Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Orang Melayu bukan sahaja pandai geometri, “mereka makan geometri itu!”

Banyak makanan Melayu sebenarnya menakjubkan. Ada seni dan ada sainsnya. Cuma masalahnya, orang-orang sekarang sahaja yang kurang periksa tentang warisan mereka ini. Jika digali dan dikaji, maka akan terserlah dan terungkaplah pelbagai rahsia daripada gastronomi Melayu yang berusia ratusan tahun. 

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Orang Melayu bukan sahaja pandai geometri, “mereka makan geometri itu!”

Dr Mohd Faizal Musa. (Gambar: BERITAMediacorp)

BERITAMediacorp: Banyak makanan Melayu sebenarnya menakjubkan. Ada seni dan ada sainsnya. Cuma masalahnya, orang-orang sekarang sahaja yang kurang periksa tentang warisan mereka ini. Jika digali dan dikaji, maka akan terserlah dan terungkaplah pelbagai rahsia daripada gastronomi Melayu yang berusia ratusan tahun. Itulah yang terus dikupas Dr Mohd Faizal Musa dalam Bahagian Kedua artikel KOMENTAR beliau tentang aspek makanan atau gastronomi Melayu.

Jika dalam Bahagian Pertama bulan lalu (Feb), Dr Faizal yang juga terkenal dengan nama pena Faisal Tehrani, mengupas tentang rahsia dan keunikan ketupat, kali ini beliau mengupas kearifan geometri Melayu dan kaitannya dengan makanan Melayu. Malah beliau merumuskan, bangsa Melayu adalah bangsa yang sedar sains pemakanan! Artikel ini Dr Faizal tulis untuk BERITAMediacorp:

(Gambar: Petikan skrin dari Youtube)

(Gambar: Petikan skrin dari Youtube)

JIKA fungsi dan sejarah ketupat ternyata cukup melongokan kita, terdapat satu lagi hakikat yang lebih mencengangkan. Makanan Melayu juga menyimpan kearifan bentuk atau secara canggihnya kepintaran geometri. Dalam hal ini malah, kita dapat menghujahkan orang Melayu sudah mempunyai kesedaran mengenai isipadu.

SOALAN PELAJAR IRAN TENTANG SENI BINA MELAYU 

Beberapa tahun lalu, seorang pelajar saya yang berasal dari Iran merungut betapa binaan alam Melayu sangat baharu.

Apabila beliau menjelajah ke Malaysia dan Indonesia dan wilayah Melayu yang lain, apa yang terkesan ialah tiadanya binaan yang dapat bertahan lama kerana orang Melayu membangun dengan kayu-kayan. 

Dalam erti kata lain tiada bentuk seni bina Melayu yang dapat beliau nikmati kerana kebanyakan binaan Melayu diperbuat dari kayu. Maka kayu, lambat laun akan luput dan rosak.

Saya menjawab hal ini benar, kerana pertama; alam Melayu kaya dengan kayu-kayan yang berguna dan tahan. Maka tentu sahaja ia akan dimanfaatkan sepenuhnya.

Keduanya pula, iklim alam Melayu sesuai dengan penggunaan kayu-kayan berbanding binaan batu-bata. Justeru mencari keindahan reka bentuk Melayu pada binaan batu tentu sahaja mengecewakan.

GEOMETRI MELAYU – DARI RUMAH HINGGA MAKANAN

Kita mengetahui tukang-tukang rumah Melayu sememangnya arif dalam menghasilkan pola atau ragam hias yang menakjubkan pada ukiran kayu. Jika penyusunan motif khususnya motif geometri yang mempunyai unsur matematik direnung, kita akan mendapati pandai Melayu dalam ilmu hisab terletak geometri transformasi iaitu translasi, pantulan dan putaran .

Akan tetapi, tidak mahu menghampakan pelajar tersebut, saya membawakan beliau makanan Hari Raya orang Melayu yang kemudian memadam terus kritikan atau kemusykilan bangsa Parsi yang yakin tersebut.

Dalam nada yang terkejut dia melafazkan, “Jadi orang Melayu bukan sangat mengukir atau menukang geometri pada binaan kediaman atau masjid, mereka makan geometri itu!”

(Gambar: BAY ISMOYO / AFP)

(Gambar: BAY ISMOYO / AFP)

Ambil sahaja ketupat, bentuk rombus yang mana sisi empatnya setara antara satu sama lain membawa lambang alamiah; tanah, angin, api dan air . Keistimewaan rombus yang sering dihadirkan dalam bentuk geometri Islam di masjid-masjid Timur Tengah dan Andalusia dikaitkan dengan keadilan kerana ukuran garis yang sama pada tiap penjuru.

Dalam tradisi Islam, rombus dianggap genesis kepada semua huruf-huruf Arab. Ahli khat Arab lazimnya perlu memahiri rombus untuk berlatih menjadi cekap agar strok berus itu akan kelak indah.

KUEH BAHULU, KUIH MEZQUITA

Apabila siswa tersebut dijamu dengan kuih bahulu atau baulu, dia lebih terkesima: “Ini bentuk mezquita yang ada persisnya Mezquita de Córdoba.” Meskipun, tentu lebih selamat kita mengatakan bentuk atau acuan kuih bahulu tersebut adalah meminjam bentuk buah cermai.
“Adakah ini juadah Melayu?”

(Gambar: Bahulu Kasih/ Facebook)

(Gambar: Bahulu Kasih/ Facebook)

Dalam benak saya pantun dengan pembayang ketupat itu menari-nari mengacah:

Burung enggang banyak sekawan,
Minum serbat bertambul baulu;
Abang memohon layunan tuan,
Akan ubat kepala ngilu.

Hikayat Dewa Mendu ditulis oleh pengarang yang tidak dikenali sekitar tahun 1785. Menurut sarjana filologi Melayu tersohor, Braginsky, hikayat ini adalah naratif advencer (adventure) Melayu yang meskipun terdapat banyak pengaruh termasuk India, Jawa, dan Aran-Parsi, tidak syak lagi adalah gubahan semula orang Melayu . Oleh kerana itu, dapat dihujahkan kuih baulu sudah dimakan mengiringi air halia manis (bertambul).

Maksud kuih baulu, atau sesetengah ejaan bahulu adalah ‘kuih dari hulu’. Kuih baulu Melayu terdapat tiga jenis iaitu baulu cermai, baulu lapis dan baulu gulung. Ini berbeza dengan baulu kemboja yang merupakan kuih basah Melayu. Hari ini, kuih baulu yang mendapat jolokan ‘Asian Madeleine’ sangat popular dan dimakan tidak sahaja ketika bulan Syawal.

GEOMETRI PULUT PANGGANG

Jika ketupat berbentuk rombus, baulu berbentuk mezquita; kita akan mengamati Pulut Panggang pula berbentuk segi empat tepat yang leper. Pulut panggang juga adalah salah satu makanan Melayu yang banyak disebut dalam pembayang pantun, yang antara lain adalah:

Pulut panggang digigit liat,
kelekati dalam perahu;
hangus padang boleh dilihat,
di dalam hati siapa tahu.

Tentu sahaja siswa tersebut menilik sungguh-sungguh bentuk lemang yang silinder. Selain menyebut-nyebut bentuk bungkusan nasi lemak yang berupa piramid.

Tanpa menyangkal tafsiran beliau itu, saya menjelaskan perihal ketupat dan ketupat palas yang dijadikan makanan ruji pelaut dahulu kala. Daun kelapa ketat yang mengikat dan membalut nasi padat itu boleh tahan lama kerana tidak dimasuki angin dan ia juga menjadi porsi perseorangan atau tiap individu tanpa perlu merosakkan seluruh nasi jika dimasak dalam periuk .

Seperkara lagi yang menjadi rahsia ketupat ialah balutan daun kelapa atau palas tersebut menjadikan ketupat lebih berbau harum dan membangkitkan selera .

Sama ada benar atau tidak orang Melayu merakam kearifan geometri dan isi padu pada pembungkusan makanan, dan menggunakan kewarasan dan sains untuk mengekalkan makanan sedia ada dari rosak, ia menjadi hujah kuat bahawa orang Melayu sememangnya bangsa yang sedar sains pemakanan.

Laporan Berkaitan:

(Gambar: BERITAMediacorp)

(Gambar: BERITAMediacorp)

MENGENAI PENULIS:
Dr Mohd Faizal Musa atau lebih dikenali dengan nama pena Faisal Tehrani, berusia 42 tahun, ialah seorang pengkaji, novelis terkenal dan pejuang hak asasi manusia dari Malaysia. Beliau kini bertugas sebagai zamil penyelidik di Institut Alam dan Tamadun Melayu.

Pengarang hampir 40 buah buku ini, termasuk lebih 20 buah novel, boleh dinobatkan sebagai salah seorang pemikir yang tajam dalam dunia penulisan Melayu, kerana banyak melontarkan idea-idea baru menerusi karya-karya beliau. Sudah banyak karyanya memenangi pelbagai hadiah persuratan, termasuk Hadiah Sastera dan Anugerah Seni Negara di Malaysia. Novel-novel beliau digunakan sebagai sebagai teks pengajian universiti di negara seperti Jerman.  

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan