Images
  • Nadiputra
    Nadiputra atau Almahdi Al-Haj Ibrahim. (Gambar: Naim Daipi/ Facebook)

KOMENTAR: Hidup matinya seni pementasan Melayu Singapura

BERITAMediacorp: Sejauh manakah seni pementasan Melayu di Kota Singa ini boleh dianggap sebagai sudah 'mati'? Apakah ia pernah nazak dan mencecah peringkat perlu dihidupkan semula? Itulah yang cuba dikupas Nadiputra, tokoh seni veteran Melayu Singapura ini, dalam artikel KOMENTAR yang beliau tulis untuk BERITAMediacorp ini. Dalam artikel ringkas ini, beliau menyorot perkembangan dunia teater Melayu sejak sekitar 60 tahun lalu:


(Gambar: Atin Ahmad/ Facebook)

PADA tahun 1959, buat pertama kalinya saya terdedah dengan seni pementasan - berlakon di Sekolah Rendah Telok Kurau, dalam drama “Professor Nincompoop” karya dan arahan Cikgu David Lim, sebagai seorang petinju.

Apa yang terkesan hingga kini, tentang lakonan pentas ini ialah wawasan pemikiran Cikgu David Lim dan pandangan jauh beliau terhadap kehidupan manusia yang terlalu bergantung kepada teknologi. Bersama Cikgu David, pada setiap latihan, keempat-empat watak robot, tanpa kata bual diolah, dibentuk cerita dari gerak laku saja.

SENI PEMENTASAN BELUM RANCAK - TAPI HIDUP

Dewasa ini ia digelar ‘device theatre”. Bayangkan 60 tahun dulu. Corak, kaedah, pendekatan, lebih-lebih lagi pemikiran, dalam lakonan yang dicipta itu jauh menembusi laluan terowong waktu hingga ke hari mukanya - ke abad 21.

Ketika itu saya masih tersogok cereka-cereka dari ‘tetuang udara’ (radio), baik sandiwara-sandiwaranya atau bangsawannya. Seni pementasan belum rancak - tapi hidup. Perkumpulan Seni dan Sriwana sudah wujud. Dan sudah ada rancangan radio yang melaporkan kegiatan seni dan budaya melalui rancangan "Pranonton Radio” kelolaan Allahyarham Akil Jaafar.

Rancangan ini mendedahkan masyarakat perkembangan seni pementasan anjuran Perkumpulan Seni dan Sriwana. Bukan itu saja, Persatuan Bahasa dan Perbahasan Melayu Sekolah Menengah Bartley merupakan sekolah pertama di Singapura berpeluang pementasan-pementasannya di ‘pranonton’ di radio. Oleh kerana tiada pelajar lelaki, kami bergabung dengan para pelajar Sekolah Menengah Tanjong Katong (perempuan).

Dari pengalaman ini, zaman persekolahan lagi, sudah diberi rangsangan semangat oleh pihak Radio Singapura terhadap seni pementasan. Amat berkesan sekali. Seluruh Singapura tahu kegiatan kami, lebih-lebih lagi masyarakat di sekitar Sekolah Mengenah Bartley. Pranonton Radio telah menyedar, bangkit keinginan masyarakat melihat sebuah pementasan yang mereka tidak sangka dekat dengan mereka.

Kesannya berpanjangan. Setiap tahun masyarakat sekitar sekolah, terlazim adanya pementasan, “Sultan Mahmood Mangkat DiJulang”, “Panglima Hitam”, “Gelora”, dan sebagainya.

PRANONTON RADIO MAINKAN PERANAN PENTING

Pementasan-pementasan yang diadakan baik mutunya, kerana dibantu pengarah berpengalaman dalam bidang lakonan dan pementasan seperti Allahyarham Osman Abdullah (Cathay Keris), Zaman Bujang, Razali Sidek dari Persatuan Seni dan Sastera, juga Cikgu M Lana, seorang guru yang rancak bergiat dalam bidang pementasan.

