Images
  • religious
    Para anggota Pertubuhan Antara Agama (IRO) di satu seminar pada September lalu. (Gambar fail TODAY)

KOMENTAR: Memperkukuhkan ekologi antara agama di S'pura; bagaimana ia penting bagi mengendurkan ketegangan, mengelakkan konflik

Di kalangan para pemerhati antarabangsa, Singapura ibarat sebuah oasis keharmonian agama yang wujud dalam dunia yang bermasalah. Ia belum menghadapi sebarang konflik agama kerana masyarakatnya yang berbilang agama hidup dengan harmoni sejak 50 tahun yang lalu.

Hanya sebilangan negara, sekiranya ada, yang berjaya mencapainya. Ia merupakan hasil kerja keras dan usaha gigih Singapura sejak merdeka untuk mewujudkan sebuah ekologi silang agama yang berjaya.

Sebuah kajian yang dijalankan Netpeace, iaitu sebuah forum kakitangan media dan wartawan yang komited kepada keamanan dan keselamatan di Afrika, mengesahkan pentingnya mewujudkan ekologi sedemikian.

Kajian itu, yang melibatkan 54 temu bual separa berstruktur yang dijalankan di Australia, Britain dan Amerika Syarikat dari 2007 hingga 2008, mendapati bahawa silang antara agama berupaya mengubah konflik menjadi peluang untuk mencapai perdamaian.

Ia sememangnya kuasa agama, kerana teks agama, kitab-kitab dan tradisi menyediakan motivasi yang sangat kuat untuk menikmati kehidupan yang tenang.

Pada masa yang sama, semakin ramai ilmuwan yang kini percaya bahawa agama boleh disalahgunakan kerana terdapat kecenderungan untuk menyalahgunakan agama untuk meningkatkan ketegangan konflik, menggalak ekstremisme dan bertindak melakukan keganasan mengikut perasaan.

Terdapat bukti kukuh bahawa lebih banyak negara kini menghadapi permusuhan sosial dalam bentuk konflik yang berlandaskan agama.

Ini bermakna bahawa pemerintah, para pemimpin agama, badan-badan berasaskan agama (FBO) dan komuniti agama di sini mesti saling bekerjasama untuk memanfaatkan peranan agama yang menyemai sifat ihsan, penyatuan, keamanan dan membina, dan pada masa yang sama memastikan ia tidak disalahgunakan.

Usaha berterusan Singapura untuk mewujudkan sebuah ekologi antara agama, yang berlandaskan kepercayaan tentang peranan positif agama, memainkan peranan penting dalam usahanya mengembangkan modal sosial negara yang dapat digunakan untuk mengendurkan ketegangan dan mengelakkan konflik sekiranya perlu.

KEBANGKITAN SEMULA AGAMA – PERSAINGAN, KONFLIK DAN KEGANASAN

Pada masa yang sama, bahaya kebangkitan fahaman pelampau dalam kepercayaan dan amalan agama sehingga menimbulkan persaingan antara agama di Singapura tidak boleh dipandang ringan.

Lebih buruk lagi, persaingan antara agama, jika tidak dibendung, boleh menjadi bertambah buruk sehingga mencetuskan konflik agama.

Persaingan tersebut boleh bersifat antara agama atau berlaku dari dalam sesebuah agama itu sendiri, dan mungkin juga apabila kepercayaan agama dan fahaman sekular perlu wujud seiringan, iaitu antara agama dan pemerintah.

Menurut ilmuwan setempat Lily Kong, persaingan tersebut biasanya ada kaitan dengan ruang bersama - sama ada pemilikan sebuah ruang fizikal (contohnya, melakukan upacara keagamaan di tempat-tempat awam yang boleh menjejas orang lain) atau memperluaskan pengaruh mereka (contohnya, menonjolkan identiti agama di ruang bersama).

Dalam keadaan di mana ada persaingan agama, reaksi spontan Pemerintah adalah untuk sentiasa bekerja rapat dengan para pemimpin dan pertubuhan-pertubuhan agama untuk meredakan persaingan itu dan memastikan keadaan itu tidak memuncak menjadi konflik.

Ini adalah formula yang digunakan Singapura untuk memastikan keharmonian agama dapat bertahan untuk sekian lama.

PERANAN NEGARA, MASYARAKAT SIVIK

Meskipun Pemerintah di Singapura memainkan peranan penting dalam mengurangkan persaingan bertentangan dan dalam pencegahan konflik yang berkaitan dengan agama, ia tidak terlalu masuk campur dalam urusan agama kerana ia menjadi pegangan hidup masyarakat.

Pemerintah hanya melakukan pengawasan secara menyeluruh, menyederhanakan pengaruhnya dan memudahkan usaha mewujudkan keamanan sosial, keharmonian antara agama, menyelesaikan pertikaian dan mencapai perpaduan negara.

