Images
  • Masagos
    Menteri Sekitaran dan Sumber Air, Masagos Zulkifli. (Gambar: MBMS)

KOMENTAR: Bahasa dan budaya Melayu dicabar asakan Barat, Timur Tengah dan liberalisme

BERITAMediacorp: Sedang masyarakat Melayu terus dipalu oleh pengaruh dan anasir luar, Bahasa dan Budaya Melayulah yang terus menjadi bentengnya dalam mengekalkan jati diri orang Melayu. Demikian antara hujah Menteri Sekitaran dan Sumber Air, Masagos Zulkifli.

Tarikan gaya popular atau 'pop culture' dari Barat, kata beliau, boleh melekakan masyarakat Melayu sambil menanam sifat liberal dalam diri kita. Jadi, jika orang Melayu sendiri tidak menghormati bahasanya, budaya Melayu juga tidak akan hidup segar, kata Encik Masagos semasa berucap di perasmian Bulan Bahasa 2017 pada 9 September 2017.

Berikut ini ruangan KOMENTAR membawakan petikan daripada ucapan beliau itu:


(Gambar: MBMS)

PADA perayaan ulang tahun MESRA ke-40 baru-baru ini, saya telah meluahkan keprihatinan saya tentang ancaman fahaman Islam yang tegar yang boleh membawa masyarakat kita kepada sikap ekstrim dan eksklusif.

Lebih berbahaya jika ia mendorong mereka ke lembah pengganasan demi menyokong perjuangan ISIS dan Al Qaeda. Sebagai umat Islam, kita faham bahawa Islam mengajar umatnya untuk bersikap moderat. Malah pengajarannya sesuai dengan budaya hidup dan sekitaran yang kita diami dan sebaliknya, tidak perlu meniru budaya dan bahasa bangsa asalnya.

“Di mana bumi dipijak, di situlah langit dijunjung.” Begitulah sifat orang Melayu/Islam Singapura hingga diakui rakan pembina negara yang harmoni sehaluan dengan kaum lain di negara kita.

Ini pula meletakkan tanggungjawab khusus kepada MESRA untuk membimbing masyarakat kita agar jangan lupa pada proses integrasi dengan masyarakat Singapura amnya, sedang para ulama kita sibuk membimbing masyarakat supaya bersauh moral dengan fahaman agama yang benar.

Saya gembira atas kesedaran para ulama setempat tentang perlunya ada keseimbangan cara mempraktikkan agama Islam dengan keperluan masyarakat Melayu/Islam di Singapura ini.


(Gambar: MBMS)

TARIKAN GAYA POPULAR BARAT & SIFAT LIBERAL

Dalam kesempatan ini pula, saya ingin menyampaikan keprihatinan saya tentang satu lagi ancaman kepada budaya hidup kita.

Jika pengaruh keagamaan asing walau dari Timur Tengah boleh menjadikan kita masyarakat yang tegar atau kaku jika tidak mengambil kira konteks dan budaya kita, maka tarikan gaya popular dari barat boleh melekakan kita sambil menanam sifat liberal dalam diri kita.

Akhirnya kita boleh meremehkan pegangan dan panduan agama serta nilai budaya kita. Ini termasuk pegangan dan falsafah hidup ala Barat yang menekankan perjuangan hak asasi manusia dan kebebasan bersuara tanpa batas.

Jika kecintaan dan kecenderungan kepada budaya Melayu sendiri diabaikan, maka semakin ramai anggota masyarakat kita akan mudah terpengaruh dengan nilai-nilai asing yang dibawa oleh sesetengah bangsa kita sendiri yang terpengaruh dengan gaya kehidupan budaya asing tersebut.

Ini sama seperti proses penyemaian agama yang tegar; kerana ia adalah asing dari pegangan kita di sini, ia sering diiringi dengan pembidasan amalan budaya kita untuk menggantikannya dengan budaya Timur Tengah yang dianggap lebih Islami.

KITA MESTI YAKIN PADA ADAB & BUDAYA MELAYU

Maka tidak hairanlah jika kita pernah terbaca perbahasan di media Internet yang ditonjolkan secara kasar dan kurang sopan atas alasan kebebasan bersuara dan pemikiran terbuka – yang kadangkala dipaparkan dalam bentuk sastera dan pementasan.

Dalam isu hak asasi manusia ala barat pula, hak individu menjadi teras utama hingga kepentingan dan pegangan umum pun boleh dilanggar. Ia bercampur aduk dengan pelbagai urusan seperti kebajikan, kebebasan kelakuan dalam hal perhubungan antara jantina dan hak penjenayah.

Yang jelas, prinsip orang Timur sering diremehkan oleh mereka kerana dikatakan keterbelakang dan kuno.

Kita mesti yakin pada adab dan budaya Melayu kita. Ia kaya dengan jati diri orang timur. Kerana bahasa ialah pengantara utama budaya kita, menjaga budaya kita bermakna kita mesti mempertahankan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat kita.

Jelaslah budaya kita tidak akan hidup segar jika kita sendiri tidak menghormati bahasa kita dan tidak menggunakannya apabila peluang tersedia. Oleh sebab itulah sering dikatakan “Bahasa Jiwa Bangsa”. Tanpa bahasa, jiwa bangsa kita akan mati.


(Gambar: MBMS)

ADAT DIKENDONG, BUDAYA DISANJUNG, AGAMA DIJUNJUNG, BAHASA MENDUKUNG!

Sebaliknya, jika bahasa dan budaya Melayu kita luhur, percubaaan untuk menggalakkan trend budaya yang begitu sumbang nilainya, tanpa adab dan kesantunan yang dipaparkan sama ada melalui lirik lagu mahupun sesuatu pementasan, masyarakat sendiri akan terasa janggal dan kekok untuk menerimanya.

Begitulah besarnya peranan bahasa Melayu dalam menanam nilai murni dalam jiwa orang Melayu, hinggakan fahaman agama asing yang cuba mengenengahkan sikap kasar pun akan ditolak, inikan pula kehidupan budaya asing yang tidak sesuai dengan nilai ketimuran Melayu dan pegangan agama Islam.

Sesuailah dengan pesanan pendeta kita: “Adat dikendong, Budaya disanjung, Agama dijunjung;” dan tambahan dari saya, Bahasa mendukung!

ULAMA, GURU BAHASA, IBU BAPA - LESTARIKANLAH BAHASA KITA!

Tema Bulan Bahasa nampaknya kekal bertahun-tahun lamanya: Bahasa ilmu, budaya, mesra.

Saya menyeru tiga golongan masyarakat untuk sama mendukung usaha melestarikan bahasa kita: iaitu para ulama kita, guru bahasa kita, dan ibu-bapa.

Pemahaman bahasa Melayu kita dapat ditingkatkan apabila kita menimba pelbagai ilmu dalam bahasa Melayu. Itulah bahasa Melayu, bahasa Ilmu.

Juga perantara ketika menyampaikan ajaran agama. Pada hemat saya bahasa kitalah bahasa perantaraan yang sesuai menanam kesucian kerohanian – justeru kelembutan watak orang Melayu yang cukup terkenal.

Lantas, saya menyeru ahli agama kita memikirkan bagaimana kita dapat meningkatkan penggunaan bahasa kita dalam usaha kita menanam kerohanian beragama sebagai satu pendekatan pedagogi agama. Ini mempertahankan penggunaan bahasa Melayu dalam suasana keagamaan yang sudah menjadi satu kebiasaan dan kelaziman bagi semua selama ini.


(Gambar: MBMS)

MESRA SEDIA KERJASAMA DENGAN GURU-GURU SEKOLAH

Golongan kedua, iaitu guru-guru bahasa kita: Kita dapat menghayati budaya Melayu yang indah lagi berseni apabila kita menikmatinya dalam bahasa Melayu.

Itulah bahasa Melayu, bahasa Budaya. Guru-guru bahasa memainkan peranan penting untuk membina jiwa budaya Melayu, dan bukan setakat mengajar anak-anak kita belajar bahasa Melayu.