Guru Melayu kami, Cikgu Yusof dan Cikgu Juffri merupakan tunjang hidup dan semaraknya seni pementasan di sekolah ketika itu. Pranonton radio telah memainkan peranan penting menyedarkan pertumbuhan seni pementasan ketika itu.

Kalau kegiatan sekolah mendapat perhatian ‘penting’ dalam rancangan ‘pranonton’nya, tidak hairan pementasan-pementasan besar Perkumpulan Seni, Sriwana, Perwanit, Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu, Persatuan Seni dan Sastera, KD Malaya, rancak dipranontonkan dan diperkatakan. Panggong Victoria tidak sepi.

Saban tahun pementasan-pementasan seni budayanya dan sandiwara bersilih-ganti. Kita melihat ‘peperangan hebat tapisihat’ pertubuhan-pertubuhan seni berlaga usaha, menyaingi kehebatan pementasan mereka. Seni pementasan hidup dan bersemarak. Dan ia lebih rancak dengan keprihatinan akbar tempatan termasuk Tabloid Arena membuat rencana mengenai pementasan yang bakal diadakan.

Kementerian Kebudayaan (kini Majlis Seni Kebangsaan atau National Arts Council) mulai buka laluan yang wajar dan merangsang lagi kumpulan-kumpulan seni dan budaya Melayu meraih dana yang diperuntukkan melalui pesta kesenian dan kebudayaan tahunannya.


(Gambar: Dee Azri)

Semakin galak percambahan badan-badan kesenian dan kebudayaan seperti Bengkel Drama Kelab Panggung Negara, Teater Nadi, Persatuan Kemuning, Ekamatra, Teater Artistik, TeaterKami, Andika Mawar, Kelab Drama Perpustakaan Negara, Kesatuan Guru-Guru Melayu Singapura, Persatuan Sastera, Pertubuhan Bangsawan Sri Anggerik, juga kumpulan-kumpulan seni budaya di kelab-kelab masyarakat (ketika itu digelar Community Centre).

Pesta Drama Sriwana meligatkan lagi perkembangan dan kebangkitan seni pementasan. Saban tahun diadakan pertandingan, dan tidak kurang dari 15 pertubuhan mengambil bahagian. Bilangan penggerak seni pementasan begitu ramai dan rancak sekali.

Tetapi lama kelamaan penyertaan kian merosot. Sumber kewangan kumpulan ketara tidak dapat bertahan membiaya persembahan yang diadakan tiap tahun. Menyedari hal ini Sriwana merubah pendekatan pertandingan dengan menggunakan kaedah drama bebas.

Tiap pementasan hanya menggunakan peralatan, perabut tanpa pembinaan set sepenuhnya. Dana pembiayaan yang tidak mencukupi jelas sekali menjejas kesergaman dan kegagahan pementasan. Ini juga punca semarak seni pementasan kian sukar dikelolakan.

Mentafsir hidup matinya seni pementasan Melayu diulit pula pertumbuhan cendakiawan seni angkatan baru dari lulusan maktab-maktab, gedung-gedung kesenian, yang tidak tergugat dengan ‘nafsu’ pementasan skala besar.

Menyedari keterbatasan biaya, seni pementasan di kalangan ‘graduan seni’ memacak wawasan dan pemikiran dari mendewa seni bina yang hanya awan larat yang tidak perlu dijadikan modal utama seni pementasan.

SEMARAK IBARAT API DALAM SEKAM

Teknologi terkini, dengan penggunaan pancaran aneka gambaran yang diperlukan, dengankesan-kesan seni yang kreatif, merupakan jalan keluar yang lebih menjimatkankhidmat tenaga, masa dan perancangan. Malah ia merupakan satu pendekatan yang lebih ilmiah.

Langkah Kementerian Kebudayaan (kini Majlis Seni Kebangsaan) menganjurkan Pesta Seninya, Pertandingn Menulis Skrip Drama Pentas, menyalakan lagi semangat seni pementasan. Namun peruntukan yang disediakan belum mencukupi untuk mencapai matlamat seni pementasan sepenuhnya dan bermutu tinggi.

Badan-badan kesenian perlu cergas mencaridana tambahan melalui penajaan dari syarikat-syarikat swasta. Peranan pencaridana melalui syarikat pengiklanan membuka laluan badan-badan kesenian menjalankan kegiatan seni pementasan mereka saban tahun. Habuannya hanya 20 peratus yang diperolehi oleh badan-badan ini, dari jumlah yang diraih syarikat pengiklanan. Cukup tapi tidak mencecah tahap yang diimpikan.

Naluri masyarakat Melayu halus. Jiwa seninya, peradabannya yang murni dan mulia - membendung watak-watak semula jadi manusia Melayu yang tidak gemar menagih, apatah lagi meminta-minta. Tidak kasar dan tidak rakus.

Bertolak dari sifat ini juga kesempatan yang tersedia oleh pihak-pihak yang mendana perkembangan dan peningkatan persembahan seni dan budaya, mungkin terlepas pandang atau ‘tidak kuasa’ dititik-beratkan, atau mungkin tidak sampai ke pengetahuan mereka.


(Gambar: Marina Yusof)

Natijahnya, pementasan seni dan budaya Melayu semarak ibarat api dalam sekam. Hangat obor persembahan seni dan budayanya tidak kelihatan dan tidak terasa.

Saya simpulkan seni pementasan Melayu berlegar luas tanpa dibendung pembiayaan yang wajar. Terlalu ramai anak-anak seni budaya kita terlahir. Mereka masih dahaga pembendungan dana yang wajar, bak cendawan tumbuh meliar menanti renjisan hujan untuk mekar, segar dipetik tangan yang menjadi penawar kekabusan mata-mata yang tidak terlihat kehidupannya yang amat bererti dan bermanfaat kepada nusa dan bangsa.

Jadi, seni pementasan tidak mati, hanya sesak nafasnya.

Tidak timbul pula persoalan untuk menghidupkannya kembali. Ini jelas dengan pertumbuhan syarikat-syarikat seni budaya seperti Sri Warisan Som Said Performing Arts, Era Dance Theatre, Teater Kami, Nobat Singapura, Variasi Performing Arts, Teratakseni Kita dan Sri Mamanda Bangsawan Pte Ltd. Mereka begitu yakin, boleh menggegarkan dunia seni pementasan kita, baik di Singapura, di Nusantara, Asia lebih-lebih lagi di persada dunia.

Mereka lakukan, mereka hidupkan, bukan kerana ingin menghidupkannya kembali, tetapi jiwa mereka sentiasa hidup, membara, menyala dengan semangat kental yang cinta pada seni pementasan bangsa, agama dan negara tercinta - Singapura.

Tanya mereka yang mentuhankan diri, yang tidak nampak titik-titik keringat yang keluar dari titisan darah dari jantung kalbu mereka yang tahu, sedar, gayung sukar bersambut, tetapi perahu tetap didayung bersama, sekali pun ombak, badai menghempas bahtera seni pementasan mereka. Wallahu'alam.


Nadiputra atau Almahdi Al-Haj Ibrahim. (Gambar: Naim Daipi/ Facebook)

MENGENAI PENULIS:

Nadiputra, berusia 70 tahun, ialah seorang tokoh seni terkemuka Singapura dan boleh disifatkan sebagainya antara bapa teater Melayu Singapura. Beliau juga sekaligus seorang pelakon, penulis, pengarah dan penerbit teater, drama televisyen dan juga bangsawan. Pada tahun 1986, Nadiputra atau Almahdi Al-Haj Ibrahim, dianugerahkan Pingat Budaya sebagainya menjunjung sumbangan besar beliau kepada persada seni tempatan. Pada 2013, beliau dinobatkan pula dengan Anugerah Tun Sri Lanang yang berprestij. Kesemuanya, beliau sudah menulis lebih daripada 200 skrip drama untuk pelbagai platform.  

- BERITAMediacorp/nk

Komen Anda?

Top
>