Images
  • Dr Norshahril Saat
    Dr Norshahril Saat. (Gambar: Dr Norshahril Saat)

KOMENTAR: Cabaran masa depan semakin kompleks tapi sudahkah masyarakat Melayu/Islam bersedia menghadapinya?

Dengan kemunculan tahun baru 2017 kita boleh menjangkakan pelbagai cabaran baru yang perlu ditangani dengan teliti. Zamil ISEAS -Institut Yusof Ishak, Dr Norshahril Saat berpendapat ada tiga cabaran penting: Keadaan ekonomi tidak menentu, pembaharuan kepimpinan masyarakat Melayu dan cabaran kematangan dalam beragama. Bagaimanakah cabaran-cabaran ini boleh ditangani dengan jayanya agar ia tidak menjadi hambatan kepada kemajuan yang telah dikecapi masyarakat Melayu/Islam dalam tahun-tahun mendatang? Dr Norshahril mengupas dalam KOMENTAR berikut:


TAHUN INI Singapura bakal melihat seorang Presiden Melayu. Masyarakat Melayu/Islam kita boleh berbangga di atas pencapaian ini kerana ia mempunyai peluang untuk memenuhi jawatan tertinggi dalam negara walaupun ia sebuah masyarakat minoriti dalam sebuah masyarakat majmuk. Mungkin ada yang mengatakan bahawa pengkhususan pilihan raya Presiden yang bakal diadakan untuk calon-calon Melayu sahaja adalah satu saguhati.

Namun, calon Melayu tersebut wajib memenuhi kriteria-kriteria yang sama bagi calon-calon kaum lain. Walaupun masyarakat kita boleh bersorak dengan perlantikan seorang presiden Melayu, kita tidak harus hilang fokus pada cabaran-cabaran yang bakal menanti.

Saya melihat tiga cabaran penting yang jika tidak ditangani dengan teliti, berpotensi menghambat kemajuan masyarakat bagi tahun-tahun mendatang. Cabaran-cabaran ini termasuk keadaan ekonomi yang tidak menentu; peralihan kepimpinan di peringkat politik dan juga akar umbi; dan juga pemahaman agama yang ekstrim.


(Gambar: SPENCER PLATT / GETTY IMAGES NORTH AMERICA / AFP)

EKONOMI GLOBAL YANG TIDAK MENENTU

Salah satu perkara yang menjadi perhatian para pemimpin dan pakar-pakar ekonomi kita adalah keadaan ekonomi yang suram yang dijangkakan pada tahun 2017. Pertumbuhan ekonomi GDP dijangka berada pada tahap 1.5 peratus pada tahun ini dan keadaan ekonomi yang tidak menentu menghambat kebangkitan ekonomi-ekonomi rantau Asia ini.

Hal ini dikeruhkan lagi dengan kemenangan Encik Donald Trump dalam pilihan raya Presiden Amerika tahun lalu. Encik Trump dijangkakan mengorak dasar-dasar “protectionist” atau perlindungan. Prinsip melindungi industri negara sendiri amatlah tidak sihat bagi ekonomi Singapura yang bersifat terbuka. Mentelah, situasi di Eropah juga dikeruhkan lagi dengan Brexit, setelah rakyat Britain mengundi agar negara mereka keluar daripada Kesatuan Eropah (EU).

Sudahkah masyarakat Melayu/Islam kita bersedia untuk menempuh cabaran ekonomi tidak menentu ini?

Cabaran-cabaran ini tentu sekali harus dijadikan iktibar bagi masyarakat kita untuk mengubah cara hidup dan juga gaya hidup. Di sini, kita perlu membuat persediaan untuk menempuh masa-masa sukar. Khususnya, golongan pekerja dan kelas pertengahan kita harus terus berusaha meningkatkan kemahiran dengan skim-skim yang sedia ada, seperti memanfaatkan Skills Future sebaik-baiknya.

