Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Era kepimpinan pihak tentera di Indonesia masih belum berakhir?

Pengaruh pasukan polis terhadap Presiden Indonesia Joko Widodo semakin meningkat, lebih-lebih lagi selepas polis bertindak pantas untuk mengawal keadaan semasa berlakunya bantahan besar-besaran oleh kumpulan-kumpulan tegar di Jakarta.

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Era kepimpinan pihak tentera di Indonesia masih belum berakhir?

(Gambar: BAY ISMOYO / AFP)

BERITAMediacorp: Pengaruh pasukan polis terhadap Presiden Indonesia Joko Widodo semakin meningkat, lebih-lebih lagi selepas polis bertindak pantas untuk mengawal keadaan semasa berlakunya bantahan besar-besaran oleh kumpulan-kumpulan tegar di Jakarta. Johannes Nugroho, seorang ahli perniagaan dan penulis dari Surabaya menyuarakan keprihatinan ini di tengah-tengah persaingan yang sengit antara polis dengan angkatan tentera negara itu:

PERSAINGAN semakin meningkat antara Tentera Nasional Indonesia (TNI) dan pasukan polis negara dalam perebutan kuasa politik dan bagaimana ketua TNI, Jeneral Gatot Nurmantyo berani melangkau Presiden Joko "Jokowi" Widodo untuk menggantung kerjasama ketenteraan dengan Australia ekoran bahan-bahan yang didakwa menghina ideologi Pancasila Indonesia.

Namun tindakan Jeneral Nurmantyo tidak berakhir di situ dan ini memaklumkan kita sesuatu tentang peranan tentera di Indonesia.

Dalam satu lagi tindakan ingkar menyusuli penggantungan kerjasama ketenteraan dengan Australia, Jeneral Nurmantyo memberitahu pihak media bahawa kedudukan beliau sebagai ketua TNI mungkin akan digantikan tidak lama lagi.

Beliau membayangkan bahawa beliau tidak lagi disenangi tetapi menjelaskan bahawa beliau sudah hampir tempoh bersara.

TNI KURANG KUASA

Jeneral Nurmantyo turut membuat satu "pendedahan" tentang bagaimana ketua TNI hanya mempunyai kuasa yang sedikit dalam pemerolehan peralatan tentera di bawah undang-undang 2015 yang memberikan Kementerian Pertahanan kuasa mutlak dalam pemerolehan sedemikian.

Beliau melahirkan rasa kesalnya terhadap kehilangan kuasa ke atas pemerolehan dengan berkata: "Jika ini (penghakisan hak mutlak ketua TNI) berterusan, komander tidak akan mempunyai apa-apa kuasa."

Undang-undang baru itu mungkin satu kekecewaan besar bagi angkatan tentera yang menjangkakan kenaikan ketara dalam perbelanjaan pertahanan.

Dalam belanjawan negara 2017, pertahanan merupakan salah satu daripada 10 perbelanjaan besar berjumlah 104.4 trilion rupiah (S$ 10.9 bilion), berbanding dengan 72.4 trilion rupiah yang diperuntukkan kepada polis negara.

Perangkaan itu dijangka meningkat kerana Presiden telah berjanji untuk menaikkan perbelanjaan pertahanan kepada sekitar 250 trilion rupiah setahun.

"AKSES EKONOMI" PIHAK TENTERA DISEKAT KEMENTERIAN PERTAHANAN

Perangkaan tersebut semestinya satu berita baik untuk para jeneral mamandangkan pemerolehan pertahanan pada masa lalu memberi pegawai-pegawai tinggi tentera peluang untuk meraih keuntungan yang lumayan melalui "bayaran komisyen" dari para kontraktor pertahanan serta "peningkatan harga belian" yang lain.

Dengan mengalihkan semula tanggungjawab pemerolehan kepada Kementerian Pertahanan, pemerintah dengan secara berkesan menutup sejumlah besar "akses ekonomi" yang dinikmati pegawai-pegawai tinggi tentera sebelum ini.

Dalam melahirkan kekecewaannya, Jeneral Nurmantyo mungkin mendedahkan keperibadiannya yang kasar dan kurang berhati-hati – yang gagal dikesan atau disalah kira oleh Encik Widodo semasa mempertimbangkan beliau untuk jawatan tertinggi itu.

Walau bagaimanapun, kecenderungan jeneral tersebut untuk bercakap kepada pihak media dan menyampaikan ceramah-ceramah yang mengapi-apikan - salah satu daripadanya di mana beliau membayangkan bagaimana pelarian China diberi makan kepada ikan jerung – mungkin juga menunjukkan bahawa beliau sedang cuba mencipta imejnya sebagai seorang yang mencintai negara serta sanggup mempertahankannya, dan bersedia untuk memainkan peranan yang lebih besar.

MANTAN JENERAL DALAM POLITIK

Berdasarkan kejayaan politik mantan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono, mantan-mantan jeneral tentera yang mempunyai daya tarikan yang popular boleh menunjukkan prestasi yang baik dalam pilihan raya.

Patut diberi perhatian adalah luahan perasaan Jeneral Nurmantyo kepada pihak media berlaku selepas polis mencatat kemenangan politik yang penting dalam usaha mengukuhkan kuasa Presiden semasa perhimpunan-perhimpunan oleh kumpulan tegar pada bulan November dan Disember tahun lalu.

Perhimpunan-perhimpunan tersebut, yang didakwa disasarkan terhadap Gabenor Jakarta Basuki "Ahok" Tjahaja Purnama - seorang Kristian berketurunan Cina yang dituduh meluahkan kata-kata kufur - hampir-hampir bertukar menjadi bantahan terhadap pemerintah, dan akhirnya terhadap Presiden.

Bantahan yang dihadiri ribuan anggota kumpulan tegar Indonesia itu merupakan cabaran sebenar yang pertama ke atas kedudukan Encik Widodo sebagai Presiden.

Untuk membendung kesannya, polis Indonesia telah menahan beberapa orang "penghasut" atas tuduhan pengkhianatan pada pagi perhimpunan 2 Disember lalu.

POLIS BERJAYA HENTIKAN KEKACAUAN

Ketua Polis Negara Jeneral Tito Karnavian, yang dilantik Encik Widodo pada Julai tahun lalu, menggunakan pengaruh Presiden dan mampu menghentikan kekacauan berterusan dari perhimpunan-perhimpunan tersebut melalui rundingan dan dengan menggunakan kekerasan.

Sebaliknya, angkatan tentera kelihatan tidak terlalu bersemangat untuk membantu Presiden semasa bulan-bulan yang bergelora itu.

Malah, Jeneral Nurmantyo menjelaskan teori kegemarannya kepada pihak media, dengan berhujah bahawa radikalisme dan "melaga-lagakan rakyat Indonesia dengan satu sama lain", seperti yang jelas tergambar dalam kempen pilihan raya gabenor, merupakan satu lagi perang proksi yang dirancangkan kuasa-kuasa asing.

HUBUNGAN DENGAN KUMPULAN TEGAR

Yang lebih membimbangkan adalah Jeneral Nurmantyo dikatakan mempunyai hubungan kukuh dengan kumpulan-kumpulan tegar seperti Barisan Pembela Islam yang menganjurkan perhimpunan-perhimpunan menentang pemerintah baru-baru ini.

Koresponden Indonesia yang berpengalaman John McBeth menyifatkan dakwaan itu mungkin ada meritnya. Beliau memetik seorang jeneral bersara dalam satu artikel, beliau menulis: "Permainan dengan kumpulan-kumpulan Islam timbul ekoran keadaan yang sedang reput... Mereka mahu menunjukkan bahawa angkatan tentera masih diperlukan dan mereka tidak bimbang dengan masalah yang ditimbulkan."

Sekiranya benar, Jeneral Karnavian, dengan sokongan Presiden, dengan cekap telah mematahkan pakatan jahat dalam tentera yang mahu mewujudkan keadaan yang tidak dapat dipertahankan, dan yang akan memerlukan campur tangan tentera.

Pihak polis bertindak pantas untuk mengawal keadaan dan menyelamatkan Presiden.

Kejayaan pasukan polis dalam mendapatkan penghargaan Presiden menjejas pihak tentera.

SAINGAN ANTARA TENTERA DENGAN POLIS

Namun, rintangan politik sementara yang dihadapi pihak tentera tidak bermakna berakhirnya persaingan antara kedua-dua pasukan. Pihak polis yang paling dekat dengan orang awam sudah pasti mempunyai kelebihan berbanding TNI dalam era Pos- Reformasi di Indonesia.

Walau bagaimanapun, kelemahan angkatan polis terletak dalam interaksi mereka dengan rakyat. Satu kajian oleh Transparency International, misalnya, menunjukkan orang ramai melihat polis sebagai salah satu agensi pemerintah yang paling korup.

Selain mengambil dan menuntut rasuah, pegawai polis juga didakwa menjalankan "perniagaan-perniagaan" haram di luar, seperti menuntut bayaran "wang keselamatan" dari perniagaan-perniagaan serta pegawai-pegawai yang mengawal "tempat-tempat meletak kereta" dalam kawasan bandar yang lumayan dengan kerjasama pihak samseng, atau orang-orang yang tiada kaitan dengan pasukan beruniform.

USAHA PEMBAHARUAN DALAM PASUKAN POLIS

Presiden kini merasa terhutang budi dengan pihak polis tetapi belum dapat dilihat sama ada Encik Widodo boleh melaksanakan pembaharuan untuk memerangi rasuah yang berleluasa dalam pasukan tersebut.

Kegagalan untuk berbuat demikian mungkin akan menyediakan satu lagi peluang bagi pihak tentera untuk berkuasa. Presiden sudah tentu mempunyai tugas yang mencabar untuk mengimbangi kuasa antara kedua–dua angkatan bersenjata itu.

Pengaruh angkatan tentera dalam politik Indonesia jelas memerlukan kewaspadaan walaupun demokrasi di negara itu dalam hal ini adalah lebih baik berbanding Thailand.

PENGARUH TNI MUNGKIN MASIH BERAKAR

Doktrin dwifungsi yang dilaksanakan oleh pemerintah "Orde Baru" Presiden Suharto yang dikuasai tentera Indonesia yang membenarkan pengaruh yang lebih besar dari TNI mungkin telah dimansuhkan secara rasmi tetapi akarnya masih lagi kukuh.

Ini mungkin satu pandangan yang cetek tetapi pakaian seragam tentera dapat membangkitkan keyakinan di negara ini sehinggakan mantan Presiden Sukarno yang tidak pernah menjalani latihan ketenteraan mengenakan pakaian kebesaran pihak tentera dengan cara yang sangat mudah dilihat pada tahun-tahun akhir hayatnya.

Jika Jeneral Nurmantyo benar-benar mempunyai cita-cita politik selepas bersara dan sekiranya beliau mampu mendapatkan sokongan politik yang mencukupi, kita boleh melihat beliau bertanding dalam pilihan raya presiden 2019, bersama-sama dengan Encik Prabowo Subianto dan mungkin anak Dr Yudhoyono, Encik Agus Harimurti.

Era pemimpin pseudo-tentera di Indonesia masih belum tamat. Malah, mungkin untuk jangka masa yang lama.

MENGENAI PENULIS:
Johannes Nugroho adalah seorang ahli perniagaan dan penulis dari Surabaya. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan