Images
  • mahathir
    Mantan perdana menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad. (Gambar: MANAN VATSYAYANA / AFP)

KOMENTAR: Di sebalik perbalahan terbaru Dr Mahathir dengan Istana Johor

Mantan Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad memang pernah menyuarakan rasa kurang senang beliau terhadap rancangan-rancangan pembangunan yang giat dijalankan di Johor. Kritikan terbaru beliau terutamanya terhadap projek pembangunan berbilion ringgit, Forest City, mencetuskan perbalahan sengit antara beliau dengan seorang Sultan yang berpengaruh. Apakah matlamat sebenar kritikan Dr Mahathir itu? Dr Mustafa Izzuddin, zamil di ISEAS-Institut Yusof Ishak memberikan beberapa sebab yang mungkin menjadi pertimbangan utama mantan Perdana Menteri Malaysia itu.

Berdasarkan tajuk-tajuk berita yang dicetuskannya, perbalahan baru-baru ini antara mantan Perdana Menteri Malaysia, Dr Mahathir Mohamad, dengan seorang Sultan yang berpengaruh mengenai peningkatan pelaburan China ke Malaysia cukup menarik perhatian rakyat negara itu.

Ini tidaklah menghairankan. Peristiwa itu mengandungi segala unsur-unsur kisah menarik : Seorang pemimpin tegas yang kembali daripada persaraan politik yang bersedia menentang seorang Sultan yang disanjungi; pilihan raya yang bakal menjelang yang dibebani isu perkauman; wang yang begitu banyak sehinggakan sukar untuk orang biasa membayangkan jumlahnya; dan watak penjahat yang kerap dikaitkan dengan sesebuah kaum tertentu.

Perang mulut yang tercetus kemudian, sesuatu yang sememangnya jarang berlaku di mana seorang raja berperlembagaan diingkari secara terbuka, Dr Mahathir berkata beliau bersedia diheret ke mahkamah atas tuduhan menghina Sultan kerana beliau mengkritik peningkatan projek-projek pembinaan China di Johor. Projek-projek itu disokong oleh pemimpin Johor, Sultan Ibrahim Ismail.

Dr Mahathir khususnya mengkritik projek Forest City bernilai AS$42 bilion (S$59.6 bilion) yang dirancang – satu usahasama antara sebuah syarikat yang dikuasai Sultan dan syarikat China, Country Garden.

Meskipun pembangunan itu cukup mengkagumkan – ia dijangkakan dapat menampung 700,000 orang di atas empat pulau buatan manusia yang empat kali ganda lebih luas jika dibandingkan dengan Central Park di

New York – mengapa ia boleh menimbulkan perbalahan?

Pertama sekali, kita harus sedar bahawa pembangunan yang gilang gemilang ini (pelannya termasuk sebilangan sekolah antarabangsa, pusat membeli-belah dan hotel yang dihiasi tumbuhan-tumbuhan hijau) adalah contoh terbaru pelaburan besar-besaran China di Malaysia.

Walaupun bidasan Dr Mahathir disasarkan kepada pembangunan tersebut, ia harus dilihat dengan mengambil kira sikap beliau yang tidak senang dengan Perdana Menteri Najib Razak dan tuduhan-tuduhan beliau bahawasanya Encik Najib sedang menjual Malaysia kepada China.

Dr Mahathir, 91 tahun, memerintah Malaysia secara kuku besi selama 22 tahun sehingga tahun 2003. Baru-baru ini, beliau muncul semula daripada belantara politik untuk menjadi pengkritik utama Encik Najib, yang menghadapi dakwaan tentang kaitan beliau dengan satu skandal rasuah badan pelaburan negara 1MDB.

Tahun lalu, Dr Mahathir berundur daripada Umno – tulang belakang kerajaan campuran negara itu sejak ia merdeka pada tahun 1957 - dan membentuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (atau singkatannya Bersatu), sebuah parti nasionalis Melayu yang dianggotai sekutu-sekutu anti-Najib termasuk anak Dr Mahathir, Mukhriz Mahathir dan mantan timbalan kepada Encik Najib, iaitu Muhyiddin Yassin.

Sejak itu, Dr Mahathir telah menyelar Encik Najib kerana menjalin hubungan rapat dengan China, khususnya kunjungan Perdana Menteri Malaysia itu ke China tahun lalu, di mana beliau pulang ke Malaysia selepas memeterai perjanjian perdagangan dan pelaburan bernilai RM 144 bilion (S$46 bilion).

Perkara kedua yang harus diberi perhatian adalah lokasi pembangunan itu – di Johor – adalah sesuatu yang agak penting. Negeri itu dipilih oleh Bersatu sebagai pangkalannya. Bersatu berharap ia dapat memenangi pilihan raya di negeri itu, yang sekian lama dikaitkan – dan merupakan tempat lahirnya – Umno, di samping menjadi tunggak nasionalisme Melayu.

Untuk mencapai matlamat itu memerlukan Bersatu dapat memancing undi Melayu, khususnya di kawasan luar bandar, dengan mengasingkan mereka daripada Umno. Undi-undi tersebut perlu dimenangi jika Bersatu ingin berjaya dalam pilihan raya akan datang, yang sepatutnya diadakan menjelang Ogos 2018, tetapi dijangka berlaku tahun ini oleh ramai pihak.

Pada akhirnya, Bersatu mahu mencapai matlamat yang mempunyai dua peringkat. Tahap pertama adalah menyingkirkan Umno daripada menguasai Dewan Undangan Negeri Johor dengan menjalin pakatan longgar bersama pihak pembangkang, dan melalui langkah ini, ia dapat melemahkan Umno.

Matlamat kedua ialah menyingkirkan Encik Najib dari kerajaan sama ada dengan memenangi pilihan raya, ataupun dengan mengurangkan undi kemenangan Encik Najib secukupnya untuk menggoyahkan kedudukan politik beliau, baik dalam partinya sendiri mahupun dalam kerajaan.

Dari sudut pandangan Dr Mahathir – serta para ahli politik Melayu lain yang anti-Najib – projek Forest City bak satu rahmat politik. Harapan Dr Mahathir adalah jika beliau dapat mengambil kesempatan daripada kebimbangan bahawa Encik Najib memperdagangkan kedaulatan Malaysia (atau secara mudah, tanah Melayu kepada China), dan jika beliau membayangkan bahawa negara itu akan menjadi negara satelit Beijing, beliau boleh meraih sokongan orang Melayu di dalam dan di luar Johor, yang kebanyakannya golongan konservatif di kawasan luar bandar.

Dr Mahathir juga menyebarkan pandangan yang menimbulkan kebimbangan bahawa Malaysia akan dibanjiri dengan pekerja dan penduduk China yang datang masuk, yang akan menjejas keseimbangan kuota kaum Malaysia yang termaktub dalam perlembagaannya.

Sebahagian besar golongan konservatif Melayu masih menaruh kesangsian terhadap rakyat Malaysia kaum Cina dan aturan serantau yang berpusat kepada negara China, yang sedang bangkit – sekali gus menjadikan isu Malaysia memperdagangkan jiwa ekonominya kepada China isu hangat semasa pilihan raya.

Golongan ahli politik pembangkang bukan Melayu juga berkemungkinan menjadikannya isu pilihan raya, dengan berhujah bahawa isu sebenar mengenai biaya daripada Beijing adalah sama ada ia akan memberi manfaat kepada semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, atau sama ada ia memberi manfaat kepada pihak elit sahaja.

Perkara ketiga yang patut difikirkan adalah sejarah permusuhan di antara Dr Mahathir dan dan kerabat diraja Malaysia.

Dr Mahathirlah yang melancarkan kempen terbuka untuk membendung perbuatan keluarga diraja yang keterlaluan dan menghapuskan imuniti para Sultan daripada pendakwaan jenayah selepas berlakunya dua kes serangan yang melibatkan keluarga diraja Johor pada tahun 90-an.

Baru-baru ini, Sultan Ibrahim menegur Dr Mahathir atas kritikan beliau terhadap konsep Bangsa Johor, yang mengasaskan pembangunannya kepada usaha memupuk perpaduan dengan menghormati kaum, agama dan budaya.

Berhubung persengketaan terbaru mereka, usaha Dr Mahathir untuk menarik perhatian nampaknya berdasarkan sentimen beliau yang anti-Najib beliau serta rasa kurang senangnya terhadap keluarga diraja sejak sekian lama. Di pihak kerajaan Johor pula, Sultan mahu melindungi negerinya daripada politik Dr Mahathir yang bersifat sempit dan berbau perkauman, demi melindungi dan menggalakkan cara hidup Bangsa Johor.

Isu sebenar yang timbul daripada persengketaan ini adalah betapa berakarnya politik yang berasaskan kaum di Malaysia. Dengan pilihan raya bakal menjelang, semua pihak nampaknya akan menekankan aspek perkauman dan agama semasa berkempen untuk memancing undi. Seterusnya, ini menunjukkan kemungkinan pihak Istana memainkan peranan lebih aktif di barisan depan sebagai pencegah polarisasi kaum dan agama di negara itu.

Sememangnya, tajuk-tajuk berita yang menjadi tumpuan rakyat Malaysia sepanjang minggu lalu mungkin membayangkan apa yang akan berlaku apabila tarikh pilihan raya semakin hampir. Ini mungkin baik bagi mereka yang menulis tajuk berita; tetapi kurang baik bagi mereka yang membacanya.

MENGENAI PENGARANG:
Dr Mustafa Izzuddin ialah zamil dan editor Contemporary Southeast Asia di ISEAS - Institut Yusof Ishak dan pensyarah Program Sarjana Universiti Nasional Singapura . 

- BERITAMediacorp/ru

Komen Anda?

Top
>