Images
  • Dr Norshahril Saat
    Dr Norshahril Saat. (Gambar: Dr Norshahril Saat)

KOMENTAR: Golongan intelektual sejati tidak harus bersembunyi di balik tembok akademik sahaja

BERITAMediacorp: Memang, budaya populisme sudah wujud sejak zaman bahari lagi. Sebahagian pemimpin akan menaburkan cerita, janji dan idea 'popular' yang suka didengari orang-orang biasa. Kini, zaman di mana banyak pendapat awam ditentukan oleh media sosial seperti 'Likes' dan 'Shares' di Facebook, budaya populisme boleh dikatakan semakin menjadi-jadi. Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat menjadi contohnya yang unggul.

Bagaimana pula dengan golongan elit yang dipanggil para agamawan dan ulama? Apakah mereka juga terjebak dalam kancah populisme? Apakah yang orang-orang biasa perlu berikan perhatian di tengah-tengah asakan gejala populisme ini? Dan apakah pula peranan yang perlu golongan intelektual sejati mainkan untuk melayari ombak populisme masa kini? Dr Norshahril Saat, seorang Zamil ISEAS - Institut Yusof Ishak, mengupas persoalan tersebut dalam artikel KOMENTAR yang beliau sumbang kepada BERITAMediacorp ini:


Umat Islam bersolat jemaah di masjid. (Gambar hiasan: SAEED KHAN / AFP)

SEMUA orang yang bergelar Muslim akan menganggap agama Islam sebagai rahmat bagi sekalian alam. Islam dilihat sebagai ad-deen, satu agama yang sempurna, yang menyentuh setiap aspek kehidupan dan sudut pandang penganutnya.

Agama Islam bukan sahaja dilihat dalam bentuk ritual atau ibadah sahaja, tetapi ia juga merangkumi nilai-nilai universal seperti keadilan sosial, kejujuran, hak asasi kemanusiaan, adab, sifat merendah diri, dan keperluan-keperluan rohani dan jasmani.

Islam juga menitikberatkan aspek kemajuan, di mana setiap penganutnya dianjurkan untuk memahami bidang-bidang ilmu seperti sains, perubatan, undang-undang, sosiologi, politik, seni bina, ilmu alam, kimia dan lain-lain lagi. Takrif ilmu tidak harus disempitkan dan bukan hanya dimaksudkan dengan ilmu-ilmu agama sahaja.

2 ASPEK BUDAYA POPULISME

Namun, apabila kita berbicara soal ilmu dan kemajuan masyarakat kita, kita akur tentang wujudnya satu budaya baru yang kurang sihat dalam masyarakat, iaitu budaya populisme. Budaya ini memberikan kesan kepada kedua-dua masyarakat umum dan juga elit kita. Mekarnya budaya populisme ini terbahagi pada dua aspek.

Yang pertama adalah populisme pendekatan, iaitu langkah-langkah yang dilakukan seseorang untuk mengukuhkan pengaruhnya di depan masyarakat umum. Kita sedar bahawa seseorang pemimpin, sama ada dalam aspek politik dan agama, memerlukan dukungan masyarakat.

Hanya seorang yang dianggap berkarisma akan didengari masyarakat, dan individu tersebut haruslah senantiasa dipandang berwibawa, berilmu, dan berakhlak baik.

Banyak sekali idea-idea cerdik dan pandai kekal di pinggiran masyarakat kerana mereka kurang faktor karisma ini.

Sebaliknya, ramai pula yang ilmunya cetek tetapi berpengaruh. Kemungkinan besar cara penyampaian idea bertenaga, lucu, bersemangat, atau boleh menyentuh perasaan.


Seorang Muslim menunaikan solat di sebuah masjid di Malmoe, Sweden. (Gambar hiasan: JONATHAN NACKSTRAND / AFP)

PENDAKWAH 'SELEBRITI' YANG PERLU DIWASPADAI

Dalam hal ini ada dua perkara yang perlu kita renungkan.

Wajah yang tampan dan cantik penyampai tersebut juga menjadi aset kerana boleh mempengaruhi khalayak umum, walaupun wacananya biasa-biasa sahaja. Ada pula yang punya kualiti suara yang baik, sehingga boleh memukau pendengarnya. Kita harus berhati-hati apabila berdepan dengan pendakwah “selebriti” sebegini.

Justeru, kita perlu mendidik masyarakat agar menilai seseorang pemimpin atau pendakwah berlandaskan ilmunya. Saya akur bahawa memang payah masyarakat umum menilai sama ada sesorang itu benar-benar sarjana atau bukan.

Pendakwah selebriti kadang kala merungkai isu-isu kompleks, seperti ekonomi syariah, falsafah Islam, atau antropologi kebudayaan. Teori-teorinya kompleks dan boleh mengelirukan, tetapi kadang-kala, yang mengelirukan itulah yang dianggap bermutu. Bagaimana orang awam boleh mengkritik soal-soal sedemikian sedangkan belum memahami sistem perbankan tradisional, ilmu falsafah, atau antropologi konvensional?

BUKAN PAKAR HANYA KERANA PEMAKAIAN, RUPA, KELAKUAN

Masyarakat perlu meningkatkan keupayaan untuk menilai siapakah ilmuan yang jujur yang boleh diketengahkan. Tetapi huraian yang sama penting adalah - masyarakat sendiri harus meluaskan pembacaan.

Malangnya, masyarakat sendiri mudah dikelirukan oleh golongan yang menggelarkan dirinya sebagai “pakar” walaupun pada dasarnya ilmunya sangat cetek. Usahlah menilai kepakaran seseorang berdasarkan cara pemakaiannya, rupa, atau kelakuannya sahaja.

Sebaliknya, seorang intelektual sejati juga harus berusaha untuk meningkatkan karismanya. Ia tidak boleh hanya melihat dirinya sebagai seorang ilmuan yang yang tersisih daripada masyarakat.

Zaman telah berubah, dan masyarakat tidak mendapatkan maklumat daripada akhbar atau media-media tradisional. Mereka mendapatkan maklumat lewat media sosial.


(Gambar: REUTERS/Dado Ruvic)

GOLONGAN INTELEKTUAL TIDAK HARUS 'BERSEMBUNYI'!

Di sini, intelektual sejati harus menggunakan wahana yang digunakan golongan populis. Mereka perlu memasyarakatkan wacana reformis ke akar umbi dan pastikan penulisan-penulisan mereka boleh difahami masyarakat umum.

Mereka tidak harus bersembunyi di belakang jurnal-jurnal akademik yang tidak tersebar ke masyarakat. Mereka perlu melebarkan wacana menerusi media sosial.

Namun, penggunaan media sosial ini harus dilakukan secara berhati-hati dan bertanggung-jawab. Media sosial tidak harus dijadikan medan mengapi-apikan sentimen perkauman atau permusuhan.

APABILA AGAMAWAN BERSIKAP POPULIS...

Satu keprihatinan saya adalah golongan cerdik pandai kita yang gentar dengan gerakan populis. Hal sedemikian sering berlaku di dalam arena politik, tetapi tidak kurang juga kesannya dalam ruang agama.

Ini bermakna bukan golongan cerdik-pandai yang berfikir tetapi masyarakat yang berfikir untuk mereka.


Presiden Amerika Syarikat Donald Trump. (Gambar: REUTERS/Yuri Gripas)

Misalnya, semasa Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat, calon-calon presiden membuat janji-janji yang memukau. Mereka tidak prihatin terhadap kesan janji-janji mereka, atau sama ada ia boleh dilaksanakan. Yang penting, mereka dapat sokongan, dan dapat menang satu presiden.

Golongan terpelajar atau agamawan kita harus elakkan daripada menyebarkan idea-idea populis. Mereka harus pastikan pemikiran mereka berlandaskan lunas-lunas agama, dalam tradisi Melayu dan Islam.

HARUS BERANI WALAU "IA KURANG POPULAR"

Mereka harus berani melontarkan pandangan mereka walaupun ia kurang popular. Wacana progresif bukan seperti layang-layang yang ditiup angin. Jika seseorang itu hanya prihatin terhadap “likes”di Facebook, atau sejauh-mana idea-idea mereka dikongsi dalam alam maya, beliau belum layak bergelar intelektual sejati.


(Gambar: AFP/Joel Saget)

Dalam Islam sendiri ada banyak hal yang ulama berbeza pandangan. Agama kita meraikan perbezaan tersebut, tetapi mesti dilakukan secara berhemah dan berakhlak. Adakah kerana kita takut akan dicemuh masyarakat, kita tidak berani menyatakan dalam sesuatu isu, ada pandangan yang berbeza? Pemikir yang terlalu takut popularitinya terjejas akan menafikan adanya perbezaan pandangan.

Lantas, demi meningkatkan mutu wacana kita dalam masyarakat, populisme tindakan dibenarkan jika ia dapat memasyarakatkan idea-idea ke akar-umbi. Sebaliknya, populisme idea sangat bahaya, kerana kita akan lari daripada menyatakan perkara yang sebenar.

Apabila orang awam yang berfikir, dan bukan golongan intelektual, natijahnya adalah mutu idea akan terjejas. Idea-idea populis akan menghambat pembahuruan masyarakat ke arah yang lebih maju.


MENGENAI PENULIS:

Dr Norshahril Saat adalah seorang Zamil di ISEAS - Institut Yusof Ishak. Beliau pakar politik Asia Tenggara. Antara bidang kajiannya termasuklah dalam isu-isu sosial, serta tingkah laku politik dan keagamaan golongan Ulama di Malaysia dan Indonesia. 

- BERITAMediacorp/ru

Komen Anda?

Top