Mereka harus bersedia keluar daripada zon selesa dan memupuk sikap berlumba-lumba agar kemahiran yang mereka ada selari dengan peluang-peluang pekerjaan. Namun meningkatkan kemahiran merupakan sebahagian daripada huraiannya. Kita perlu membentuk jiwa lebih ihsan dalam masyarakat kita, dan ini bermakna membuat beberapa pengorbanan.

Misalnya, masyarakat kita harus elakkan melabur dalam hartanah yang belum pasti menguntungkan atau berhutang yang berlebihan. Usahlah membazir dalam menganjurkan majlis walimah besar-besaran, membeli kereta mewah, atau pergi melancong ke negeri-negeri jauh. Sebaliknya, golongan kelas menengah kita harus tumpukan usaha dan masa untuk membantu golongan yang memerlukan.


(Gambar: SAEED KHAN / AFP)

PEMBAHARUAN KEPIMPINAN MASYARAKAT MELAYU

Pada tahun lalu, Perdana Menteri Encik Lee Hsien Loong menyatakan hasrat beliau untuk melihat satu barisan kepimpinan yang baru untuk menggantikan kepimpinan yang sedia ada. Beliau menamakan muka-muka baru untuk memegang jawatan penting dalam Kabinet.

Menteri-menteri mapan pula dikekalkan untuk membimbing menteri-menteri yang baru. Begitu juga halnya bagi Anggota Parlimen Melayu. Pilihan raya umum 2015 yang lalu telah menampilkan tiga muka baru AP Melayu. Saya rasa lebih ramai muka baru akan diperkenalkan pada pilihan raya umum akan datang, yang akan diadakan sebelum 2020.

Namun, saya harap semangat pembaharuan yang berlaku dalam arena politik diikuti oleh badan-badan Melayu/Islam kita.

Sudahkah badan-badan Melayu kita memikirkan soal peralihan kuasa kepada barisan pemimpin yang lebih muda dan memberi ruang mereka untuk menerajui badan-badan bantu diri tersebut?

Saya fikir badan-badan Melayu/Islam kita perlu bekerja lebih keras untuk membimbing golongan muda dan menggalakkan mereka untuk menggalas tanggungjawab lebih besar dalam badan-badan bantu diri kita. Badan-badan bantu diri ini adalah tunggak kemajuan masyarakat kerana masalah-masalah sosial harus ditangani bersama oleh pemerintah dan NGO. Cadangan untuk melihat pembaharuan dari segi kepimpinan ini bukanlah bermakna mengetepikan golongan lama. Jasa, budi, dan pengalaman mereka masih diperlukan dan dihargai.

Jalinan pemimpin masakini dan golongan muda perlu untuk memastikan badan-badan bantu diri kita kekal relevan. Justeru, jika ada angka emas yang ideal tentang golongan yang harus memimpin badan-badan tersebut, rasa rasa mereka haruslah berada dalam lingkungan usia 40an atau awal 50an tahun.

Mentelah, bukan hanya badan-badan bantu diri sahaja yang harus memikirkan soal pembaharuan, masjid-masjid kita juga harus memberi laluan kepada golongan muda agar kehidupan sosio-agama kita yang merangkumi pendidikan agama, bantuan kepada golongan fakir miskin dan sebagainya, turut mendapat sentuhan segar.


(Gambar: Ngau Kai Yan)

KEMATANGAN DAN KETERBUKAAN DALAM BERAGAMA

Soal kepimpinan juga perlu dititikberatkan dalam aspek pendidikan agama. Cabaran utama bagi kita adalah untuk memikirkan bagaimana ajaran agama Islam yang diajar di Singapura selari dengan konteks masyarakat majmuk.

Salah satu kritikan yang sering kita dengar berlaku dalam masyarakat kita adalah proses Arabisasi, di mana masyarakat kita melihat Islam dan budaya Arab sebagai sinonim dan mengetepikan aspek-aspek budaya Melayu.

Tetapi, bagi saya, Arabisasi bukanlah satu masalah besar. Seorang boleh sahaja mengenakan pakaian cara Arab dalam melakukan ritual agamanya, seperti memakai jubah dan serban tetapi masih berpandangan moden dan jauh. Malah, yang lebih menggerunkan adalah pandangan ekstrim dalam mengamalkan Islam. Dalam konteks masa kini, ekstremisme agama sering dikaitkan dengan terrorisme. Namun, terrorisme adalah hanya sebahagian daripada ekstremisme.

Yang menjadi lebih membimbangkan adalah bentuk ekstrimisme yang tidak boleh menerima wacana-wacana alternatif, gaya hidup moden, dan keadaan masyarakat sekular di Singapura. Golongan ekstrim juga menyatakan bahawa hanya pandangan mereka sahaja benar.

Masalahnya, kita amat mudah mengkategorikan satu golongan sebagai moderat apabila mereka mengecam terorisme, sedangkan dalam banyak aspek lain, golongan tersebut masih ekstrim. Sebelum kita mengelar seseorang itu sebagai moderat, ada baiknya kita mendapatkan pandangan beliau terhadap kedudukan wanita dalam masyarakat, status budaya Melayu dalam Islam, pendiriannya terhadap undang-undang sivil dan syariah, atau hak-hak golongan minoriti dalam masyarakat Islam sendiri.

Kita tentu sekali mengalu-alukan usaha untuk memperluaskan skim ARS baru-baru ini, di mana asatizah-asatizah kita berdaftar sebelum boleh mengajar di masjid-masjid. Tetapi, melebihi sudut pelaksanaan semata-mata, kita juga perlu membentuk nilai-nilai progresif dalam pendidikan agama kita untuk menghormati perbezaan pandangan dan tidak membendung usaha untuk membudayakan pemikiran kritikal dalam memahami ilmu agama.

Selain itu, ada satu lagi masalah dalam cara kita beragama pada hari ini, iaitu kecenderungan pada apa yang dikatakan dengan ”Islam slogan”. Masalah ini lebih tertumpu pada golongan masyarakat terpelajar dan kelas menengah.

Orientasi sebegini hanya menitikberatkan ritual-ritual tanpa memahami nilai-nilai sebenar agama. Walaupun ritual agama itu penting, namun yang perlu ditekankan adalah aspek prihatin pada golongan susah, keadilan, dan semangat bantu-membantu.

Saya akur bahawa masyarakat kita adalah masyarakat yang suka menderma, tetapi bagi golongan yang berkemampuan, mereka harus lebih sensitif dan tidak menonjolkan keadaan mewah mereka di media sosial: seperti makan di restoran-restoran mewah, melancong ke tempat-tempat jauh dan sebagainya.

Akhir kata, masyarakat kita telah mencapai banyak kemajuan setelah kita mencapai kemerdekaan. Persoalannya adalah bagaimana kita mengekalkan tahap kemajuan tersebut dalam keadaan politik dan ekonomi yang lebih kompleks. Di sini, saya anjurkan kerjasama lebih erat antara pemimpin politik dan akar umbi, menggalakkan kelas menengah yang lebih peka pada golongan susah, dan mewujudkan kepimpinan agama yang progresif.


MENGENAI PENULIS:
Penulis adalah Zamil ISEAS - Institut Yusof Ishak. Beliau seorang pakar dalam politik Singapura, Malaysia dan Indonesia. Dr Norshahril Saat mendapat ijazah Doktor Falsafah dalam jurusan Kajian Antarabangsa, Politik dan Strategik dari Universiti Kebangsaan Australia (ANU). Beliau juga lulusan Sarjana dari Jabatan Pengajian Melayu Universiti Nasional Singapura dan merupakan penerima Biasiswa Possiswazah MUIS. 

- BERITAMediacorp/nk

Komen Anda?

Top