Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Mengapa masih wujud fahaman sempit terhadap kaum Hawa

Mengapa pemikiran dan tanggapan yang mempersoalkan keupayaan dan kewibawaan kaum Hawa terus membelenggu minda masyarakat? 

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Mengapa masih wujud fahaman sempit terhadap kaum Hawa

Pustakawan Bersekutu di Lembaga Perpustakaan Negara, Muhammed Shahril Shaik Abdullah. (Gambar: Muhammed Shahril Shaik Abdullah)

Diterbitkan : 03 Feb 2017 08:48AM Dikemas Kini : 03 Dec 2017 07:49PM

Peranan kaum Hawa sering kali tidak diberikan pengiktirafan dan penghargaan yang sewajarnya. Ini meskipun bilangan wanita yang menyandang jawatan berprofil tinggi semakin meningkat. Mengapa pemikiran dan tanggapan yang mempersoalkan keupayaan dan kewibawaan kaum Hawa terus membelenggu minda masyarakat? Muhammed Shahril Shaik Abdullah, Pustakawan Bersekutu di Lembaga Perpustakaan Negara yang juga anggota The Reading Group mengongsi beberapa sebab yang mungkin menyebabkan pemikiran sedemikian menyempitkan persepsi terhadap kaum Hawa.

Jika dibandingkan zaman sekarang dengan zaman dahulu, boleh dikatakan kaum wanita pada zaman sekarang ini menikmati taraf kehidupan yang lebih tinggi. Ini dapat dilihat dari jumlah wanita yang kian ramai memegang jawatan-jawatan yang suatu ketika hanya dikhaskan buat kaum lelaki, baik di bidang pekerjaan mahupun di arena politik.

Namun, sejauh manakah perubahan sosial sedemikian mencerminkan arus perubahan yang sehaluan dari segi sikap serta tanggapan sesebuah masyarakat terhadap kaum wanita? Walaupun peluang pekerjaan serta pendidikan buat kaum wanita pada masa kini jauh lebih luas berbanding beberapa dekad yang lalu, tanggapan terhadap wanita masih lagi berdasarkan fahaman sempit yang nyata menghambat kemajuan ke arah masyarakat yang bersifat adil.

Barangkali ramai di antara kaum suami dan bapa dalam masyarakat kita yang bersifat penyayang terhadap keluarga masing-masing. Kita tidak berada di dalam sebuah masyarakat yang sadis di mana kaum lelaki sewenang-wenang memukul bantai isteri dan anak-anak.

Namun di sebalik sifat penyayang tersebut, tersembunyi satu ketidaksadaran (subconsciousness) yang terpendam kian dalam di lubuk hati dan sanubari si penyayang. Ketidaksadaran tersebut, yang dibentuk dan didorong oleh pengaruh luaran seperti struktur serta kondisi sosial, lingkungan hidup dan juga penyebaran pengetahuan dalam segala bentuk informasi dari pelbagai sumber termasuk akhbar, filem serta media sosial, tidak akan dapat dikesan di tingkatan sadar (conscious level) dari segi perbualan mahupun perbuatan. Malah, apa yang diucap dan diperlakukan di tingkatan sadar seringkali bertentangan dengan apa yang terpendam di peringkat tidak sedar (subconscious level).

Sebagai contoh, sebuah negara yang dikuasai oleh pemerintahan yang berasaskan prinsip patriarki akan membentuk serta menjalankan dasar-dasar negara yang mendiskriminasi dan menindas kaum wanita. Dasar-dasar tersebut, jika tidak dipersoalkan, pada gilirannya akan meresapi akar pemikiran masyarakat lantas membuahkan warga-warga negara yang berfikiran patriarkis, meskipun hadir di tingkatan tidaksadar. Barangsiapa yang menentang atau mempersoalkan fahaman tersebut akan dianggap pengkhianat atau pemberontak lantas disingkir sebagai seorang yang tidak sehaluan dengan masyarakat.

Apabila norma sosial sesebuah masyarakat berlandaskan pemahaman yang tidak mempedulikan kesucian kehidupan malah cenderung terhadap kebinasaan, akibatnya akan ada pengorbanan jiwa-jiwa yang tidak bersalah. Di dalam buku beliau The Great Theft, Khaled Abou El Fadl menceritakan tentang kejadian di Arab Saudi, yang berlaku pada pertengahan bulan Mac 2002, di mana sekumpulan murid perempuan di sebuah sekolah awam terbunuh sewaktu terperangkap di dalam bangunan sekolah yang sedang dijilat api kebakaran.

Apa yang lebih menyedihkan ialah, menurut Abou El Fadl, pintu-pintu sekolah tersebut telah dikunci dari luar oleh sekumpulan polis agama Saudi yang menghalang dengan kekerasan segala upaya untuk menyelamatkan murid-murid berkenaan. Penjelasan yang diberi atas perbuatan mereka ialah disebabkan murid-murid perempuan tersebut tidak menutup aurat – bermaksud mereka tidak mengenakan hijab serta niqab mereka pada waktu itu – dan juga buat mengelakkan sentuhan fizikal di antara pasukan penyelamat dengan murid-murid perempuan terlibat.

Dari peristiwa di atas, kita dapat melihat masalah yang timbul, malah yang menjurus kepada pembunuhan, apabila manusia bertindak atas dasar dan pengaruh fahaman yang parokial. Di dalam benak pasukan polis agama Saudi tersebut, hanya satu kekhuatiran yang harus difikirkan, iaitu muka dan rambut murid-murid perempuan terlibat – yang terperangkap di dalam bangunan yang sedang dijilat api – tidak seharusnya kelihatan di tempat awam. Pada mereka, penutupan aurat itu lebih penting dari menyelamatkan nyawa yang sedang dalam bahaya. Demikian akibatnya apabila fikiran dikuasai oleh ketidaksadaran yang sentiasa berlegar di lubuk hati.

Pengaruh luaran seperti media sosial juga memainkan peranan yang amat penting dalam membentuk ketidaksadaran sedemikian, selain membentuk minda serta pemikiran seseorang malahan sebuah masyarakat. Tidak boleh dinafikan pentingnya peranan media dalam menyampaikan berita serta informasi buat membina pengetahuan terhadap segala perihal di sekeliling kita. Namun, ini tidak bererti segala apa yang dilapor atau dikongsi harus diterima secara membabi-buta tanpa kritikal.

Sikap yang kritikal akan membolehkan kita mengesan ideologi di sebalik penulisan yang bersifat cauvinis mahupun patriarkis. Jika disoal, kemungkinan besar si penulis tidak akan bersetuju malah akan menafikan dirinya sebagai seorang yang cauvinis. Malah tidak akan ada seorang lelaki yang akan mengaku dirinya sedemikian. Ramai yang akan mengatakan kaum wanita harus dihormati, disanjungi dan disayangi.

Namun pernyataan-pernyataan tersebut barangkali hanya hadir di tingkatan sadar. Pada tingkatan tidaksadar, masih ramai yang menganggap serta mempercirikan kaum wanita sebagai satu kaum yang lemah dan serba kekurangan, yang harus patuh dan tunduk pada supremasi kaum lelaki. Amat sukar untuk seseorang yang didorong oleh ketidaksadaran sedemikian mengakui serta menganggap kaum wanita sebagai kaum yang mampu berdikari.

Seorang isteri harus disayangi, dibelai, dihormati – pada masa yang sama beliau juga wajib patuh dan taat pada suami. Bahkan apa yang diajarkan di merata kelas-kelas agama, di setiap ceramah dan syarahan, dan juga di kaca televisyen melalui drama dan filem, ialah syurga isteri itu terletak di kaki suami. Maka apabila isteri menderhakai suami, beliau tidak akan dapat mencium pun bau syurga.

Ajaran dan pesanan yang bermasalah sebegini jarang dipersoalkan, oleh kerana kepercayaan mutlak terhadap yang berbicara sebagai pakar dalam bidang yang dibicarakan. Di sini juga kita dapat melihat peranan asatizah serta penulis dan penerbit media dalam membentuk dan mempengaruhi pemikiran masyarakat.

Sebagai contoh, di dalam filem Suami Aku Ustaz yang ditayangkan pada tahun 2015, kita akan dapat mengesan idea-idea yang amat bermasalah apabila ditontoni dari lensa yang kritikal. Misalnya, ibu bapa yang melihat anak perempuan mereka sebagai sebuah objek yang boleh diperlakukan sekehendak hati tanpa menghiraukan hak si anak sebagai seorang manusia; pendewaan guru-guru agama yang menjurus kepada ketaksuban serta perhambaan diri pada golongan tersebut hingga sanggup melepaskan diri dari tanggungjawab dengan berserah dan mengikut membabi-buta segala apa yang diajarkan sang ustaz, walaupun bercanggah dengan nilai-nilai kemanusiaan; pandangan hidup patriarkis yang menetapkan kaum lelaki sebagai golongan yang dianugerahi Tuhan darjat yang lebih tinggi justeru lebih layak menentukan apa yang baik dan buruk buat kaum wanita.

Dari filem ini, kita dapat melihat bagaimana industri budaya yang dikuasai golongan inteligensia yang tidak berfungsi, akan mencipta karya-karya yang sarat dengan idea-idea yang bermasalah, yang berasaskan pemikiran feudal dan cauvinis, lantas meluas dan menyerap masuk ke minda masyarakat.

Kenyataan yang dibuat penerbit filem tersebut sewaktu diwawancara, bahawa cinta serta kepatuhan isteri kepada suami merupakan nilai yang penting dalam rumah tangga, menjadi bukti kepada pemikiran patriarkis beliau. Rumahtangga yang penuh dengan kasih dan sayang bermula dari perasaan saling hormat menghormati serta faham memahami, bukan berasaskan kepatuhan yang bersifat perhambaan dan pengabdian. Tidak akan wujud sifat kasih dan sayang, bahkan tidak akan ada rasa cinta, apabila seseorang menuntut supaya dipatuhi dan ditaati oleh pihak yang lain.

Lebih bermasalah lagi apabila agama dijadikan sandaran bagi pendirian yang patriarkis. Misalnya menggunakan hadis-hadis daif yang menuntut agar wanita harus patuh dan tunduk pada supremasi kaum lelaki. Nabi telah diutuskan Tuhan untuk membebaskan masyarakat di kota Makkah dari segala bentuk penindasan dan ketidakadilan dengan membasmikan segala praktik jahiliyah Arab yang tidak berperikemanusiaan, seperti menanam hidup-hidup bayi perempuan yang baru dilahirkan.

Perbuatan jahil sedemikian tiada bezanya dengan pemikiran jahil yang sedang tersebar luas pada hari ini melalui agensi-agensi luaran yang telah disebutkan di atas. Nabi telah berhasil membasmi praktik jahiliyah pembunuhan bayi perempuan. Oleh itu amat penting untuk kita memastikan supaya kita pula tidak terjebak dengan pembunuhan jiwa kaum wanita serta anak-anak dalam masyarakat kita.

Sebagai permulaan, kita perlu mendidik dan menanamkan dalam diri anak-anak kita sikap adil serta sifat saling hormat-menghormati di antara lelaki dan perempuan, dengan menghindari sebarang perkataan atau perbualan yang bersifat patriarkis. Misalnya, usahlah kita berkata kepada mereka “Jangan nangis seperti perempuan” atau “Kalau nak jadi lelaki, mesti kuat. Tidak boleh lemah seperti perempuan.” dan sebagainya.

Pendidikan awal akan menentukan cara pemikiran serta pemahaman yang akan mereka terap apabila dewasa kelak. Maka perlunya kita membantu mereka dalam proses tersebut dengan harapan membasmi ideologi-ideologi yang merosak seperti patriarkalisme.

Pustakawan Bersekutu di Lembaga Perpustakaan Negara, Muhammed Shahril Shaik Abdullah. (Gambar: Muhammed Shahril Shaik Abdullah)

MENGENAI PENGARANG:
Muhammed Shahril Shaik Abdullah ialah Pustakawan Bersekutu di Lembaga Perpustakaan Negara

Sumber : BERITA Mediacorp/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan