Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Bagaimana kumpulan Daesh atau ISIS dapat bertapak di Filipina

Sejak dua minggu lepas, puluhan anggota kumpulan militan bertempur dengan angkatan bersenjata Filipina di bandar Marawi, di pulau Mindanao di selatan Filipina, yang didiami kebanyakan masyarakat minoriti Islam negara itu.

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Bagaimana kumpulan Daesh atau ISIS dapat bertapak di Filipina

Para askar di selatan Filipina yang berusaha mengekang kegiatan pengganas di negara itu. (Gambar: Romeo Ranoco/Reuters)

BERITAMediacorp: Bandar Marawi yang ditakluki oleh kumpulan pengganas yang mengikrarkan taat setianya kepada kumpulan militan ISIS bukan saja menggemparkan negara-negara di rantau ini, bahkan turut mencetuskan kebimbangan di kalangan negara Barat, khususnya Amerika Syarikat. Demi keamanan serantau, ISIS tidak boleh dibenarkan bertapak di Filipina, kata Pengarah Institut Analisis Dasar Mengenai Konflik, Sidney Jones:

Sejak dua minggu lepas, puluhan anggota kumpulan militan bertempur dengan angkatan bersenjata Filipina di bandar Marawi, di pulau Mindanao di selatan Filipina, yang didiami kebanyakan masyarakat minoriti Islam negara itu.

PERTEMPURAN hebat itu, yang lebih sengit dari biasa jika dibandingkan dengan pertempuran lain di kawasan ini yang sering dilanda perbalahan, menunjukkan bahawa kumpulan pengganas Daesh (ISIS) kini menjadi masalah Asia Tenggara dan pemerintah Filipina mungkin adalah titik lemah dalam usaha menanganinya.

Sedang Presiden Rodrigo Duterte menumpukan perhatian beliau dalam tahun pertamanya sebagai ketua negara untuk melancarkan satu kempen kejam ke atas mereka yang disyaki sebagai pengedar dan penagih dadah, satu perikatan dianggotai pelbagai pihak yang menyokong Daesh – bekas pejuang gerila, penuntut universiti, keturunan keluarga politik, penganut Kristian yang memeluk agama Islam – berubah menjadi sebuah angkatan bersenjata dengan daya ketahanan tidak dijangka.

KEGAGALAN PEMERINTAH MANILA

Mindanao dilanda pemberontakan sejak sekian lama, tetapi kebangkitan perikatan ini, yang lebih cenderung kepada ideologi dan lebih rapat kepada kumpulan militan luar negara berbanding kumpulan-kumpulan setempat sebelumnya, menunjukkan bahawa pemerintah gagal memahami perubahan wajah fahaman pelampau di Filipina.

Pemberontakan bersenjata pro-autonomi telah bergiat di Mindanao sejak tahun 1970-an. Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) telah memeterai perjanjian perdamaian dengan pemerintah pada tahun 1996, tetapi puak-puak yang tidak setuju dengan beberapa syarat perjanjian itu meneruskan perjuangan mereka.

Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), sebuah kumpulan serpihan dianggotai 12,000 pejuang, memulakan rundingan pada tahun yang sama dan hampir-hampir mencapai penyelesaian muktamad dengan presiden yang berkuasa sebelum diambil alih Encik Duterte. Namun, proses damai gagal pada awal tahun 2015 dan meskipun pemerintah baharu mengusahakan beberapa inisiatif, keadaan masih tetap buntu.

PERANAN PENGGANAS ASING

Dari masa ke semasa, pengganas asing memainkan peranan kecil dalam pemberontakan itu, terutamanya mereka daripada Al-Qaeda pada pertengahan tahun 1990an dan kemudiannya Jemaah Islamiyah, sebuah kumpulan pelampau yang berpangkalan di Indonesia.

Pada tahun 2005, apabila MILF mengusir sekumpulan kecil pengganas tersebut untuk memulakan rundingan dengan pemerintah, mereka menyertai Abu Sayyaf, sebuah lagi kumpulan serpihan yang menentang perjanjian MNLF dengan pemerintah. Berpangkalan di Kepulauan Sulu di barat daya Mindanao, Abu Sayyaf mahu mendirikan sebuah negara Islam untuk masyarakat Islam Mindanao.

Kumpulan itu mula dikenali melalui pelbagai kegiatan penculikan untuk mendapat wang tebusan, tetapi sepanjang pertengahan tahun 2000an, ia juga menerima pengganas asing yang mencari perlindungan.

Lantaran itu, tindakan salah seorang ketua Abu Sayyaf, Isnilon Hapilon, tidaklah memeranjatkan apabila dia menjadi antara anggota militan pertama di Filipina yang mengikrarkan kesetiaan kepada Abu Bakr al-Baghdadi, selepas pemimpin Daesh itu mengisytiharkan pemerintahan khalifah di Mosul, Iraq, pada tahun 2014.

Menjelang awal tahun 2016, sebuah perikatan pro-Daesh yang baharu mula muncul di bawah pimpinan Encik Hapilon, lantas menyatukan kumpulan-kumpulan dari pelbagai wilayah dan kaum.

ANCAMAN SEMAKIN MERUNCING

Pemerintah tidak mengendahkan ancaman yang kian meruncing itu. Tidak lama selepas Encik Duterte menjadi presiden tahun lalu, beliau menggerakkan usaha menumpaskan Abu Sayyaf selepas kumpulan itu memancung mangsa-mangsa penculikannya. Sebenarnya, penculik-penculik itu tidak ada kaitan dengan puak Hapilon.

