Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Melayu sudah ada Hak Asasi Manusia jauh sebelum Piagam PBB – Ini buktinya…

Pemikir dan pengkaji, Dr Mohd Faizal Musa, menyangkal dan menepis tujahan sedemikian dalam artikel KOMENTAR yang ditulisnya untuk BERITAMediacorp ini.

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Melayu sudah ada Hak Asasi Manusia jauh sebelum Piagam PBB – Ini buktinya…

Dr Mohd Faizal Musa. (Gambar: BERITAMediacorp)

BERITAMediacorp: Jari pihak Barat sering menuding ke arah negara-negara dan masyarakat-masyarakat Asia, termasuk masyarakat Melayu, bahawa ia kurang mengamalkan hak asasi manusia. Golongan ‘Hang Jebat’ dalam masyarakat Melayu juga mungkin mengutarakan hujah serupa.

Apakah tujahan sedemikian wajar? Mentelah lagi jika ada orang Melayu sendiri tidak percaya bahawa konsep Hak Asasi Manusia sudah wujud membumi dalam masyarakat Melayu? Pemikir dan pengkaji, Dr Mohd Faizal Musa, menyangkal dan menepis tujahan sedemikian dalam artikel KOMENTAR yang ditulisnya untuk BERITAMediacorp ini. Ini dia hujah-hujah konkrit beliau:

AFP PHOTO / MANAN VATSYAYANA 

Gambar hiasan. (Gambar: AFP PHOTO / MANAN VATSYAYANA)

‘BEBAS’ TIDAK SESUAI DENGAN ORANG MELAYU?

PERNAH ada orang mengatakan kepada saya, bahawa hak asasi manusia adalah ciptaan Barat sejak tahun 1948 iaitu menerusi Piagam Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (selepas ini disebut UDHR – Universal Declaration of Human Rights, atau Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia).

Orang tersebut menghujahkan salah satu aspek dalam hak asasi manusia iaitu ‘bebas’ tidak cocok dengan orang Melayu yang beragama Islam. Ini kerana menurut orang tersebut, dorongan ‘bebas’ pada gagasan hak asasi manusia akan mengakibatkan orang lain terganggu. Malah bebas menurut beliau mengandungi konotasi negatif.

Soalan saya kepada orang yang menimbulkan provokasi tersebut ialah, bila pula kebebasan yang dilindungi oleh UDHR itu menggalakkan kekacauan awam?

Kita mestilah memahami UDHR 1948 dikemukakan atas empat tunjang utama, iaitu: kebebasan, kesetaraan, kehormatan dan persaudaraan.

MELAYU HEBAT – HAK ASASI MANUSIA JADI ADAT

Saya menyangkal pandangan orang tersebut, dan saya katakan bahawa hebatnya orang Melayu; gagasan hak asasi manusia telah pun menjadi adat dan sebahagian budi pekerti orang Melayu. Hal ini saya namakan hak asasi manusia desa. Di sini desa bukanlah bermaksud kampung tetapi lokal atau tempatan.

Jadi, kita perlu berhujah dengan argumen budaya jika ada orang kita sendiri yang jahil mengenai budaya Melayu. Makanya berkait dengan terma bebas yang menurut orang itu berisi gelombang negatif, saya merasakan cara fikir yang salah mendorong kepada silap faham terhadap kata bebas yang dipromosikan oleh UDHR.

AFP PHOTO/STR

Gambar hiasan. (Gambar: AFP PHOTO/STR)

Pada tahun 1858, aristokrat dan ulama Melayu, Raja Ali Haji menulis sebuah kamus leksikon berjudul ‘Kitab Pengetahuan Bahasa’. Untuk menerangkan kata ‘bebas’ beliau menyatakan meskipun kebebasan itu wujud tetapi ia bukan alasan untuk melanggar hukum agama dan peraturan tradisi seperti menghina orang lain, memperkosa wanita dan terlibat dalam pergaduhan kerana kebebasan begini merosakkan agama dan mengganggu ketenteraman awam.

Ini bermakna, kebebasan telah diiktiraf oleh orang Melayu. Kebebasan yang ideal tentulah tidak sampai mengganggu orang terbanyak. Harus diingat dalam keadaan kebebasan diraikan itu, Raja Ali juga menyarankan supaya orang Melayu tidak membiarkan diri ditindas oleh elit Melayu sama ada bangsawan mahupun raja.

RAJA YANG MENINDAS JANGAN ‘DIBERI MUKA’

Untuk memahamkan kata ‘bahagia’ sebagai contoh, di dalam kamusnya, Raja Ali Haji menegaskan mana-mana raja yang menindas dan cuai hendaklah jangan diberi muka, kerana kebahagiaan yang sebenar adalah di akhirat. Ini juga saranan yang beliau lakukan untuk kata ‘jangak’ atau jahat .

Jika kita melihat salah satu komponen hak asasi manusia moden yang terdapat pada UDHR, terma ‘adil’ sangat ditekankan. Jika kita menghujahkan UDHR itu dari Barat, adakah berani kita mengatakan yang konsep keadilan tiada dalam kalangan orang Melayu dan masyarakat Timur?

Saya sangat meyakini bahawa kesedaran orang Melayu terhadap hak asasi manusia telah pun ada dan boleh dijejaki jauh sebelum tahun 1948. Terdapat banyak perkataan dan terma yang dapat dihubungkan dengan gagasan hak asasi manusia moden telah pun digunakan secara meluas oleh orang Melayu. Perkataan ini boleh digali dalam kamus yang disusun atau disunting oleh pegawai kolonial dari Barat yang pernah menghuni alam Melayu.

MANAN VATSYAYANA / AFP

Gambar hiasan. (Gambar: MANAN VATSYAYANA / AFP)

Sebagai contoh, kamus susunan William Marsden bertajuk ‘A Dictionary and Grammar of the Malayan Language: With an Introduction and Praxis’ diterbitkan pada tahun 1812 mengandungi banyak penekanan terhadap hak asasi manusia jika dibandingkan dengan era tersebut.

Marsden adalah felo Royal Asiatic Society dalam tahun 1783. Beliau telah menghimpun banyak sampel atau contoh perkataan dan maksudnya ketika menginap di Sumatera. Menurut beliau, bahasa Melayu yang diguna-pakai oleh kelompok masyarakat Minangkabau dapat dianggap memadai untuk mewakili seluruh bahasa Melayu secara amnya.

Apa yang dilakukan oleh Marsden adalah mengutip sebanyak mungkin perkataan yang digunakan oleh orang Melayu pada waktu itu dan untuk menjelaskan maknanya, beliau merujuk kepada beberapa manuskrip Melayu lama yang terpilih dalam simpanan beliau.

BUKTI-BUKTI KUKUH BERDASARKAN ARKIB

Dalam hal ini kata adil telah pun dikemukakan dengan contoh yang sangat menarik, yang mengisyaratkan tunjang hak asasi manusia telah pun diiktiraf orang Melayu, atau lebih penting oleh orang Inggeris selaku kuasa kolonial Barat yang menakluk dunia Melayu pada waktu itu.

‘Adil’ diterjemahkan sebagai ‘just, equitable, upright’ dengan contoh ayat yang secara langsung menyentuh persoalan perkauman atau rasisme; ‘adil kapada sakalian oang etam’ atau maksud yang beliau kemukakan; ‘just to all the black people ’.

Satu lagi perkataan dalam ajaran hak asasi manusia moden, yang rapat dengan terma bebas adalah ‘mardika’ atau ejaan bahasa Melayu mutakhir, ‘merdeka’. Perkataan ini diterjemahkan sebagai; ‘free, freed from slavery, manumitted’ yang mana bebas atau merdeka dari perhambaan.

Contoh ayat yang diberikan oleh beliau adalah ‘orang mardika’ atau ‘a freed man, a manumitted slave, libertus, libertinus’. Satu lagi contoh ayat yang dikemukakan adalah; ‘bri ulihmu akan daku argamu maka mardikalah angkau’ diterjemah ke Inggeris oleh Marsden sebagai; ‘do thou pay to me thy value, before I consent to make thee free ’. Marsden turut menyebut kata ‘liberty’ atau ‘enfranchisement’ sebagai ‘kamardikaan, dan sama rata’ atau secara lebih terperinci; ‘equality of condition’ .

AFP PHOTO / SIMIN WANG

Gambar hiasan. (Gambar: AFP PHOTO / SIMIN WANG)

Oleh sebab itu kita harus menyanjung perhatian orang Melayu yang telah pun melihat ketidakadilan yang dilakukan oleh kuasa kolonial terhadap bangsa jajahan. Ini kerana jelas sekali contoh terma adil dan bebas itu menyebutkan agar mereka yang berkulit warna diberi layanan sebagai manusia selayaknya menerusi contoh ayat ‘adil kapada sakalian oang etam’ seperti termuat di dalam kamus Marsden.

