Images
  • workers sg
    Orang ramai di kawasan pusat bandar Singapura. (Gambar hiasan: AFP/Roslan Rahman)

KOMENTAR: Banyak yang boleh dimanfaatkan masyarakat Melayu di bawah saranan CFE

Jawatankuasa Ekonomi Masa Hadapan (CFE) telah membentangkan tujuh strategi bagi memacu ekonomi negara pada masa akan datang. Penolong Setiausaha Agung NTUC Zainal Sapari mengongsi bagaimana masyarakat Melayu/Islam boleh memanfaatkan sepenuhnya saranan-saranan CFE.

Jawatankuasa Ekonomi Masa Hadapan CFE telah mengenalpasti tujuh strategi utama untuk merangsang jentera pertumbuhan ekonomi Singapura. Tidak syak lagi, setiap agensi pemerintah dan pihak berkepentingan yang relevan akan bertungkus lumus untuk melaksanakan strategi-strategi ini.

Bagaimanakah para pelajar, pekerja dan peniaga Melayu/Islam kita dapat mempersiapkan diri untuk menyertai pelbagai saranan yang terdapat dalam laporan CFE?

Pada pendapat saya, satu kecekapan utama yang diperlukan masyarakat Melayu/Islam kita untuk membuat langkah susulan kepada strategi-strategi yang disarankan, adalah pembangunan dan pengukuhan rangkaian kita di peringkat individu dan perniagaan.

Kita hidup dalam dunia yang berkembang maju melalui keterhubungkaitan [connectivity] – di kalangan manusia daripada setiap lapisan masyarakat. Dan rangkaian tersebut adalah alat yang membantu kita membuat kenalan dan membina hubungan yang berkekalan dan saling membawa manfaat kepada satu sama lain. Kurangnya rangkaian yang kukuh adalah kelemahan yang menghambat keupayaan masyarakat Melayu/Islam kita untuk bersama-sama maju ke arah ekonomi masa depan.

PEMBINAAN RANGKAIAN HARUS BERMULA SEJAK BANGKU SEKOLAH

Pembinaan rangkaian seharusnya bermula sejak bangku sekolah lagi. Rangkaian yang berkesan bukan hanya melibatkan pertukaran maklumat di antara dua orang, malah ia memerlukan penyediaan asas bagi mendirikan hubungan dan pertalian yang kukuh dengan orang lain. Dan orang-orang itu adalah golongan yang seringkali menjadi sahabat kita dan komuniti karyawan kita apabila kita maju dalam kerjaya kita.

Para pelajar Melayu/Islam dapat meluaskan rangkaian mereka dengan giat melibatkan diri dalam kegiatan akar umbi, kerja relawan, kumpulan berkepentingan dan kumpulan sosial lain yang mempunyai anggota daripada pelbagai kaum, warga negara dan latarbelakang sosio-ekonomi.

Badan-badan seperti NTUC mempunyai sayap belia sepeti nEbO yang menganjurkan banyak wadah untuk golongan belia menambah jumlah kenalan mereka dan menajamkan kemahiran sosial dan kepimpinan mereka. Para pelajar Melayu/Islam juga boleh menyertai Jawatankuasa Eksekutif Belia Persatuan Rakyat yang akan membolehkan mereka meluaskan lingkungan sosial yang menjangkaui persahabatan yang terjalin di sekitaran sekolah.

Selain itu, para ibu bapa dan pihak sekolah mesti menyokong penyertaan anak-anak mereka dalam program pertukaran luar negara untuk memupuk pengalaman silang budaya dengan para pelajar antarabangsa. Pendedahan ini akan juga membuka peluang bagi pelbagai peringkat pembelajaran, dan sekali lagi, membuka jalan bagi membina rangkaian baru dengan rakan-rakan antarabangsa.

Apabila budaya sebegini disemai di kalangan para belia kita, tindakan mencari peluang membina rangkaian akan menjadi satu kebiasaan apabila mereka melangkah ke alam kerja. Saya berkata demikian kerana pembinaan rangkaian juga penting kepada para pekerja dan karyawan untuk merealisasikan kesan sepenuhnya strategi-strategi utama yang dikenalpasti CFE.

PENTINGNYA RANGKAIAN DALAM SEKITARAN PROFESIONAL

Melalui rangkaian dalam sekitaran profesional, seseorang itu akan lebih menghargai dan mempelajari dinamik dalam sesuatu perusahaan berdasarkan konteks laporan CFE. Ia akan membolehkan seseorang itu benar-benar memahami perubahan dalam perusahaannya dan menghasilkan kesan gandaan yang boleh digunakannya, misalnya untuk membuka peluang menceburi kerjaya baru.

