Images
  • suhaimi mustar (1)
    Ustaz Dr Suhaimi Mustar. (Gambar: Facebook/ Suhaimi Mustar)

KOMENTAR: Islam disesuaikan dalam konteks S'pura, atau konteks S'pura disesuaikan dengan Islam?

BERITAMediacorp: Sering kali timbul perbualan dan perbahasan tentang kehidupan moden, termasuk di Singapura. Dalam hal ini, apakah agama Islam perlu disesuaikan dengan konteks Singapura, ataupun konteks Singapura itu yang perlu disesuaikan dengan Islam.

Singapura sebuah negara berbilang bangsa dan agama. Maka semestinya, keadaan negara sekular memerlukan pendekatan-pendekatan yang tertentu untuk masyarakat muslimnya. Dalam ruangan KOMENTAR kali ini, kami ketengahkan pandangan Ustaz Dr Suhaimi Mustar yang mengupas persoalan kehidupan di kota majmuk lagi moden seperti Singapura, dengan persoalan berhubung ijtihad. Ustaz Dr Suhaimi yang baru mendapat ijazah PhD tahun lalu, menulis artikel ini untuk BERITAMediacorp:


KUPASAN JIHAD DARI KACA MATA ULAMA

IJTIHAD berasal dari perkataan Arab “al-juhd” atau “al-jahd” yang membawa maksud sesuatu yang menyusahkan, membebankan atau memberatkan, sama ada dengan menggunakan kekuatan mental atau fizikal. Manakala ijtihad dari segi istilah pula ialah, melakukan semampu keupayaaan bagi menghasilkan hukum syarak yang praktikal melalui kajian mendalam.

Adapun menurut al-Amidi (2003), ijtihad adalah “menumpukan sepenuh usaha dalam menghasilkan hukum syarak yang bersifat zanni (belum pasti) sehingga seorang merasa tidak mampu lagi melakukan lebih dari itu”. Dengan lain perkataan, satu usaha bersungguh-sungguh untuk menghasilkan kesempurnaan semaksimum mungkin dalam sesuatu perkara.

Manakala mujtahid pula (orang yang mengeluarkan pandangan agama atau fatwa), ulama telah meletakkan syarat-syarat penting ke atas mereka dalam berijtihad. Mereka perlu melihat dalil-dalil syarak bersama-sama dengan realiti semasa dan setempat secara bersepadu.

FATWA BOLEH BERUBAH

Ibn al-Qayyim (1423H) pula berkata, antara syarat terpenting ialah, perlu memahami keadaan semasa. Justeru, seorang mujtahid yang memberi fatwa kepada manusia tidak boleh hidup dalam keadaan terpencil lalu mengeluarkan fatwa atau sesuatu hukum di luar konteks kehidupan sebenar. Ini kerana, fatwa sebenarnya boleh berubah dengan berubahnya masa, tempat, keadaan dan ‘urf (adat resam) sesebuah masyarakat.

Kenyataan ini disokong oleh Abu Zahrah (1958), dengan katanya, seorang mujtahid disyaratkan memahami realiti semasa ketika mengeluarkan fatwa, memahami psikologi orang yang bertanya, masyarakat semasa dan keadaan sekitaran berlakunya suatu kejadian atau amalan, mengetahui kesan fatwa dari sudut keburukan dan kebaikan (Muhammad Baltaji, 2007).

Menurut al-Qardawi, ijtihad yang sederhana yang tidak melampaui batas akan berkekalan, manakala yang sebaliknya tidak akan berkekalan dalam penentuan sesuatu hukum.

Menurut beliau lagi, perlunya sentiasa ada ijtihad baru di zaman moden hari ini kerana, ijtihad merupakan asas penting dalam syari‘ah Islam dan pintu ijtihad terbuka luas bagi golongan ulama untuk mencari penyelesaian terhadap keperluan masyarakat moden yang berubah-ubah masakini. H

Hal ini ditekankan oleh Muhammad Hashim Kamali (2000), peranan ijtihad amat penting selain ianya disyariatkan dalam Islam, ia juga adalah alat pengembang hukum Islam. Tidak ada fatwa yang dikeluarkan melainkan dengan ijtihad dan bertujuan untuk mencapai maqashid syari‘ah (tujuan syari‘ah).

KEPERLUAN-KEPERLUAN IJTIHAD DI S'PURA

Sebagai contoh, isu nuzriah yang diamalkan di Singapura adalah merujuk kepada maqasid syari‘ah.


Keperluan kepada ijtihad dalam isu-isu baru sangat mendesak sebagai contoh, isu pewarisan harta yang menjadi salah satu isu rumit dan penting dalam masyarakat yang memerlukan kepada ijtihad ulama dan panduan fatwa di sebabkan perkembangan skop perkara-perkara yang dikategorikan sebagai harta pusaka, perubahan gaya hidup, sumber pendapatan, sosio-ekonomi, perbezaan lokaliti - semuanya membawa kepada keperluan dan penetapan hukum yang berbeza.