Pemerintah memainkan peranannya dengan berkesan kerana ia tidak memihak kepada sebarang agama, dan sikap berkecuali ini bersemadi dalam etos kebangsaan Singapura.

Sumbangan lebih besar kepada pencegahan konflik merupakan hasil usaha para pemimpin agama, FBO dan komuniti agama.

Interaksi dan penglibatan antara agama penting dalam membina rangkaian untuk membangunkan modal sosial di waktu aman dan boleh mengurangkan ketegangan dan mengelakkan konflik.

Di Singapura, penglibatan antara agama yang dilakukan secara terancang bermula di peringkat awal sejarahnya apabila Pertubuhan Antara Agama (IRO) ditubuhkan pada tahun 1949.

IRO menjadi wadah yang berguna sewaktu Rusuhan Natrah pada tahun 1950 dan semasa rusuhan Perarakan Maulid Nabi Muhammad pada tahun 1964 dalam usaha membina keyakinan di kalangan komuniti agama dan untuk mengurangkan ketegangan.

Selain IRO, terdapat juga pelbagai rangkaian antara agama yang menyediakan ruang untuk para pemimpin agama yang berbeza-beza berinteraksi secara berterusan.

Sebarang isu yang timbul daripada pertandingan antara agama diselesaikan secara baik menerusi semangat perdamaian yang kuat, kerana pemimpin-pemimpin agama di Singapura komited kepada prinsip-prinsip yang memelihara kepentingan bersama dalam masyarakat dan dalam memenuhi kontrak sosial.

Usaha mewujudkan keamanan sosial memerlukan tugas yang sangat teliti dan tidak berkesudahan. Terdapat tiga bidang yang dapat memperkukuhkan lagi ekologi antara agama di Singapura dan mengekalkan kedudukannya sebagai sebuah oasis keharmonian.

Pertama adalah untuk merubah Singapura dari sebuah negara berbilang agama kepada sebuah negara antara agama.

Seperti kesimpulan kajian yang dibuat Netpeace, masyarakat boleh menjadi lebih berdaya tahan dalam mengelakkan konflik jika ia mencapai tahap kefahaman antara agama yang tinggi.

Pemahaman yang lebih mendalam mengenai isu-isu rentas agama akan dapat melindungi masyarakat daripada ancaman salah faham yang boleh membawa kepada konflik.

Salah satu contoh adalah tanggapan bahawa semua agama menganjurkan keamanan dan bagaimana ia bertentangan dengan realiti bahawa terdapat kecenderungan yang berbeza-beza dalam setiap agama – ada yang lebih besar dan ada yang lebih kecil - yang menggalak konflik.

Isu-isu yang memecah belah boleh dikawal menerusi dialog antara agama. Terdapat keperluan yang mendesak untuk meningkatkan tahap dan mutu dialog antara agama untuk mengukuhkan keharmonian antara agama di Singapura dengan asas pengetahuan antara agama yang kukuh.

Yang kedua ialah keperluan untuk bersikap inklusif dan melibatkan mereka yang tidak menganuti sebarang agama dalam proses dialog itu. "Religious Nones“ atau golongan yang tidak menganuti sebarang agama membentuk satu segmen penting (kira-kira 17 peratus) dalam masyarakat Singapura.

Ia termasuk golongan agnostik, humanis, ateis dan sekular. Walaupun mereka tidak memeluk sebarang agama, mereka mempunyai kesedaran tentang agama. Jadi agama-agama harus bersifat inklusif kerana ini adalah langkah bijak, dan menerima mereka sebagai rakan kongsi dalam dialog dan bekerjasama ke arah mencapai keharmonian sosial yang lebih kukuh.

Dan akhir sekali, sebagai salah sebuah negara yang paling majmuk dari segi agama dan yang mempunyai spektrum kepercayaan bukan agama yang luas, Singapura perlu senantiasa belajar untuk mencapai persefahaman.

Dan untuk mencapai objektif tersebut, para ilmuwan mengenal pasti falsafah kesopanan yang akan memelihara norma-norma dan nilai-nilai sosial yang penting bagi Singapura. Ini termasuk pembangunan seimbang yang mampan, sikap saling hormat menghormati dan kesedaran nasional yang membolehkan rakyat menghayati nilai-nilai insaniah.

Dialog bukan lagi satu pilihan. Ia perlu diinstitusikan sebagai asas ekologi silang agama yang lebih kukuh.


MENGENAI PENULIS:
Mohammad Alami Musa adalah Ketua Pengajian Hubungan Antara Agama dalam Masyarakat Majmuk di Sekolah Pengajian Antarabangsa S Rajaratnam, Universiti Teknologi Nanyang. 

- BERITAMediacorp/im

Komen Anda?

Top