Pembinaan rangkaian di kalangan pekerja dan karyawan Melayu adalah satu perkara patut diperbaiki. Kita perlu bersikap jujur. Hakikatnya adalah, pada ketika ini, penyertaan para pekerja dan karyawan Melayu dalam seminar dan bengkel serta keanggotaan mereka dalam pertubuhan karyawan adalah segelintir sahaja, dan pada pendapat saya, ini masih boleh dipertingkatkan lagi.

Negara kita menyediakan banyak laluan bagi masyarakat Melayu/Islam mendalamkan rangkaian mereka. Ini termasuk kesatuan sekerja, pertubuhan karyawan, kumpulan berkepentingan, seminar perdagangan dan persidangan. Ataupun sebagai langkah permulaan untuk keluar daripada zon selesa anda, saya galakkan anda menghadiri acara akar umbi di dalam kawasan kejiranan anda.

Baru-baru ini, NTUC giat menggalak golongan PME untuk menjadi anggota kesatuan sekerja dan telah menganjurkan pelbagai seminar tentang kepimpinan. Wadah sebegini membantu para anggotanya mengikuti perkembangan dalam pelbagai bidang dan membina rangkaian dengan para pekerja dan karyawan yang seangkatan dengan mereka.

Malah, keanggotaan dalam NTUC atau badan karyawan dapat membuka peluang bagi mendapatkan sokongan latihan yang lebih baik kerana kebanyakan pertubuhan ini terlibat dalam Peta Perubahan Industri (ITM) dan dapat membantu para anggota mereka kekal relevan dari segi kemahiran dan ilmu.

NTUC juga terlibat secara strategik dalam semua jawatankuasa sektor ITM untuk memberi pendapat tentang perkembangan mereka, serta mendapatkan maklum balas daripada rangkaian-rangkaiannya. Ia berusaha memastikan bahawa saranan-saranan setiap ITM adalah relevan dalam usaha membantu tenaga kerja meraih kemahiran baru dalam sektor-sektor tersebut.

Seiringan dengan itu, para pemimpin kesatuan sekerja kita juga bekerja rapat dengan para anggota dan majikan untuk menjelaskan rasional dan tujuan ITM itu. Lebih penting lagi, mereka bekerjasama dengan pihak majikan untuk memanfaatkan sokongan pemerintah bagi latihan demi memastikan bahawa para pekerja dapat mula melengkapi diri masing-masing dengan kemahiran kerja yang dikenalpasti dalam sektor-sektor ITM itu.

BERAPA KUKUHKAH RANGKAIAN DI KALANGAN PENIAGA MELAYU/ISLAM?

Setiap peniaga tahu betapa pentingnya rangkaian-rangkaian yang utuh. Berapa kukuhkah rangkaian di kalangan komuniti peniaga Melayu/Islam? Satu maklum balas yang kerap saya terima adalah ia tidak sekukuh jika dibandingkan dengan masyarakat peniaga lain.

CFE menyarankan pelbagai strategi utama agar pihak syarikat dapat meningkatkan inovasi sebagai kunci untuk kekal relevan dan kompetitif. Syarikat-syarikat Melayu yang mempunyai potensi pertumbuhan yang tinggi perlu menerima sokongan yang lebih menepati sasaran, termasuk akses kepada pelbagai rangkaian, mentor, teknologi dan pembiayaan, untuk meluaskan perniagaan dan menebarkan sayap ke luar negara.

Kesemua ini dapat dicapai dengan lebih mudah jika rangkaian-rangkaian dalam komuniti peniaga Melayu dapat diperkukuhkan. Ini memerlukan penglibatan setiap peniaga Melayu sebagai anggota aktif dalam rangkaian komuniti Melayu dan memberi sokongan kepada satu sama lain.

Para pemimpin perniagaan Melayu veteran dan mapan mestilah tampil untuk menerajui hala tuju itu dengan sifat kepimpinan yang baik supaya komuniti peniaga Melayu/Islam dapat berdiri sama tinggi dengan persatuan-persatuan perniagaan lain.

Pembinaan rangkaian akan menyediakan strategi yang paling produktif, paling cekap dan paling mampan untuk memastikan komuniti peniaga Melayu/Islam sentiasa berupaya mengikuti pelbagai inisiatif yang diambil untuk melaksanakan strategi-strategi yang dikenalpasti CFE. Dan kita perlu mengorak langkah dan menerima strategi ini bersama-sama sebagai satu masyarakat.

Mengenai penulis:

Zainal Sapari ialah Penolong Setiausaha Agung NTUC. Berusia 52 tahun pada tahun ini, beliau menjadi Anggota Parlimen GRC Pasir Ris-Punggol sejak tahun 2011. Sebelum menjadi seorang wakil rakyat, graduan Sarjana Sastera dalam Pengurusan Pendidikan ini berkhidmat dengan Kementerian Pendidikan selama 20 tahun. 

- BERITAMediacorp/nd

Komen Anda?

Top
>