Saya menyeru pada guru-guru supaya menyemai cinta akan bahasa kita, kerana andalah pemangkin proses penghayatan bahasa dalam kalangan pelajar anda. Justeru, tingkatkan peluang bagi pelajar anda untuk menyemai minat dan mengamalkan penggunaan bahasa.

Dalam hal ini, pihak MESRA siap bekerjasama dengan guru-guru sekolah untuk menganjurkan bersama program-program di luar sekolah kerana ini satu cara menjadikan penggunaan bahasa Melayu itu realistik apabila ia banyak digunakan di luar darjah.

CAKAP MELAYU DI RUMAH, TIDAK KURANGKAN ILMU LAIN

Bagi ibu bapa pula, kita perlu yakin bahawa penuturan bahasa ibunda di rumah tidak akan mengurangkan kemampuan pembelajaran ilmu lain di sekolah.

Malah kita harus faham bagaimana bahasa kita berkait rapat dengan perwatakan dan adab kesopanan seseorang, serta dapat menanam ciri-ciri kesantunan, kelembutan dan nilai murni orang Melayu ketika berhubungan sesama kita. Itulah bahasa Melayu, bahasa yang melambangkan kemesraan dan kesantunan jiwa.

Ketiga-tiga golongan tersebut, semua pewaris penting dan penerus bahasa Melayu yang kritikal. Ini kerana merekalah yang boleh mengekalkan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat kita.

Sudah menjadi tugas kita untuk memelihara dan melestarikannya agar kita dapat mewariskannya kepada generasi seterusnya. Kita mestilah mewujudkan peluang sebanyak-banyaknya supaya bahasa kita digunakan dan didengar oleh anak-anak kita dan masyarakat kita.

Ia pula diindahkan dengan ungkapan kata, secara sopan dan mendidik hingga membina jati diri kita sebagai orang Melayu. Dengan itu, dapatlah kita memenuhi tanggungjawab membimbing anak kita, berlandaskan bahasa dan budaya orang Melayu.

ORANG MELAYU JANGAN MALU CAKAP MELAYU

Pendeta masyhur kita, Allahyarham Dr Muhammad Ariff Ahmad yang dirakamkan dalam buku Yang Terukir, Bahasa dan Persuratan Melayu, berpesan:

“Saya harap orang Melayu tidak malu bercakap Melayu, terutama yang berkedudukan tinggi” – satu pesanan yang harus bersama kita pegang.

Ujar beliau lagi: “Saya tabik kita sudah maju dalam hal Bulan Bahasa. Tetapi, kemajuan macam Hari Raya sahaja. Saya tak hendak setakat itu sahaja. Kalau dalam soal bahasa, saya hendak supaya semua orang dapat menikmati bahasa. Kalau dia gunakan bahasa itu, dia tahu apa yang dia cakapkan. Bukan hanya macam burung Nuri – dia bertenggek, pandai bercerita sahaja.”

BULAN BAHASA BUKAN SEKADAR PERAYAAN LITERATI BAHASA

Begitulah keresahan Allahyarham. Supaya kita tidak hanya menjadikan Bulan Bahasa hanya sekadar satu perayaan literati bahasa, yang diadakan saban tahun.

Semeriah manapun, kita harus peka masyarakat kita semakin kurang menggunakannya. Marilah, para ulama, guru-guru bahasa dan ibu-bapa bersama-sama menghidupkan bahasa Melayu kerana peluang itu ada di masjid, di sekolah dan di rumah.

Janganlah sampai bahasa Melayu kita yang telah lama kita gunakan diganti dengan bahasa asing kerana kita sendiri kurang menggunakannya. Jika ia berlaku, budaya dan cara hidup kita juga nanti dikhuatiri bakal dicorakkan oleh budaya asing tersebut.

Waspadalah. Marilah kita bersama hidupkan bahasa kita sesuai dengan cogan kata Bulan Bahasa: “Bahasa kita, gunakanlah.” Kalau tak kita, siapa lagi.


(Gambar: Calvin Oh) 

MENGENAI PENULIS:

Encik Masagos Zulkifli juga adalah Penasihat kepada Majlis Penyelaras Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MESRA). Beliau juga pernah menjadi Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS).

- BERITAMediacorp/nk

Komen Anda?

Top