PERHATIAN ORANG MELAYU TERHADAP DEMOKRASI SANGAT BESAR

Jika kita merenung karya arif orang Melayu seperti pantun, kita akan terpana oleh konsep hak asasi manusia yang termuat dengan banyaknya. Cuma, konsep itu tidak dikenali dengan nama yang sama seperti di dalam UDHR. Sebagai contoh adat orang Melayu Riau, yang dekat secara geografisnya dengan Singapura, menegaskan adat Melayu adil menimbang.

Menimbang sama kanan dan kiri
Sama disukat sama dikira
Kurang menambah lebih memberi
Sama mendapat rugi dan laba

Bait pantun di atas bukan sahaja menekankan kesetaraan tetapi juga kesaksamaan. Ini bermaksud bukan sahaja hak itu perlu diberi dengan setara tetapi ia juga harus dapat diakses dengan saksama, di mana keadilan diberi perhatian yang besar.

Adat Melayu adil menimbang
Tidak memilih memilah-milah
Sifat Melayu tahu menenggang
Sama kasih senang dan susah

Apabila kita bercakap mengenai keadilan, kita tidak dapat menyanggah bahawa perhatian orang Melayu terhadap demokrasi sangat besar. Sesungguhnya kita pun tahu salah satu fungsi demokrasi ialah, apabila majoriti yang dipilih tidak meninggalkan yang minoriti malah melindunginya.

Adat berladang menanam padi
Adat menuai sesudah masak
Adat seorang bertanam budi
Adat beramai membela yang hak

MOHD RASFAN / AFP

Gambar hiasan. (Gambar: MOHD RASFAN / AFP)

PERIHAL MARUAH ORANG MELAYU & KETENTERAMAN AWAM

Jika konsep-konsep melibatkan keadilan, kesetaraan dan kebebasan telah pun diiktiraf oleh orang Melayu, kita juga mestilah mengambil kira bahawa penjagaan dan perlindungan maruah, dan kehormatan diri yang dijamin oleh UDHR turut menjadi ajaran moral dan etika untuk orang Melayu. Sebagai contoh, pantun masyarakat Melayu Kedah yang dihimpunkan oleh penyair dan sarjana Muhammad Haji Salleh menyerlahkan perihal maruah ini.

Berarak mega di senja hari
Sinar cahaya warna tembaga
Mesti jaga harganya diri
maruah budaya serta keluarga

Mengisi keranji pungut di tanah
Terbau wangi darinya huma
Tepati janji bersulam amanah
Sambil lindungi maruah bersama

Terbau wangi darinya huma
Bungaan hutan warna berseri
Sambil lindungi maruah bersama
Jaga keselamatan teman sendiri

Berdasarkan rangkaian pantun di atas, kita malah mendapati persoalan maruah dan kehormatan diri ini digandingkan bersama keselamatan seseorang. Ini bermakna menjaga maruah dan kehormatan orang lain sangat penting kerana ia juga persoalan keselamatan dan ketenteraman awam.

PADA AKHIRNYA, MELAYU ADA HAK ASASI MANUSIA DESA

Kadangkala kita akan terserempak dengan orang yang sungguh keliru dengan jati diri dan pengisian budayanya sendiri.

Kadangkala kita juga terserempak dengan orang yang fanatik menolak dan enggan menerima budaya asing dengan alasan ia tidak Timur, atau tidak Melayu padahal ia adalah kebaikan dan kebajikan untuk semua.

Sesungguhnya kebaikan dan kebudimanan adalah sesuatu yang sejagat. Demikianlah juga hak asasi manusia.

Jika UDHR adalah hak asasi manusia moden, kita tidak harus melupakan bahawa orang Melayu juga mempunyai hak asasi manusia desa yang sebenarnya sangat tepu dengan kod dan peraturan yang membawa kebaikan untuk individu mahupun masyarakat.

Faisal Tehrani. (Gambar: BERITAMediacorp)

MENGENAI PENULIS:

Dr Mohd Faizal Musa atau lebih dikenali dengan nama pena Faisal Tehrani, berusia 42 tahun, ialah seorang pengkaji, pemikir, novelis terkenal dan pejuang hak asasi manusia dari Malaysia. Beliau kini bertugas sebagai zamil penyelidik di Institut Alam dan Tamadun Melayu.  

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan