Images
  • building
    Gambar fail. (Gambar: TODAY)

KOMENTAR: Fahaman eksklusif perlu ditangani dalam melawan pengganasan

BERITAMediacorp: Sejak kebelakangan ini beberapa kejadian pengganasan tercetus di beberapa bandar utama dunia. Apakah yang mendorong pengganasan atas nama agama? Dan bagaimanakah masalah ini dapat ditangani secara bersama? Encik Nicholas Fang, Pengarah Eksekutif Institut Ehwal Antarabangsa Singapura, memberikan saranan bagaimana untuk melawan pengganasan dan peranan penting masyarakat dalam sama-sama membanteras ancaman ini.


Kemungkinan berlakunya serangan pengganas di Singapura meningkat dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Para pemimpin politik, termasuk Perdana Menteri Lee Hsien Loong, telah berkali-kali memberi amaran bahawa ia bukan persoalan jika, tetapi bila, serangan itu akan melanda negara kita.

Pada masa yang sama, serangan-serangan ganas yang kerap berlaku di merata dunia, dan yang lebih membimbangkan, di rantau Asia Tenggara yang berhampiran, memaksa pihak berkuasa Singapura untuk meningkatkan tahap amaran ancaman keganasan kepada "tahap tertinggi sejak beberapa tahun lalu".

Laporan baru-baru ini mengenai seorang wanita warga Singapura yang menjadi tahanan wanita pertama di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri kerana menjadi radikal, memberi peringatan jelas tentang ancaman yang dihadapi negara.

PENILAIAN ANCAMAN PENGGANASAN

Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) turut mengeluarkan laporan penilaian ancaman pengganasan kebangsaan yang pertama dua minggu lalu.

Ia bertujuan memberi orang awam "pemahaman yang lebih baik" dan kesedaran tentang ancaman pengganasan, dan untuk menggalak rakyat Singapura supaya berjaga-jaga dan bersiap-sedia. Ini adalah tepat pada masanya, memandangkan Singapura terus menjadi sasaran berharga bagi kumpulan-kumpulan pengganas, dan telah dijadikan sasaran utama mereka pada tahun lalu.

Ungkapan yang sering disebut-sebut bahawa serangan pengganas di negara ini tidak dapat dielakkan hampir sama dengan gambaran bahawa Singapura adalah sebuah negara yang berbilang kaum dan budaya, di mana sikap inklusif dan toleransi adalah prinsip yang menjadi panduan bagi kestabilan sosial dan keharmonian.

Walaupun konsep ini bermula sejak pembentukan awal pemerintah dan bukan perkara baru, ia mungkin kunci untuk menangani ancaman radikalisme dan keganasan.

MENGAPA DASAR INKLUSIF DIPERLUKAN

Dasar inklusif boleh bertindak sebagai penstabil yang diperlukan untuk menolak ideologi-ideologi memecah belah yang menyasarkan kumpulan-kumpulan tertentu atau para individu yang merasa terasing, dipinggirkan dan ditindas.

Ideologi-ideologi sedemikian bertujuan untuk menyokong idea bahawa mereka perlu berbeza daripada orang lain dalam semua aspek kehidupan dan tidak boleh ada persamaan dengan agama lain.

Negara-negara di seluruh dunia sedang bergelut dengan masalah tentang bagaimana untuk menghadapi gelombang serangan pengganasan yang semakin meluas di merata dunia yang disokong kumpulan-kumpulan pengganas seperti Daesh (ISIS) dan Al Qaeda yang berpotensi untuk bangkit semula, dan kumpulan-kumpulan samseng dan ekstremis serantau yang lain.

Langkah-langkah menangani ancaman sedemikian dan juga ancaman-ancaman lain seperti serangan siber dan golongan belia yang mudah terpengaruh dengan propaganda digital dan perekrutan dalam talian oleh kumpulan- kumpulan pengganas, meliputi langkah-langkah fizikal seperti memperkukuhkan infrastruktur dan pasukan tindak balas, serta langkah balas dalam talian dan operasi psikologi.

Tidak dapat dinafikan bahawa semua usaha ini penting dan perlu diteruskan. Tetapi perlu juga dilakukan usaha untuk menangani punca sebenar falsafah dan psikologi fenomena yang mendorong keganasan, selain menguruskan manifestasi dan gejala-gejala fizikal.


PENGGANASAN YANG BERPUNCA DARI EKSKLUSIVISME
Kebanyakan rasional dan motivasi serangan-serangan pengganas baru-baru ini berpunca daripada tafsiran teks-teks agama dan ajaran yang menekankan eksklusivisme (fahaman atau sikap eksklusif).

Eksklusivisme adalah amalan menjadi eksklusif dengan mengabaikan pendapat dan idea-idea lain selain daripada diri sendiri, atau dengan menyusun masyarakat dan individu ke dalam kumpulan-kumpulan tertentu dengan mengecualikan mereka yang mempunyai ciri-ciri berbeza.

Eksklusivisme agama menegaskan bahawa hanya sesuatu agama itu adalah benar manakala yang lain adalah salah. Nilai-nilai seperti itu sering, atau selalunya, bertentangan dan mereka memburuk-burukkan kepercayaan penganut agama lain, di samping menegaskan keunggulan mutlak pandangan dunia mereka.

Eksklusivisme yang berdasarkan sistem kepercayaan bukanlah satu fenomena baru. Ada banyak contoh ia wujud sejak Zaman Yunani lagi. Contoh-contoh moden kini lebih ganas, dengan hukuman mati dikenakan keatas golongan yang tidak percaya, walaupun mereka dari agama yang sama tetapi mempunyai amalan yang berbeza, menjadi matlamat atau tuntutan orang-orang yang beriman.

Perlu ditegaskan bahawa para pemimpin agama yang meliputi hampir semua agama telah menekankan bahawa kepercayaan eksklusif yang ganas bukan sebahagian daripada ajaran mana-mana agama yang benar.


MEDIA SOSIAL, TEKNOLOGI MENYEBARKAN EKSKLUSIVISME
Tetapi kebangkitan media sosial dan teknologi, kecanggihan teknologi yang semakin meningkat di kalangan kumpulan pelampau, dan golongan belia yang berasa kecewa dan tidak berpuas hati di seluruh dunia menjadi sumber pengambilan anggota para pelaku keganasan, telah menyebarkan kecenderungan bersifat eksklusif ke seluruh dunia.

Dengan para penyerang yang bertindak sendirian digalakkan untuk melakukan kekejaman di media sosial atau di sebalik ruang tersembunyi di alam maya, potensi berlakunya lebih banyak serangan di mana-mana sahaja di dunia pada masa depan, dengan sedikit amaran atau tanpa sebarang amaran, amat besar.

Menangani sentimen eksklusif akan kelihatan seperti titik permulaan yang logikal untuk menangani isu ini. Tetapi bagi sebuah negara seperti Singapura, ia adalah satu kemestian.
Singapura terkenal sebagai salah sebuah negara di dunia yang mempunyai agama yang pelbagai. Sejarah dan masyarakat kita yang rencam telah menyaksikan sikap toleransi dan hormat terhadap kepelbagaian agama dan budaya, dengan pemerintah memainkan peranan utama dalam mempromosikan serta menggalak pendekatan sedemikian di semua lapisan masyarakat.

Asas pendekatan ini bukan untuk menggalak keseragaman, tetapi untuk memupuk kesedaran tentang kepelbagaian negara kita, dan mengiktiraf manfaat di sebaliknya.

NILAI-NILAI PROGRESIF PERLU TERUS DIDUKUNG

Kita harus terus mendukung nilai-nilai agama yang progresif yang menggalak kesedaran dan rasa hormat kepada kepelbagaian dan kesaksamaan dalam budaya, sambil membentuk titik persamaan untuk menjalin hubungan yang harmoni.

Tidak sukar untuk melihat mengapa sebuah negara yang mempunyai rakyat yang memahami, menghormati dan menghargai kepercayaan dan sikap satu sama lain yang berbeza, akan menikmati keamanan dan dengan itu kestabilan.

Tetapi dalam dunia yang semakin bergolak, tidak menentu, kompleks dan tidak jelas, kestabilan ini menjadi penting untuk memastikan penakatan dan kejayaan mana-mana negara di masa hadapan.
Nilai-nilai inklusif juga akan memastikan perpaduan, keakraban dan daya tahan antara pelbagai kaum terutama bagi senario “sehari selepas" sesuatu kejadian, memandangkan serangan ganas mungkin tidak dapat dielakkan.

JANGAN BIARKAN MASYARAKAT BERPECAH BELAH

Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Grace Fu, menyusuli pengumuman terbaru mengenai penangkapan wanita pertama di negara ini yang menjadi radikal, mengajak rakyat agar bersatu dan tidak membiarkan masyarakat berpecah belah, kerana ini bermakna kemenangan untuk pengganas.

Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) juga mengatakan, ia dan rakan-rakannya akan terus melindungi masyarakat daripada sikap eksklusif dan ekstremisme, serta menghalangnya daripada berakar umbi di Singapura.
Konsep persefahaman dan toleransi bukanlah untuk sesuatu kumpulan agama sahaja, tetapi ia haruslah diterima oleh semua agama dan setiap lapisan masyarakat.

Barulah dapat kita benar-benar mula mengatasi ancaman pengganasan dengan secara fleksibel dan sistematik yang diharap dapat menghasilkan kejayaan jangka panjang.

MENGENAI PENGARANG:
Nicholas Fang adalah Pengarah Eksekutif Institut Ehwal Antarabangsa Singapura dan penyelia program Kerakyatan Global Singapura institut tersebut, yang bertujuan meningkatkan kesedaran tentang isu-isu utama antarabangsa di kalangan karyawan muda dan orang awam.
 

- TODAY/ur

Komen Anda?

Top