Oleh kerana pemerintah gagal menyedari hal tersebut, ini adalah sebahagian sebabnya mengapa ia juga gagal melihat bahawa, pada waktu itu, perikatan yang berpihak kepada Daesh itu telah mengembangkan sayapnya di luar Abu Sayyaf dan pemimpin-pemimpinnya didorong oleh ideologi dan bukannya wang.

Satu operasi tentera ke atas kumpulan Encik Hapilon pada tahun 2016 di Basilan, sebuah pulau kecil di selatan Mindanao, hanya setakat berjaya memaksa kumpulan itu memindahkan ibu pejabat operasinya ke kawasan hutan Lanao del Sur, sebuah wilayah di Mindanao tengah. Marawi adalah ibu kota wilayah itu.

Pengeboman pasar malam pada September 2016 di Davao, bandar yang dipimpin Encik Duterte sebagai datuk bandar sebelum beliau menjadi presiden, sepatutnya menyedarkan pemerintah tentang perkara tersebut.

Beberapa orang yang disyaki terlibat kemudiannya memberitahu polis bahawa meskipun mereka bertindak atas arahan Encik Hapilon, operasi itu dirancang dan diaturkan oleh adik-beradik Maute, pemimpin kumpulan yang berpangkalan di Lanao del Sur.

GOLONGAN PELAMPAU BERWAJAH BARU

Adik-beradik Maute adalah golongan pelampau berwajah baharu: muda, berkarisma, bertutur bahasa Arab, berpendidikan Timur Tengah, bijak menggunakan media sosial dan mempunyai hubungan antarabangsa yang luas.

Kaum keluarga mereka adalah sebahagian daripada anggota elit politik dan perniagaan di Marawi, dan bersaudara dengan golongan atasan MILF melalui perkahwinan.

Sejak November lalu, kumpulan Maute telah berkali-kali bertempur dengan pihak tentera dan menguasai bandar kecil Butig sebanyak dua kali.

Operasi tentera tidak berkesan: Anggota militan yang menduduki Marawi hari ini bukan sahaja datang daripada puak Lanao del Sur, tetapi juga daripada perikatan pro-Daesh yang lebih luas, termasuk daripada Basilan dan luar negara.

Sebahagian anggota militan yang terbunuh di Marawi baru-baru ini adalah warga negara Indonesia, Malaysia dan Arab Saudi.

Pada April 2014 – malah sebelum pemerintahan khalifah diisytiharkan di Mosul – tiga rakyat Malaysia menyertai Encik Hapilon di Basilan. Orang yang mempunyai taraf tertinggi, Abu Anas si Penghijrah, nampaknya telah berhubungan secara langsung dengan pusat perintah Daesh.

Selepas Abu Anas terbunuh di Basilan pada Disember 2015, Mahmud Ahmad, mantan profesor pengajian Islam di Universiti Malaya, mengambil alih peranannya sebagai ketua ahli strategi, ahli kewangan dan perekrut, pada mulanya untuk Encik Hapilon dan kemudiannya untuk seluruh perikatan itu. Beliau dipercayai berada di Marawi pada masa ini.

SOKONGAN DAESH KEPADA PENGGANAS MINDANAO

Pada pertengahan 2016, memandangkan perjalanan di sempadan Turki dengan Syria menjadi lebih sukar, pemimpin-pemimpin Daesh memberi sokongan terhadap pengganasan di Mindanao.

Pada Jun lalu, media rasmi kumpulan itu menyiarkan video menampilkan seorang rakyat Indonesia, seorang rakyat Malaysia dan seorang rakyat Filipina, yang menggesa rakan-rakan seangkatan mereka yang tidak dapat pergi ke Syria agar pergi ke Filipina pula.

Gesaan serupa mula muncul tanpa henti-henti di saluran-saluran pro-Daesh dalam aplikasi media sosial Telegram. Perampasan Marawi baru-baru ini, yang disambut dengan gembira oleh golongan pelampau di lelaman media sosial di Indonesia dan tempat lain, sudah pasti akan mendorong lebih ramai warga asing untuk pergi berjuang di Filipina.

Inilah sebabnya Encik Duterte perlu memikirkan strategi untuk menentang perikatan Daesh yang bukan sekadar melancarkan serangan udara dan menggunakan semakin banyak kekerasan.

STRATEGI MENYELURUH DIPERLUKAN

Keadaan darurat, yang diisytiharkan presiden di Mindanao pada 23 Mei lalu, mungkin menghasilkan lebih banyak penangkapan dan penahanan, tetapi ia tidak akan menghuraikan punca-punca masalah radikalisasi: tadbir urus yang buruk, sistem undang-undang yang pincang dan kemiskinan yang berleluasa.

Penjara-penjara, yang dalam keadaan usang dan penuh sesak, adalah tempat terbaik untuk merekrut pengganas.

Pemerintah perlu memulakan semula proses kedamaian di Mindanao dengan secepat mungkin. Lebih lama ia ditangguhkan, lebih besarlah kemungkinan anggota MILF yang kecewa akan menyertai perikatan pelampau itu.

Sejauh ini, pentadbiran Duterte menangani kumpulan pelampau itu dengan menggunakan kuasa tentera untuk menghancurkannya. Namun, kerap kali taktik keras sebegitu akan melahirkan lebih banyak pengganas – dan pengganas yang mahu membalas dendam.

Sebaliknya, pemerintah Filipina harus mengadakan strategi menyeluruh untuk menyelesaikan masalah-masalah sosial, ekonomi dan politik yang telah menyebabkan ideologi Daesh menjadi satu tarikan besar di Mindanao.

MENGENAI PENULIS:
Sidney Jones adalah pengarah Institut Analisis Dasar mengenai Konflik di Jakarta, Indonesia. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan