Images
  • Remy Mahzam
    Remy Mahzam, zamil penyelidik bersekutu di Pusat Antarabangsa Bagi Penyelidikan Keganasan Politik dan Terorisme (ICPVTR), RSIS. (Gambar: Remy Mahzam)

KOMENTAR: Krisis Rohingya: Penyelesaian segera penting untuk elakkan jihad bersenjata

BERITAMediacorp: Krisis Rohingya yang meruncing saban hari membangkitkan gelombang sentimen kebencian terhadap Myanmar. Zamil Penyelidik Bersekutu, Remy Mahzam, meneliti perkembangan itu dan menggesa agar huraian-huraian segera dicapai bagi mengelak jihad bersenjata dan lebih banyak pertumpahan darah.


(Gambar: AP)

KETEGANGAN perhubungan antara warga etnik minoriti Muslim Rohingya dan kaum nasionalis Buddha Myanmar di Rakhine telah mencetuskan gelombang sentimen kebencian terhadap negara Myanmar di rantau Asia Tenggara.

Pertempuran Rakhine yang mengakibatkan puluhan ribu orang Rohingya berserta sejumlah kecil warga Buddha dan Hindu melarikan diri ke negara jiran Bangladesh telah membawa kisah-kisah tentang kezaliman, pemerkosaan dan penindasan.

Rakaman video dan gambar-gambar yang mendakwa kekejaman tentera Myanmar terhadap kaum Rohingya sudahpun tersebar luas di media sosial. Ini diikuti pula dengan perhimpunan solidariti bersama Rohingya dan bantahan besar-besaran menerusi demo protes terhadap tuduhan jenayah genosid yang diadakan di merata dunia termasuk Indonesia, Malaysia, Australia, Pakistan dan Russia.


(Gambar: AFP/Munir Uz Zaman)

KEMARAHAN UMAT ISLAM TERHADAP MYANMAR

Krisis Rohingya yang telah menyebabkan kemarahan umat Islam terhadap Myanmar di rantau ini diburukkan lagi dengan kebangkitan beberapa organisasi pergerakan politik Islam yang mengisytiharkan jihad di Rakhine bagi membantu warga etnik Rohingya. Tindakan agresif yang dihubungkaitkan dengan isu keagamaan boleh menimbulkan implikasi keselamatan yang amat serius.

Rayuan untuk melancarkan serangan terhadap Myanmar bersertakan panggilan jihad dibuat menerusi aplikasi permesejan telefon pintar dan beberapa video. Video yang bertajuk “Anak Pengungsi Rohingya Siap Balik ke Myanmar Untuk Berjihad” menunjukkan pasukan berseragam dari Aceh menjalani latihan fisikal tanpa bersenjata sebagai persiapan untuk berjihad di Rakhine.

Sebuah lagi video, “Persiapan Para Mujahid Indonesia Menuju Myanmar Selamatkan Rohingya Muslim” memperkenalkan sebuah batalion yang berjumlah ratusan, melaungkan sorakan dengan kobaran semangat jihad sebelum berangkat menuju ke Myanmar.


(Gambar: AFP/K M ASAD)

PENDAFTARAN SUKARELWAN SERTAI JIHAD DI RAKHINE

Salah satu pergerakan Islam yang berpengaruh di Indonesia, Fron Pembela Islam (FPI) turut membuat desakan untuk melibatkan diri dalam krisis Rohingya dengan membuka pendaftaran bagi sukarelawan untuk menyertai jihad kemanusiaan di Myanmar.

Di antara syarat-syarat yang ditetapkan bagi pengambilan sukarelawan mujahidin ini termasuk untuk mendapatkan kebenaran daripada ibu bapa, berumur sekurang-kurangnya 21 tahun, mempunyai kemampuan untuk mempertahankan diri dan bersedia untuk mati di negara Rakhine. Pada tanggal 6 September 2017, hampir 10,000 relawan sudah pun terdaftar bersama FPI untuk berjihad di Myanmar.

Walaupun jihad yang dianjurkan oleh FPI berbentuk kemanusiaan dan bukan ketenteraan, kenyataan daripada pentadbiran pergerakan itu tidak menghalang kemungkinan berlakunya keganasan bersenjata sekiranya usaha mereka ini mendapat tentangan hebat dari pemerintah Myanmar.

Seorang juru bicara FPI, Ustaz Aka menegaskan bahawa krisis di Rakhine merupakan satu masalah kezaliman seperti yang terjadi di Palestin dan oleh kerana itu jihad kemanusiaan boleh bila-bila masa bertukar menjadi jihad bersenjata.

Sekiranya kerajaan Myanmar berkeputusan untuk menghalang bantuan kemanusiaan masuk ke Rakhine, gerakan sukarelawan mujahidin ini akan terdorong untuk menggunakan kekerasan dan keganasan sebagai tindak balas.


(Gambar: AFP/K M Asad)

JIHAD BERSENJATA YANG TIDAK DAPAT DIELAKKAN

Sejarah permusuhan di antara warga etnik Rohingya dan kaum nasionalis Buddha, serta pemberontakan yang berlarutan di Rakhine secara tidak langsung menjadikan isu jihad bersenjata sebagai sesuatu perkara yang tidak dapat dielakkan. Ini disebabkan tiadanya ruang yang kondusif bagi kedua-dua pihak untuk berbincang bersama untuk menyelesaikan konflik di Rakhine secara diplomatik.

Pada 9 Oktober 2016, serangan oleh kumpulan militan Rohingya yang dikenali sebagai Harakah al Yaqin mencetuskan tindak balas yang keras daripada tentera Myanmar, sehingga menyebabkan lebih 75,000 umat Islam Rohingya terjerat ke negara jiran Bangladesh.

Jumlah kaum Rohingya yang terjejas kini mencecah hampir 400,000 orang. Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah merayu kepada masyarakat internasional untuk ambil peduli atas nasib kaum Rohingya kerana dikhuatiri jumlah ini akan terus meningkat selagi mana kerajaan Myanmar belum berusaha untuk menamatkan krisis kemanusiaan yang dianggap pengkritik sebagai satu malapetaka "pembersihan etnik".

Dalam satu laporan PBB bagi bulan Februari 2017, tentera Myanmar dituduh melakukan jenayah pemerkosaan dan pembunuhan secara beramai-ramai terhadap kaum Rohingya. Kerajaan Myanmar bukan sahaja menafikan tuduhan tersebut malah menyekat misi Majlis Hak Asasi Manusia PBB dari melakukan siasatan lanjut.

Harakah al Yaqin menukar nama pertubuhan mereka kepada Arakan Rohingya Salvation Army (ARSA) pada 29 Mac 2017, sebagai tanda untuk menunjukkan bahawa organisasi mereka bukanlah satu pergerakan teroris seperti ISIS atau Al-Qaeda. Pemimpin ARSA, Ataullah abu Ammar Jununi, turut mendakwa bahawa perjuangan kumpulan mereka merupakan satu usaha yang berprinsip dan bertujuan untuk menyelamatkan kaum Rohingya semata-mata.

ARSA kemudian menyelaraskan serangan pada tanggal 25 Ogos 2017 ke atas 30 pos polis dan pangkalan tentera di bandar Maungdaw, Buthidaung dan Rathedaung di negeri Rakhine. Serangan ini dilihat sebagai satu tindak balas ke atas kekejaman kerajaan Myanmar.


(Gambar: AFP/Munir UZ ZAMAN)

KONFLIK ROHINGYA MENARIK PERHATIAN TERORIS

Konflik Rohingya berpotensi untuk dijadikan sebagai pemangkin seruan jihad bagi kumpulan militan ISIS dan Al-Qaeda di Asia Tenggara. Seperti pertempuran di Marawi (Filipina), Rakhine boleh dianggap sebagai satu medan jihad yang sah dari sudut kaca mata kelompok terorisme.

Ancaman serangan oleh pendukung kumpulan militant ISIS dari luar Myanmar terbukti wujud setelah penangkapan beberapa rakyat Malaysia dan Indonesia yang merancang untuk masuk ke Myanmar untuk melancarkan jihad.

Penyusupan ideologi ektremis ISIS di rantau Asia boleh memburukkan lagi keadaan di Myanmar dan menghambat proses perdamaian. Sejak awal tahun 2014, negara Rakhine sudahpun diisytiharkan oleh pemimpin ISIS, Abu Bakr al-Baghdadi sebagai sebuah wilayah Islam yang perlu diperjuangkan.

Pejuang-pejuang asing yang sebelum ini mengawasi perkembangan di Marawi, selatan Filipina akhirnya akan mengalihkan perhatian mereka ke Myanmar dan cuba bergabung dengan simpatisan Rohingya untuk berperang. Ternyata, perlunya ada perencanaan yang komprehensif untuk menawarkan penyelesaian yang lebih berkesan bagi menangani isu Rohingya demi menyelamatkan satu tragedi kemanusiaan.


MENGENAI PENULIS:

Penulis, Remy Mahzam Kasmawati adalah seorang zamil penyelidik bersekutu di Pusat Antarabangsa Bagi Penyelidikan Keganasan Politik dan Terorisme (ICPVTR), Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU). 

- BERITAMediacorp/nk

Komen Anda?

Top