Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Kegiatan terjemahan boleh tajamkan penguasaan Bahasa Melayu

Kegiatan terjemahan boleh merangsang minat untuk terus mencintai dan mendalami Bahasa Melayu.

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Kegiatan terjemahan boleh tajamkan penguasaan Bahasa Melayu

Sebuah kedai buku. (Gambar fail: AFP/AHMAD YUSNI)

BERITAMediacorp: Kegiatan terjemahan boleh merangsang minat untuk terus mencintai dan mendalami Bahasa Melayu. Menurut Dr Lim Beng Soon, pendekatan sedemikian juga boleh meningkatkan lagi kefasihan dan penguasaan bahasa tersebut.

BUKANLAH susah kita mencari seseorang yang fasih dalam dua bahasa di kalangan masyarakat Singapura. Rata-rata generasi yang dilahirkan selepas kemerdekaan telahpun melalui sistem persekolahan dwibahasa dan bolehlah berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Ibunda mereka.

Menurut banci penduduk yang dijalankan setiap 10 tahun, kefasihan dan kekerapan penggunaan Bahasa Inggeris di kalangan semua kumpulan etnik, termasuk masyarakat Melayu di Singapura menyaksikan kenaikan yang mendadak dalam penggunaan bahasa tersebut sejak 1990.

Bagi masyarakat Melayu, kita bolehlah membuat kesimpulan bahawa generasi muda amat selesa sekali berbahasa Inggeris dengan pendedahan yang begitu kerap kepada bahasa itu di bangku sekolah dan arena pekerjaan. Malah kadangkala kita mengesyaki bahawa generasi muda mungkin lebih selesa berbahasa Inggeris daripada Melayu.

Ada beberapa persoalan yang timbul akibat daripada kebolehan berdwibahasa ini di kalangan golongan muda. Persoalan yang utama berkenaan kefasihan dalam kedua-dua bahasa tersebut. Pokoknya, bolehkah kita mencapai keadaan utopia di mana penutur benar-benar fasih dalam kedua-dua bahasa ataupun dikenali sebagai “effectively bilingual” dalam bidang linguistik.

PELAJAR GEMAR TERJEMAHAN

Kita tidak mahu keadaan di mana sesuatu bahasa yang sering digunakan itu melemahkan bahasa kedua si penutur di mana bahasa keduanya menjadi "bahasa rojak" yang penuh dengan peminjaman kosa kata secara tidak menentu. Kita sedia maklum bahawa biasanya seseorang tidak boleh mencapai kefasihan dalam kedua-dua bahasa dalam semua bidang kehidupan.

Misalnya, kita lebih selesa bincang hal-hal yang berkaitan dengan sains dan teknologi dalam Bahasa Inggeris kerana kita sering sekali membaca dan bincang tentang bidang tersebut dalam Bahasa Inggeris. Mahu tidak mahu, kian hari Bahasa Inggeris kian memainkan peranan penting dalam kehidupan kita di Singapura.

Memang Bahasa Inggeris digunakan sebagai bahasa pengantar ataupun lingua franca dalam hampir semua transaksi di negara ini dan generasi muda kita memang amat selesa sekali menggunakan bahasa tersebut.

Bagi saya, kecenderungan generasi muda berbahasa Inggeris bolehlah dijadikan sokongan kepada pembelajaran mana-mana bahasa maupun bahasa Ibunda itu sekali.

Mengapakah saya kata begitu? Selama 17 tahun ini saya mengajar kursus terjemahan Bahasa Melayu-Bahasa Inggeris di institusi pengajian tinggi dan mengikut pengalaman saya, ramai pelajar menikmati aktiviti terjemahan dan perbandingan bahasa di kelas.

TERJEMAHAN TINGKAT KEFASIHAN

Mereka mendapati bahawa kefasihan mereka dalam kedua-dua bahasa, iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris bertambah baik selepas mereka membuat aktiviti terjemahan dalam kedua-dua bahasa.

Aktiviti-aktiviti terjemahan itu secara amnya akan menunjukkan perbezaan dan persamaan di antara Bahasa Melayu (BM) dengan Bahasa Inggeris (BI). Strategi pengajarannya memastikan bahawa pelajar sedar akan perbezaan tatabahasa, wacana dan kesesuaian kosa kata dalam kedua-dua bahasa tersebut ala teknik linguistik perbandingan.

Cara pengajaran secara eksplisit ini memberi pelajar kewibawaan semasa belajar. Apa yang dimaksudkan sebagai kewibawaan pembelajaran ini bersamaan dengan konsep “ownership” di mana pelajar diberi kesempatan untuk mengakses ilmu dan maklumat dari bahasa Ibundanya ataupun bahasa keduanya semasa membuat aktiviti terjemahan dan pembelajaran bahasa.

Cara pengajaran ini membolehkan pelajar mendalami dan memahami struktur bahasa secara sistematis dan mengurangkan kesalahan bahasa kerana teknik pembelajaran ini memerlukan aktiviti perbandingan tatabahasa itu dijalankan secara jelas dan tertib. Sememangnya, guru boleh membandingkan struktur-struktur bahasa yang betul dan juga yang salah dan kurang gramatis (ala pendekatan analisis ralat ataupun error analysis) supaya pelajar lebih peka kepada kesalahan bahasa yang lazim.

PERBANDINGAN BAHASA

Bagi saya teknik perbandingan bahasa ini bolehlah diterapkan dalam pengajaran bahasa kerana ia memberi lebih keyakinan kepada pelajar bila mereka diminta membuat penelitian atau pembelajaran bahasa kerana guru boleh tunjukkan konsep yang sama itu wujud dalam bahasa yang disenangi pelajar.

Keadah pengajaran bahasa ini membolehkan pelajar menelaah bahasa dan bukan hanya menerima bulat-bulat apa yang diajarkan itu. Cara pengajaran dan pembelajaran bahasa sebegini tidak meremehkan pengalaman dan keupayaan pelajar. Sebaliknya ia meyakinkan pelajar dengan keupayaan mereka mempelajari bahasa dan sistemnya atas keupayaan daya usaha sendiri.

Perbandingan sistem bahasa misalannya, tatabahasa akan menunjukkan setiap bahasa itu mempunyai ciri-ciri yang serupa (yang juga dikenali sebagai language universals). Tambahan pula, aktiviti perbandingan struktur BI dan BM dalam proses penterjemahan membolehkan pelajar mendalami konsep-konsep tatabahasa kedua-dua bahasa tanpa rasa jemu.

Hasilnya pelajar tertarik kepada keupayaan mereka menulis dan mengolah terjemahan mereka supaya ia sesuai dengan wacana bahasa sasaran. Dari segi pedagogi teknik pengajaran sebegini sejajar dengan keperluan pengajaran kemahiran menulis di mana pelajar digalakkan menghasilkan teks atau karya sendiri langsung membina keyakinan pelajar.

Bagi saya, satu lagi aspek aktiviti terjemahan yang menarik ialah perbandingan peribahasa di antara dua bahasa dalam kelas terjemahan juga membolehkan kita bincang isu-isu bahasa dan budaya. Maklumlah, tema-tema budaya bukanlah satu topik pengajaran yang menarik minat golongan remaja.

BUKAN KEGIATAN ASING

Tetapi bila kita berikan pelajar kita peluang untuk membuat perbandingan secara tersendiri bila mereka menilai peribahasa dalam sesuatu bahasa itu maka mereka dapatlah mengupas dan menghayati konsep budaya yang berkait dengan sesuatu bahasa. Misalannya, peribahasa Melayu yang menitikberatkan budi pekerti dan budi bahasa itu menunjukkan betapa pentingnya bahasa dan budi pekerti yang sopan itu dalam masyarakat Melayu. Peribahasa Melayu yang berbunyi ‘usul menunjukkan asal, bahasa menunjukkan bangsa’ begitu penting sekali dalam masyarakat Melayu sampai ia pernah digunakan sebagai tema Bulan Bahasa di Singapura.

Janganlah guru berprasangka bahawa aktiviti terjemahan bukanlah suatu aktiviti pembelajaran atau penggunaan bahasa yang asli dan jarang sekali dibuat oleh pelajar. Sebenarnya, aktiviti terjemahan itu bukanlah sesuatu aktiviti penggunaan bahasa yang asing kepada pelajar kita kerana dalam masyarakat Singapura yang berbilang bahasa ini pelajar kita sudahpun biasa dengan aktiviti terjemahan.

Mereka sudahpun biasa melihat papan tanda ataupun borang-borang yang ditulis dalam berbagai bahasa. Sememangnya, aktiviti terjemahan itu bolehlah dianggap sebagai suatu aktiviti komunikasi yang asli. Buktinya, ramai di antara pelajar kita pernah menterjemah Bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu untuk kaum keluarga mereka yang mungkin kurang fasih dalam Bahasa Inggeris.

Akhir kata, moga-moga cara pembelajaran bahasa yang berteraskan terjemahan dapat menyumbang menyemarakkan semangat mempelajari dan mendalami Bahasa Melayu.

MENGENAI PENULIS:

Prof Madya Dr Lim Beng Soon merupakan ketua jabatan Bahasa dan Sastera, Melayu di UniSIM, Singapura. Program Bahasa dan Sastera Melayu UniSIM merupakan satu-satunya program pengajian Melayu yang diajar secara sambilan kepada pelajar dewasa di Singapura.  

Sumber : BERITA Mediacorp/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan