Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Kesan keputusan Ahok - ransangan bagi kumpulan tegar

KEPUTUSAN Mahkamah Daerah Jakarta Utara menjatuhkan hukuman dua tahun penjara ke atas Gabenor Jakarta berketurunan Cina dan beragama Kristian yang akan melepaskan jawatannya Encik Basuki Tjahaja Purnama.

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Kesan keputusan Ahok - ransangan bagi kumpulan tegar

Penyokong bekas gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama, berkumpul di dewan bandar sehari selepas selepas mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dua tahun berikut hukuman kekufuran. (Gambar: CNA)

BERITAMediacorp: Keputusan mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama dua tahun ke atas Ahok menimbulkan lebih banyak tanda tanya daripada tuduhan asal yang merujuk kepada kesalahan menghina Islam yang dikemukakan terhadap gabenor beragama Kristian itu. Zamil Undangan Program Pengajian Indonesia, Institut ISEAS - Yusof Ishak. Charlotte Setijadi bimbang sekiranya kes itu mengukuhkan lagi tanggapan bahawa undang-undang kekufuran Indonesia boleh dimanipulasi dengan mudah untuk tujuan politik.

Gabenor Jakarta Basuki "Ahok" Tjahaja Purnama tiba di mahkamah, 20 April. (Gambar: REUTERS/Tatan Syuflana/Pool)

Gabenor Jakarta Basuki "Ahok" Tjahaja Purnama tiba di mahkamah, 20 April. (Gambar: REUTERS/Tatan Syuflana/Pool)

KEPUTUSAN Mahkamah Daerah Jakarta Utara menjatuhkan hukuman dua tahun penjara ke atas Gabenor Jakarta berketurunan Cina dan beragama Kristian yang akan melepaskan jawatannya Encik Basuki Tjahaja Purnama (juga dikenali sebagai Ahok) atas kesalahan menghina Islam telah meningkatkan kebimbangan tentang pengaruh kumpulan-kumpulan Islam tegar di Indonesia.

Hukuman itu menandakan satu perkembangan yang memeranjatkan dalam perbicaraan atas tuduhan melakukan penistaan agama penuh kontroversi yang bermula pada Oktober tahun lalu, selepas munculnya satu rakaman video yang menunjukkan Ahok membuat komen tentang mereka yang menggunakan Surah Al Maidah ayat 51 Al-Quran sebagai asas untuk tidak memilih orang bukan Islam sebagai pemimpin mereka.

Apa yang mengejutkan adalah hakikat bahawa panel lima hakim telah mengenakan hukuman yang jauh lebih berat melebihi tempoh probesyen selama setahun yang dituntut pihak pendakwa raya, dan bahawa hakim-hakim tersebut telah menukil seorang pemimpin kumpulan Islam tegar sebagai seorang tokoh tafsir Al-Quran.

Gabenor Jakarta Basuki Tjahaja Purnama, atau dikenali sebagai Ahok. (Gambar: SYUFLANA / POOL / AFP) 

Gabenor Jakarta Basuki Tjahaja Purnama, atau dikenali sebagai Ahok, di mahkamah siang tadi 13 Disember 2016. (Gambar: SYUFLANA / POOL / AFP) 

Semasa menjatuhkan hukuman, hakim-hakim berkenaan telah mengkaji dengan teliti ayat Al-Maidah dan mereka menyokong tafsiran Habib Rizieq Shihab, pemimpin kontroversial Front Pembela Islam (FPI), yang berhujah bahawa ayat itu melarang umat Islam mengundi untuk orang bukan Islam.

Mahkamah juga menolak cadangan bahawa kes itu telah dijadikan isu politik, walaupun kebanyakan pemerhati berpendapat sebaliknya.

Salah satu contoh adalah bantahan besar-besaran yang diketuai oleh kumpulan-kumpulan Islam tegar seperti FPI yang menuntut hukuman berat, malah juga hukuman mati untuk Ahok, telah meletakkan tekanan hebat ke atas prosiding mahkamah.

Para penyokong Habib Rizieq Shihab. (Gambar: AFP/ADEK BERRY)

Para penyokong Habib Rizieq Shihab. (Gambar: AFP/ADEK BERRY)

Ahli-ahli politik konservatif dan para pemimpin Islam tegar turut menyebabkan berlakunya polarasi pendapat umum dengan hujah bahawa pengundian memilih Ahok semasa pilihan raya bagi jawatan gabenor Jakarta pada April lalu adalah undi terhadap Islam.

Seluruh tuduhan melakukan kekufuran, penyiasatan, pendakwaan dan perbicaraan terhadap Ahok telah dicemari dengan perkara-perkara di luar aturan sejak dari mula lagi.

Terdapat prosedur penting seperti pengeluaran notis rasmi yang dipintas demi mempercepatkan kes itu.

Perbicaraan diteruskan semasa kempen pemilihan gabenor Jakarta meskipun terdapat rayuan supaya ia ditangguhkan sehingga selepas pilihan raya demi memelihara pilihan raya yang adil dan keamanan sivik.

Ada kemungkinan hukuman yang dijatuhkan itu bertujuan untuk menyenangkan hati pihak-pihak Muslim konservatif.

Bagaimanapun, sebarang usaha untuk menambat hati golongan tegar adalah tidak realistik kerana para penunjuk perasaan anti-Ahok sudah mula merungut bahawa hukuman itu tidak cukup berat.

Para penunjuk perasaan Indonesia berarak di Taman Monumen Nasional di Jakarta pada 2 Dis 2016. (Gambar: GOH CHAI HIN / AFP)

Para penunjuk perasaan Indonesia berarak di Taman Monumen Nasional di Jakarta pada 2 Dis 2016. (Gambar: GOH CHAI HIN / AFP)

Apa pun, keputusan perbicaraan Ahok mengesahkan lagi tuntutan dan naratif kumpulan-kumpulan Islam tegar. Gabenor Jakarta itu kini dalam tahanan polis sementara menunggu untuk mengemukakan rayuan terhadap hukuman tersebut.

Rayuan itu akan dilakukan secara tertutup. Ini mungkin bermakna kurang perhatian awam dan tekanan ke atas hakim-hakim.

Para pemerhati yang lebih optimistik percaya bahawa hukuman Ahok mungkin akan diringankan semasa proses rayuan yang panjang itu, walaupun besar kemungkinan hukuman terhadapnya tidak akan ditarik balik.

Implikasi undang-undang penahanan Ahok sebelum bermulanya proses rayuan adalah tidak jelas.

Senario yang kemungkinan besar akan berlaku adalah beliau akan secara rasmi dipecat sebagai Gabenor tidak lama lagi, sekali gus menyebabkan beliau tidak dapat menamatkan penggal jawatannya yang akan berakhir pada Oktober ini.

Hukuman itu juga merupakan satu jaminan bahawa Ahok tidak boleh dilantik ke dalam jawatan pemerintah atau bertanding untuk jawatan awam yang lain dalam masa terdekat.

Bagaimanpun, sesiapa yang berfikir bahawa kerjaya politiknya sudah berakhir, tersilap.

Hukuman bersalah itu akan hanya meningkatkan status beliau sebagai seorang pemimpin yang sanggup mengorbankan nyawanya di mata para penyokongnya, dan Ahok kini menjadi simbol perjuangan yang lebih berpengaruh untuk golongan liberal dan progresif di Indonesia.

Sejurus selepas hukuman dijatuhkan, beribu-ribu penyokongnya berhimpun di bangunan Dewan Bandaraya Jakarta dan di penjara Cipinang di mana beliau dipenjarakan untuk mengadakan perhimpunan nyalaan lilin dan menunjukkan sokongan mereka.

Ini tidak termasuk pencurahan sokongan di media sosial.

Encik Purnama bercakap kepada wartawan selepas mengundi, 15 Februari 2017. (Gambar: REUTERS/Beawiharta)

Encik Purnama bercakap kepada wartawan selepas mengundi, 15 Februari 2017. (Gambar: REUTERS/Beawiharta)

Ramai yang menyanjung beliau sebagai "Nelson Mandela Indonesia" dalam menghadapi ketidakadilan di tengah-tengah peningkatan trend Islam konservatif yang membimbangkan.

Kes kekufuran Ahok telah mencipta satu duluan kehakiman yang berbahaya untuk toleransi agama, kebebasan bersuara dan hak-hak minoriti di Indonesia pada masa depan.

Pada dasarnya, masalah ini terletak pada kewujudan undang-undang kekufuran Indonesia sendiri. Perbicaraan kes Ahok menunjukkan bahawa undang-undang kekufuran Indonesia boleh dimanipulasi dengan mudah untuk tujuan politik dan digunakan sebagai alat ugutan, terutamanya terhadap kumpulan minoriti agama.

Sejak tahun 2005, terdapat sekurang-kurangnya 106 kes pendakwaan kekufuran di Indonesia, dengan hampir kesemuanya adalah pendakwaan terhadap anggota-anggota minoriti agama, dan semuanya telah didapati bersalah.

Sehari sebelum hukuman Ahok dibacakan, Pemerintah Indonesia mengharamkan Hizbut Tahrir Indonesia, salah satu kumpulan Islam tegar di sebalik bantahan besar-besaran anti-Ahok. Langkah itu boleh dilihat sebagai satu percubaan oleh pemerintahan Presiden Joko "Jokowi" Widodo untuk mengekang kuasa dan pengaruh kumpulan Islam radikal yang semakin meningkat, menyusuli tindakan terbaru mereka untuk mencetuskan kekacauan di ibu negara.

Walaupun kebanyakan penduduk Indonesia menyokong pengharaman itu, ada yang menganggapnya sebagai tidak demokratik, dan terdapat juga kebimbangan bahawa langkah itu akan membangkitkan kemarahan dan menguatkan tekad golongan Islam tegar.

Walau bagaimanapun, jika Presiden Joko Widodo serius untuk memerangi ekstremisme agama dan mempertahankan hak-hak minoriti, pemerintahannya mesti, pertama sekali, memansuhkan mekanisme undang-undang seperti undang-undang kekufuran yang setakat ini telah membolehkan pendakwaan individu dari agama minoriti seperti Ahok.

MENGENAI PENULIS:
Charlotte Setijadi adalah Zamil Undangan Program Pengajian Indonesia, Institut ISEAS - Yusof Ishak.  

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan