Images
  • idris jusoh
    Encik Idris Jusoh. (Gambar fail: Malay Mail Online melalui TODAY)

KOMENTAR: Menangani radikalisme di universiti-universiti Malaysia

BERITAMediacorp: Peningkatan pada jumlah rakyat Malaysia yang berjaya melanjutkan pelajaran hingga ke institusi pengajian tinggi dikhuatiri akan dijadikan sebagai peluang ISIS untuk merekrut lebih ramai anggota baru yang lebih terpelajar. Mohd Mizan Mohammad Aslam, seorang rektor pertama di Maktab Universiti Islam Perlis menyuarakan kebimbangan tentang bahaya ideologi radikal yang menyusup ke dalam institusi-institusi pengajian tinggi dan mengapa pengaruh pelampau itu perlu segera dibasmi dari terus berakar:

Pada Julai lalu, Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia Idris Jusoh mengatakan bahawa kadar pendaftaran universiti di negara itu mencapai peringkat paling tinggi, dengan hampir 40 peratus pelajar yang layak sedang menjalani pendidikan tinggi.

Jumlah pelajar universiti yang kian meningkat, bagaimanapun, dilihat oleh kumpulan pengganas Daesh (ISIS) sebagai peluang untuk merekrut golongan pelajar yang mudah dipengaruhi bagi agenda jihadinya.

Sejak kemunculan ISIS pada Jun 2014, lebih 420 rakyat Malaysia telah diberkas atas kegiatan sulit yang ada kaitan dengan kumpulan tersebut.

Pihak polis dan agensi keselamatan Malaysia bimbang bahawa ideologi pengganas semakin menambat jiwa para pelajar universiti dan sekolah, dan telah memberi mereka taklimat tentang bahayanya jika mereka menyertai ISIS.

BAGAIMANA PELAJAR TERTARIK DENGAN ISIS

Apakah puncanya para pelajar universiti menyertai atau bersimpati dengan kumpulan pelampau seperti ISIS dan bagaimanakah harus pemerintah memberi respons terhadap fenomena ini?

Perangkaan juga menunjukkan bahawa sekurang-kurangnya 40 pelajar sekolah, maktab dan universiti telah diberkas atas penglibatan mereka dalam kegiatan-kegiatan yang berkaitan dengan ISIS.

Tiga pelajar universiti awam telah ditahan pada tahun 2016 dan empat lagi diberkas dalam tempoh tiga bulan pertama tahun 2017. Ini termasuk dua pelajar wanita yang merancang untuk pergi ke Turki sebelum memasuki Syria dan Iraq.

Kebanyakan daripada mereka telah menghubungi Abu Muhammad Wanndy dan Zainuri Kamaruddin, yang merupakan anggota sayap militan ISIS di Asia Tenggara, Katibah Nusantara, di Raqqa dan Aleppo.

Empat pelajar universiti swasta juga telah ditahan – dua daripada mereka mempunyai hubungan dengan dua siswazah lain daripada Universiti Monash Malaysia, yang terlibat secara langsung dalam pengeboman restoran Dhaka pada Julai 2016.

Pada bulan Januari, dua lagi pelajar daripada Universiti Antarabangsa Madinah (Mediu) telah diberkas kerana mempunyai kaitan dengan rangkaian pengganas ISIS, di mana kesalahan utama mereka adalah penyaluran dana untuk kegiatan ganas kumpulan tersebut.

Universiti di Shah Alam juga menerima perhatian selepas pihak polis mengumumkan bahawa dua pelajarnya, yang merancang satu serangan ke atas sebuah sekolah antarabangsa di Malaysia, telah diberkas kerana disyaki terlibat dengan ISIS.

Sejauh ini, lapan pelajar sekolah menengah juga didapati terlibat dalam kegiatan-kegiatan berkaitan ISIS.

Pelajar termuda yang ditahan berusia 16 tahun dan menuntut di sebuah sekolah agama swasta di Kedah. Dia memiliki bendera, lambang dan buku ISIS, serta sumpah taat setianya (bai’ah) secara bertulis kepada pemimpin ISIS Abu Bakr Baghdadi.

MEREKRUT PELAJAR UNTUK ISIS

Para belia berusia 25 tahun ke bawah didapati lebih mudah terpengaruh dengan ideologi radikal.

Dengan usia mereka yang agak muda dan masih mentah, mereka dapat dieksploitasi dengan mudah oleh kumpulan-kumpulan seperti ISIS, yang berjaya merekrut mereka untuk perjuangan di Timur Tengah dengan menggunakan pelbagai kaedah. Ini termasuk media sosial dan kumpulan perbincangan usrah di sekolah, maktab dan universiti tempatan.

Para pelajar yang kekurangan kemahiran pemikiran kritikal dan mempunyai pandangan dunia hitam-putih akan lebih mudah dipengaruhi oleh pengganas.

Golongan remaja dan warga muda juga mempunyai keinginan kuat untuk berlagak sebagai orang dewasa, didorong oleh tanggapan sifat berdikari dan perasaan kedewasaan.

Seperti yang dibentangkan oleh konsultan psikologi ulung Zac Parsons, golongan remaja lazimnya lebih mudah terpengaruh dengan daya tarikan ISIS atas sebab-sebab yang sama apabila mereka tertarik kepada seks, dadah, arak dan kegiatan dewasa yang lainnya.

Selain itu, sebilangan individu muda yang pernah melakukan kesalahan mahu mencari cara di mana mereka boleh bertaubat dan kembali ke jalan yang benar.

JALAN PINTAS UNTUK BERTAUBAT

Golongan pendakwah dan penyebar ideologi radikal mengeksploitasi individu sedemikian dengan menegaskan bahawa taubat mereka akan diterima melalui tindakan ganas.

ISIS juga mengubahsuai mesejnya untuk merekrut para pelajar universiti wanita. Kumpulan itu mengolah jihad dengan idea-idea romantik dan melambangkan imej pejuang ISIS sebagai wira untuk menjebak wanita muda agar terlibat dalam kegiatan-kegiatan ISIS.

Mereka kemudiannya terpesona dan jatuh hati dengan pejuang ISIS yang berbangsa Arab dan berbangsa kulit putih. Misalnya, pada Disember 2014, pihak polis memberkas seorang pelajar universiti wanita berusia 27 tahun dari Lembah Klang, yang bernikah dengan seorang pejuang ISIS berasal dari negara Barat melalui Skype.

Wadah-wadah teknologi baru seperti YouTube, rangkaian media sosial (Facebook, Twitter, Instagram) dan aplikasi persembangan (WhatsApp and Telegram), digunakan untuk memujuk dan mengumpan pelajar universiti agar menyertai kegiatan ISIS.

Syamimi Faiqah, 20 tahun, bekas penuntut Maktab Universiti Islam Antarabangsa di Selangor, dipengaruhi ISIS pada Oktober 2014 melalui Facebook.

Seorang lagi pelajar lelaki berusia 22 tahun daripada Universiti Awam di Perlis menjadi pesimpati ISIS selepas menonton video propaganda kumpulan itu di YouTube.

KUMPULAN USRAH DISALAHGUNAKAN

ISIS juga mempergunakan kumpulan-kumpulan usrah untuk menyebarkan mesejnya. Para penuntut universiti menyertai kumpulan usrah bukan hanya untuk meluaskan pemahaman agama mereka tetapi juga untuk mendapatkan bimbingan.

Secara tradisional, sebuah kumpulan usrah akan mengikuti sesuatu ajaran atau idealisme yang didukung oleh kumpulan-kumpulan tertentu.

Sebahagian ajaran dan naratif ini bercirikan fahaman pelampau. Misalnya, Muhamad Razin Sharhan Mustafa Kamal, 24 tahun, yang diberkas di Beirut pada tahun 2012, telah mengaku bahawa dia terdedah kepada ideologi ISIS melalui kumpulan usrahnya, yang diketuai oleh bekas anggota Jemaah Islamiyah (JI) Yazid Sufaat.

Para pelajar yang berasal dari golongan keluarga yang berpecah belah juga mudah dipengaruhi ideologi radikal, sebagaimana pengikut parti-parti politik Islam.

Ada mengikuti sistem bai’ah (sumpah taat setia kepada ketua), yang memaksa mereka supaya berahsia dan patuh kepada ketua kumpulan itu.

Para pelajar bersifat penyendiri (introvert) yang tidak bergaul dengan para pelajar lain, juga boleh dieksplotasi oleh anggota ISIS untuk merekrut pejuang-pejuang mereka.

MENGATASI PENGARUH ISIS

Memandangkan jumlah orang yang diberkas atas kaitan mereka dengan ISIS, termasuk pelajar universiti muda, kian bertambah, pihak berkuasa Malaysia perlu melakarkan satu strategi menyeluruh untuk menterbalikkan fenomena ini.

Pertama, kerajaan perlu menyediakan lebih banyak ruang untuk para pelajar meluahkan pandangan, idea dan keinginan mereka. Kebebasan sebegini dan penyertaan mereka ke dalam sistem yang sedia ada akan mencegah mereka daripada mencari jalan alternatif.

Salah satu program sedemikian adalah #Mahasiswa Islam Tolak Keganasan, yang dilancarkan pada tahun 2015 oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di Konvensyen Pemimpin Mahasiswa Islam, Selangor.

Program ini dimulakan oleh kerajaan Malaysia untuk membolehkan para pelajar mengetengahkan idea-idea mereka berkenaan agama dan politik.

Kerajaan berharap ini akan merangsang perbincangan dan menangani masalah yang mungkin dihadapi oleh para pelajar.

Kedua, Kementerian Pendidikan Tinggi mesti menyediakan lebih banyak latihan bagi para pegawai pentadbir universiti yang bertanggungjawab menguruskan para pelajar dan masalah mereka.

Ini dapat membantu para pegawai memantau pelajar yang diketahui mempunyai pandangan pelampau mengenai isu-isu Islam.

Untuk melakukannya, universiti-universiti perlu menjalin kerjasama dengan pihak polis dan cawangan khas untuk memantau kegiatan pelampau.

GALAKKAN KESEDERHANAAN MELALUI USRAH

Kumpulan usrah/pengajian agama yang menggalak kesederhanaan agama perlu ditubuhkan, di samping program yang membalas naratif ISIS dan mendedahkan kezaliman kumpulan tersebut.

Misalnya, pada tahun 2014, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCCM) menjalankan program yang menonjolkan jenayah dan kekejaman ISIS.

Para ibu bapa adalah pihak berkepentingan yang mustahak dan harus dilibatkan dalam usaha mengesan tanda-tanda radikalisasi dengan lebih awal.

Kaum ibu, yang mempunyai hubungan emosi yang erat dengan anak-anak mereka, boleh memainkan peranan penting dalam perkara ini.

ISIS telah mendatangkan kesan buruk ke atas negara-negara Islam. Ada negara telah menjadi sasaran serangan kumpulan itu.

Malaysia dan Indonesia, misalnya, telah disebut sebagai sasaran serangan dan rekrutmen ISIS. Ini menjadikan golongan belia, khususnya pelajar sains di institusi-institusi pengajian tinggi, penting, kerana kepakaran teknikal mereka boleh dipergunakan oleh ISIS.

Lantaran itu, adalah penting kerjasama dijalin antara pihak kerajaan, penggubal dasar, para pegawai keselamatan dan ibu bapa untuk menghalang ISIS daripada merekrut penuntut universiti dan mencegah penyertaan mereka dalam kegiatan-kegiatan ISIS.

MENGENAI PENULIS:

Mohd Mizan Mohammad Aslam adalah rektor pertama Maktab Universiti Islam di Perlis (KUIPs). Beliau adalah mantan Pengarah Unit Pembangunan Lestari, Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) dan juga pensyarah kanan di Pusat Teknologi Komunikasi dan Pembangunan Insan (PTKPI) sejak tahun 2003. Artikel ini disesuaikan daripada sebuah artikel yang lebih panjang dalam jurnal Trend dan Analisis Cegah Pengganasan terbitan Pusat Penyelidikan Keganasan Politik dan Pengganasan Antarabangsa, sebuah unit di bawah Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam, Universiti Teknologi Nanyang. 

- BERITAMediacorp/im

Komen Anda?

Top