediacorp tersebut disiarkan di Suria.

Para panelis—yang terdiri daripada saya, Ustaz Irwan Hadi, Ustaz Zahid Zin—dan para peserta yang lain membincangkan isu-isu sensitif secara terbuka: termasuk isu tudung, bazar Geylang Serai, dan kecenderungan masyarakat Melayu yang meniru budaya Arab (dari segi percakapan, berpakaian, dan juga pemikiran).

Konsep bersembang secara santai sambil membincangkan isu-isu serius seperti yang disebutkan tadi amat dialu-alukan. Proses ini penting dalam kita mahu memahami orientasi pemikiran golongan belia kita. Menariknya, isu-isu dianggap terlalu sensitif, sehingga ada sesetengah pihak kurang selesa membincangkannya secara terbuka. Belia-belia ini sebaliknya tidak berasa gementar menyuarakannya. Syabas!

PERBEZAAN PANDANGAN SUATU YANG LUMRAH

Namun perbincangan secara terbuka itu mendapat respons yang pelbagai daripada masyarakat. Ini jelas kelihatan dalam komen-komen yang dilontarkan di media sosial. Seperti biasa, ada yang setuju dan ada pula yang tidak. Hak untuk berbeza pandangan adalah sebahagian daripada amalan demokrasi.

Adalah aneh jika semua ikut setuju sahaja, sedangkan kita hidup dalam sebuah masyarakat yang majmuk. Perbezaan pandangan adalah lumrah, dan tidak harus dilihat sebagai satu kelemahan dalam masyarakat. Malangnya, komen-komen di Facebook seakan-akan menyekat wacana alternatif dalam masyarakat.


(Gambar Dr Norshahril memberikan pandangan beliau semasa rakaman Cetusan)

Perbincangan dalam episod Cetusan! itu sebenarnya membuka mata dan memantulkan cebisan pemikiran golongan alaf baru masyarakat kita. Golongan tersebut diberi gelaran golongan “millennial”.

Secara jujur, pertama kali saya berbual dengan seorang daripada generasi tersebut beberapa tahun lalu (seorang dalam keluarga besar sendiri) saya juga tersentak dengan perawakan dan orientasi pemikirannya.

Timbul perasaan dalam hati bahawa belia-belia zaman ini sudah tidak “dengar kata” atau suka “mementingkan” diri sendiri. Namun, setelah melebarkan lagi interaksi dengan beberapa belia daripada generasi tersebut, barulah saya faham begitulah sifat mereka.


(Gambar golongan millenial. Gambar: Guillaume Souovant / AFP)

SIAPAKAH GOLONGAN MILLENIAL INI?

Tidak ada takrifan jelas siapakah yang sebenarnya termasuk dalam golongan alaf baru ini. Definisi kasar menyatakan mereka lahir antara pertengahan tahun 1980an hingga pertengahan 2000an. Ini bermakna usia golongan ini sekarang sekitar 20-an hingga 30-an tahun. Bukanlah tujuan saya di sini untuk meletakkan stereotaip terhadap semua belia dalam lingkungan usia tersebut.

Golongan tersebut tidak homogen, dan pandangan saya ini merupakan pengamatan dari kaca mata kasar sahaja. Sebaliknya, sikap golongan yang disebut millenial ini pasti ada dalam lingkungan usia lain.

Bukan juga tujuan saya untuk mengaitkan golongan ini dengan segala sifat-sifat buruk. Sudah menjadi kebiasaan bagi golongan yang lebih tua untuk berbeza pandangan dengan golongan yang lebih muda. Generasi perintis juga pasti pernah bergeser dengan generasi sebelum mereka. Setiap perubahan dalam sekitaran maysarakat pastinya memerlukan penyesuaian.

Sebagai contoh, apabila fenomena Kumpulan Gitar Rancak atau Kugiran, diperkenalkan pada tahun 1960an, generasi sebelumnya yang hanya terdedah dengan lagu-lagu klasik Melayu dan tradisional, seperti dondang sayang, joget dan inang tidak senang dengan muzik irama Pop Yeh Yeh itu.

Pasti ada yang menganggapnya sebagai proses pembaratan. Sementara itu, apabila muzik rok diperkenalkan dalam era 80an, generasi Poh Yeh Yeh pula harus membuat penyesuaian. Sama juga halnya apabila muzik rap diperkenalkan pada tahun-tahun 90an.

FAHAMI SEKITARAN ALAF BARU

Masyarakat belia hari ini didedahkan dengan banyak sumber informasi. Malah, sumber-sumber informasi tradisional sudah kurang dibaca, seperti akhbar dan buku. Generasi hari ini disebut sebagai generasi digital. Salah satu perkara yang saya lihat wujud dalam masyarakat kita ini adalah mereka tidak suka pemikiran mereka dikongkong.


(Golongan millenial di Amerika Syarikat. Gambar: Creditchip Somodevilla/Getty Images North America / AFP)

Apabila mereka disuruh lakukan “A” mereka akan buat “B” dan apabila kita menyuruh mereka membuat “B” mereka akan membuat “C”. Kesannya sudah dilihat di Eropah dan Amerika Syarikat dalam beberapa pilihan raya baru-baru ini. Hampir kesemua calon yang dijangka menang, kalah. Golongan millenial ini pemangkin alaf “kejutan” (the age of shocks).

Apakah kesan cara hidup sebegini dalam pembelajaran di sekolah atau agama? Sebenarnya, isu ini harus dilihat sebagai positif dan bukan sesuatu yang membimbangkan. Generasi millenial ini berpotensi melebarkan ruang diskusi dan mewujudkan regangan intelektual (intelectual stretching).

PENDEDAHAN KEPADA PANDANGAN ALTERNATIF

Golongan belia didedahkan kepada pandangan-pandangan alternatif dalam setiap hal, dan tidak melihat sesuatu isi dalam kaedah hitam-putih sahaja, atau dalam bahasa agama, halal dan haram sahaja. Mereka boleh merujuk sumber-sumber yang mungkin dilihat kurang konvensional, tetapi mereka berusaha mengaitkan ilmu-ilmu yang diperolehi dalam konteks kehidupan masakini.

Bagaimanapun, dalam kita cuba menyemai sifat ingin tahu, masyarakat wajar memberikan sokongan, bukan kongkongan. Mereka harus menggariskan beberapa landasan agama, budaya dan tradisi kita yang tidak harus diperlekehkan.

Misalnya, kita boleh sahaja menerapkan trend-trend masakini. Tetapi perlulah disemai sifat hormati orang tua, gotong-royong, dan kejujuran. Kita juga perlu berwaspada pada anasir-anasir keganasan yang tersebar luas di alam maya, sehinggakan ada juga yang tertarik pada ideologi pengganasan.

JANGAN DIHERDIK GOLONGAN ALAF BARU

Akhir kata, usahlah masyarakat kita mengherdik golongan alaf baru ini daripada melontarkan pandangan-pandangan baru. Peserta-peserta dalam episod Cetusan!, misalnya, memberikan pandangan yang berbeza, tetapi mereka tetap melakukannya secara berhemah dan akrab.

Sebaliknya, mereka yang melontarkan komen-komen tidak sensitif berkenaan perbincangan tersebut perlu belajar daripada peserta-peserta tersebut.

Sebenarnya, perserta-peserta tersebut banyak sekali menyumbang dalam masyarakat, dan ada pula yang mencebur dalam bisnes secara kecil-kecilan.

Di sini, tidak perlu terus menjaga keutuhan masyarakat kita lewat nilai agama dan Melayu semata-mata, tetapi juga dalam masa yang sama, dengan memberi ruang bagi perbezaan pendapat.


MENGENAI PENULIS:

Dr Norshahril Saat ialah Zamil ISEAS - Institut Yusof Ishak. Beliau juga Pensyarah undangan di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Nasional Singapura (NUS).

- BERITAMediacorp/fa

Komen Anda?

Top