Ini juga membayangkan peningkatan tahap pemikiran dan keintelektualan masyarakat, kesedaran terhadap agama serta kemajuan sosio-ekonomi di Singapura.

Isu-isu pewarisan seperti Pemilikan bersama (Joint-Tenancy), Nuzriah, Hibah, Nominasi CPF dan Insurans memerlukan fatwa yang proaktif dan ijtihad kontemporari bagi merealisasikan maqasid syari‘ah. Ini kerana isu-isu seperti ini belum pernah wujud di zaman Rasulullah s.a.w. atau zaman Sahabat r.a. dan belum ada ketentuan hukum ke atasnya.

Sehingga ada masanya, fatwa yang dikeluarkan oleh ulama masakini dalam isu-isu berkaitan, pada zahirnya kelihatan ada semacam percanggahan dengan prinsip-prinsip asas hukum faraid seperti dalam isu nuzriah.

ISLAM DAN S'PURA - PERBAHASAN TENTANG KONTEKS

Dalam konteks kehidupan Singapura, masyarakat berbilang agama, bangsa dan umat Islam adalah minoriti, peranan mujtahid berijtihad mengeluarkan fatwa untuk menentukan sesuatu hukum baru atau pendirian agama perlu melihat berbagai sudut dan berhati-hati demi menjaga keharmonian bangsa dan agama.


Baru-baru ini timbul kekata seperti, “Islam perlu disesuaikan dalam konteks Singapura” yang membawa maksud bahwa, amalan umat Islam di Singapura perlu melihat kepada konteks semasa, agar dapat diaplikasi sesuai dengan masyarakat moden Singapura.

Namun, menurut pandangan sesetengah pihak, pendapat tersebut tidak tepat. Yang lebih tepat menurut mereka adalah “Konteks Singapura perlu disesuaikan dengan Islam” bukan sebaliknya. Dasar hujah bagi golongan ini adalah berpandukan hukum yang tersurat di dalam al-Quran dan Sunnah Nabi s.a.w. tanpa sebarang takwil (tafsiran).

Antaranya, fiman Allah SWT bermaksud:
“Dan barangsiapa yang tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir.” (al-Maidah: 44)

“Dan barangsiapa yang tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim.” (al-Maidah: 45)

“Dan barangsiapa yang tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang fasik.” (al-Maidah: 47)

JALUR PEMIKIRAN YANG TIDAK CARI PENJELASAN LANJUT

Pandangan ini pada pendapat penulis, lebih cenderung kepada pendapat mazhab Hanbali yang dipelopori oleh Imam Ahmad bin Hanbal, beliau adalah salah seorang tokoh ulama salaf yang mempunyai ciri khas dalam pemikirannya iaitu lebih menerapkan pendekatan lafdzi (teks) daripada pendekatan ta’wil, kemudian beliau menyerahkan makna-makna ayat dan hadis mutasyabihat (kesamaran) kepada Allah SWT dan RasulNya.

Metodologi beliau dalam pengambilan hukum daripada sumber al-Quran dan al-Sunnah mengikut apa yang tersurat tanpa sebarang ta’wil. Beliau juga kurang memberi ruang dan tumpuan kepada penggunaan akal untuk berijtihad.

Sebagai contoh, pemikiran tauhid Imam Ahmad tentang ayat-ayat mutasyabihat (kurang jelas) diertikan sebagaimana seadanya, hanya penjelasan tentang cara (kaifiah) dari ayat tersebut diserahkan kepada Allah SWT. Ketika beliau ditanya tentang tafsiran surah Thaha ayat 5. Ertinya: “Maha Pengasih Bersemayam di atas Arsy” (Thaha: 5)

Imam Ahmad menjawab: “Istiwa di atas ‘Arasy terserah kepada Allah SWT dan bagaimana Dia kehendaki dengan tiada batas dan tiada seorangpun yang sanggup menyerupainya”. Dan dalam memahami hadis nuzul (Allah turun ke langit dunia), ru’yah (melihat Allah SWT di akhirat) dan hadis tentang telapak kaki Allah SWT, beliau berkata: “Kita mengimani dan membenarkannya, tanpa mencari penjelasan lanjut tentang cara dan maknanya” (Abdul Razak, 2006).

IMAM SHAFIE ADA 2 IJTIHAD

Hujah bagi golongan kedua yang berpendapat bahawa Islam perlu disesuaikan dengan konteks Singapura adalah, menurut mereka di dalam al-Quran terdapat lebih banyak ayat-ayat yang mendorong manusia menggunakan akal (berijtihad) dalam menghasilkan sesuatu hukum yang baru daripada ayat-ayat yang tetap tidak boleh berubah.

Menurut mereka lagi, al-Imam al-Shafi‘e sendiri mempunyai dua pendapat atau ijtihad yang berbeza yang dikenali dengan qaul qadim (pendapat lama) dan qaul jadid (pendapat baru). Pendapat lama semasa beliau tinggal di Baghdad (Iraq) dengan corak pemikiran rationalist.

Manakala yang kedua pula semasa beliau menetap di Mesir dengan menggabungkan dua corak pemikiran ulama Hijaz (tekstual) dan ulama Iraq (rasional). Sebabnya adalah, beliau merasai dua suasana kehidupan yang berbeza serta keadaan masyarakat yang berlainan adat resam dan budaya.

Selanjutnya, banyak perkara-perkara baru yang timbul yang belum pernah ada hukumnya sebelum ini, memerlukan kepada panduan agama terkini. Jika tidak, agama Islam menjadi beku dan tidak relevant (sesuai) untuk menjadi agama yang terbesar jumlah pengikutnya di dunia.

PENULIS: RUANG IJTIHAD MASIH TERBUKA LUAS

Pandangan peribadi penulis, ruang ijtihad masih terbuka luas bagi ulama dalam menghasilkan sesuatu hukum yang terbaik bagi kehidupan manusia sejagat.

Selagi tidak ada dalil jelas tentang hukum sesuatu perkara, maka ijtihad boleh digunakan. Namun, tidak kepada perkara-perkara yang semua telah maklum akan hukumnya, seperti dalam bab aqidah, Allah SWT itu Esa, adanya Syurga dan Neraka. Dalam bab ibadah, wajib solat 5 waktu sehari semalam, jumlah rakaat bagi setiap solat fardhu dan waktu-waktunya. Dalam bab muamalah, riba, judi itu haram dan lain-lain.

Menurut al-Nadawi (1981), hukum yang berubah adalah hukum-hukum bersifat ijtihadiyah (ada ruang ijtihad) yang bersumber dari ‘urf dan mashlahah.

Ijtihad Saidina ‘Umar dalam beberapa kes menunjukkan bahwa suatu hukum boleh berubah disebabkan perubahan sosial. Tetapi roh syari‘ah yang mendasari hukum tetap bertahan tidak berubah.

KENAPA TIDAK LAKSANA HUKUM POTONG TANGAN?

Ijtihad beliau dalam beberapa isu bertentangan dengan dalil-dalil jelas seperti dalam isu saham muallaf, beliau tidak membahagikan harta dari hasil pungutan zakat negara kepada saham muallaf kerana pada zaman beliau nasib orang-orang tersebut sudah cukup terbela, tidak lagi rasa takut dan mereka juga dari segi ekonomi agak mantap dari sebelumnya (Amiur Nuruddin, 1991).

Beliau juga tidak melaksanakan hukuman potong tangan dalam kes curi kerana situasi pada waktu itu adalah zaman kelaparan. Sehingga tindakan mencuri dalam keadaan terpaksa (dharurah) dibolehkan kerana untuk tujuan kehidupan (Muhammad Baltaji, 2005).

Kesimpulan, kehidupan manusia berbeza dari satu tempat ke satu tempat yang lain, keperluan dan tuntutan kehidupan juga berubah-ubah dari masa ke semasa. Agama Islam akan menjadi agama yang sempit dan tidak sesuai jika tidak ada ruang flaksibal dalam mencari jalan menyelesaikan terhadap sesuatu masalah yang memerlukan hukum baru terhadapnya.

Ijtihad-ijtihad Saidina ‘Umar sendiri ada kalanya bercanggah dengan ijtihad Nabi s.a.w. dalam beberapa kes dan bahkan bertentangan dengan nash al-Quran. Ini menunjukkan bahwa Allah SWT memberi ruang kepada mujtahid untuk mencari jalan terbaik dalam menentukan kehidupan mereka, pada masa yang sama tidak menggadai atau mengabaikan kepentingan agama.

Sabda Nabi s.a.w bermaksud: “Allah SWT telah menetapkan sejumlah kewajiban, maka jangan disia-siakan. Allah telah menetapkan batasan-batasan, maka jangan kamu langgar, Allah mengharamkan beberapa perkara maka jangan kamu dekati dan Allah mendiamkan beberapa perkara karana rahmat kepada kamu bukan karana lupa, maka jangan kamu mencari-cari (hukumnya)” (HR: al-Dar Quthni) 


(Gambar-gambar: Facebook/ Suhaimi Mustar)

MENGENAI PENULIS:

Ustaz Dr Suhaimi Mustar kini bertugas sebagai Pengerusi Eksekutif bagi Masjid Assyakirin dan Masjid Ar-Raudah. Beliau merupakan seorang asatizah terkini Singapura yang bergelar 'Dr' setelah lulus ijazah Doktor Falsafah tahun lalu (2016).
Ustaz Dr Suhaimi menerima ijazah tersebut dalam bidang Fatwa dan Pewarisan dari Fakulti Tamadun Islam di Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Asalnya seorang siswazah Syariah Islam dari Universiti Islam Madinah, beliau kemudian memburu ijazah Sarjana di Universiti Islam Malaysia dalam bidang Fiqh dan Usul Fiqh. 

- BERITAMediacorp/ru

Komen Anda?

Top