Images
  • Mohamad Thaqif Amin
    Mohamad Thaqif Amin.

KOMENTAR: Ayuh bicara sikap prejudis terhadap kanak-kanak

BERITAMediacorp: Sejauh mana peribahasa "sayang anak tangan-tangankan" masih relevan dalam konteks kehidupan kita hari ini? Muhammed Shahril Shaik Abdullah berpendapat bahawa mungkin sudah tiba masanya untuk masyarakat kita lebih menitikberatkan usaha yang akan mendidik dan menerapkan anak-anak kita dengan nilai-nilai kehidupan yang murni dan menghindarkan mereka daripada sikap dan tabiat yang keras dan ganas.


BARU-BARU ini kita dikejutkan sekali lagi dengan berita penderaan kanak-kanak yang membawa kepada kematian kanak-kanak tersebut. Allahyarham Mohamad Thaqif Amin Mohd Ghaddafi, 11 tahun, dipercayai telah didera oleh seorang pembantu warden di sebuah madrasah tahfiz swasta di Johor Bahru di mana Allahyarham merupakan seorang pelajar. Selama tiga minggu Allahyarham dipukul bantai, sebelum dimasukkan ke hospital di mana beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 26 April kelmarin.

Kejadian tragis sedemikian sewajarnya menimbulkan rasa kemarahan dari pihak ramai. Bagi mereka yang masih berhati perut dan berperikemanusiaan, ia merupakan satu peristiwa yang amat sukar untuk diterima hakikatnya. Akan terasa perit di hati jika dibayangkan tangan dewasa yang memukul bantai tubuh kecil kanak-kanak yang tidak mampu membela dirinya sendiri.

Di Singapura, kes penderaan kanak-kanak yang membawa kepada kematian, termasuk kes Nurasyura (Nonoi), Mohammad Airyl Amirul Haziq serta Mohamad Daniel yang didera hingga mati pada tahun lepas, masih lagi menghantui masyarakat kita.

Yang lebih mengganggukan lagi ialah apabila, sepertimana dengan kes Mohamad Thaqif, ada pihak yang seolah-olah mengambil ringan jenayah sedemikian dengan tidak mempersoalkan perbuatan memukul bantai itu sendiri tetapi sejauh manakah perbuatan tersebut harus dilaksanakan.

Bagi mereka, tidak salah untuk kanak-kanak dipukul bantai selagi ia bertujuan untuk mendidik. Malah dalam pandangan mereka, hukuman dera (corporal punishment) itu perlu bagi memupuk disiplin dalam kanak-kanak. Mereka juga percaya bahawa kanak-kanak yang tidak pernah dihukum secara fizikal dalam proses pengasuhan akan membesar menjadi anak manja yang akan menyusahkan orang tuanya lantas menjadi beban kepada masyarakat kelak.

Namun sejauh manakah tanggapan tersebut boleh diterima kebenarannya? Adakah hukuman dera serta penggunaan kekerasan boleh diterima sebagai salah satu cara untuk mendidik kanak-kanak? Adakah benar kanak-kanak yang tidak dirotan sewaktu kecil akan menjadi seorang dewasa yang bermasalah kelak? Ini merupakan soalan-soalan yang perlu kita renungkan sebagai sebuah masyarakat yang menitikberatkan kepentingan terbaik buat kanak-kanak.

Dalam membincangkan kes penderaan, senang untuk kita menyatakan bahawa peristiwa tersebut hanya merupakan satu kes terpencil yang melibatkan individu-individu yang mungkin mengalami sakit jiwa atau sedang melalui tekanan.

Namun masalah tersebut perlu dilihat sebagai sebahagian daripada masalah sosial yang lebih besar, iaitu sikap prejudis masyarakat terhadap kanak-kanak. Ia berdasarkan kepercayaan bahawa kanak-kanak merupakan hak milik orang dewasa, seumpama harta benda, haiwan peliharaan ataupun hamba sahaya. Oleh itu orang dewasa mempunyai kuasa mutlak terhadap kanak-kanak di mana mereka boleh dan harus dikawal, dikuasai serta diperhambakan buat kegunaan orang dewasa.

Sebagai contoh, setiap kali pada hari Jumaat ataupun di pagi Hari Raya, kita akan dapat melihat di beberapa buah masjid di mana kanak-kanak ditugaskan mengutip duit derma dari jemaah masjid. Walaupun alasan yang diberikan ialah supaya kanak-kanak diterapkan dari kecil membuat kerja kebajikan, ia semata-mata untuk menyenangkan pihak masjid. Tambahan pula, menggunakan kanak-kanak dalam tugas mengutip derma hanya akan membuat mereka terbiasa dengan sifat meminta, jauh dari penerapan sifat memberi.


Mangsa, Nur Zuliana Zaara Zulkifli berusia 5 tahun dipercayai didera oleh bapa kandung dan ibu tirinya. (Gambar: PDRM)

SIKAP PREJUDIS LIHAT KANAK-KANAK SEBAGAI MEMBEBANKAN

Sikap prejudis ini juga melihat kanak-kanak sebagai tanggungjawab yang membebankan. Oleh itu, daripada membuang masa dan tenaga untuk cuba memahami keperluan kanak-kanak, lebih senang untuk mematahkan semangat mereka dengan membuat mereka patuh dan tunduk kepada kehendak orang dewasa.

Sebagai contoh, masih ramai ibu bapa yang tidak sanggup melayan sikap ingin tahu anak-anak mereka. Bilamana anak-anak banyak bertanya, mereka akan disuruh berdiam. Bilamana anak-anak bising bermain, mereka akan ditengking kerana mengganggu ketenteraman orang dewasa ataupun mengganggu konsentrasi orang dewasa sewaktu menonton televisyen. Keperluan asas kanak-kanak untuk bertanya serta bermain langsung tidak diambil peduli.

Demikian akibatnya apabila masih wujud golongan yang berfikir serta bertindak atas dasar dan pengaruh fahaman yang parokial. Misalnya, masih ramai yang berpegang kepada panduan 'sayang anak ditangan-tangankan.' Kononnya supaya anak tersebut akan sentiasa ingat kesakitan yang mereka alami sebelum membuat sesuatu perkara yang tidak baik. 

Pendekatan sedemikian seolah-olah melihat golongan kanak-kanak seperti sekumpulan haiwan yang akan menjadi liar jika tidak dikawal dengan cara menggunakan kekerasan dari awal. Apabila ditegur, mereka yang memilih pendekatan ini akan terus menjadi nostalgik dengan mengatakan "Mak bapak aku dulu pun pukul bantai aku dengan tali pinggang, dengan rotan, dengan kayu. Sebab itu sekarang aku menjadi seorang manusia, bukan binatang.”

Sikap sedemikian amat berkait rapat dengan satu falsafah yang menekankan bahawa kanak-kanak umpama kain putih yang harus dicorakkan oleh orang dewasa, bermula dari ibu bapa di rumah hinggalah guru-guru di sekolah serta institusi-institusi sosial lain yang ingin mempunyai bahagian dalam usaha mencorak minda dan peribadi kanak-kanak.

Masalah dengan pendekatan sebegini ialah ia tidak mengambil kira fikiran dan perasaan kanak-kanak tersebut, melainkan apa yang dianggap baik oleh golongan dewasa itu sendiri, yang selalunya berselindung di balik ungkapan ‘kepentingan terbaik kanak-kanak’. Akibatnya, setiap kali kanak-kanak dipukul bantai atau dikenakan hukuman secara fizikal seperti dirotan, dicubit, disepak, ditarik telinga oleh ibu bapa ataupun guru, ia dilihat sebagai satu langkah yang perlu untuk kebaikan kanak-kanak tersebut. Kesan negatif yang akan menjejas kanak-kanak dari segi fizikal mahupun mental langsung tidak dihiraukan.


Budak berusia 2 tahun yang dipukul ibunya di Rusia. (Gambar: Petikan dari video YouTube)

PENDEKATAN KASIH SAYANG LAHIRKAN GENERASI YANG HORMAT ORANG LAIN

Salah satu daripada kesan negatif akibat penggunaan kekerasan dalam mendidik kanak-kanak merupakan mesej yang disampaikan. Dengan memukul bantai, apa yang sebenarnya diajarkan kepada kanak-kanak ialah segala masalah itu boleh diselesaikan dengan meggunakan kekerasan. Ia juga menerapkan pemikiran bahawa mereka akan beroleh kekuasaan dengan membuat orang lain patuh dan tunduk kepada mereka melalui kekerasan dan penderitaan.

Sebaliknya, pendekatan yang berdasarkan kasih dan sayang, yang menghormati kanak-kanak sebagai individu-individu yang mempunyai pemikiran serta perasaan mereka sendiri, yang memberi ruang buat kanak-kanak mengembangkan fakulti pemikiran mereka dengan membenarkan mereka membuat pilihan serta keputusan mereka sendiri, yang memilih untuk menyelesaikan masalah melalui perbualan serta penaakulan, bukan dengan memukul bantai mahupun kekerasan, besar kemungkinan akan melahirkan generasi dewasa yang bertanggungjawab, yang menghormati orang lain serta bersifat penyayang.

Selagi masyarakat tidak mengendahkan malah mengesahkan serta merasionalisasikan gejala pemikiran serta amalan sosial yang bersifat prejudis terhadap kanak-kanak, masalah penderaan tidak akan berakhir, malah akan berterusan hingga ramai lagi kanak-kanak yang akan terseksa dan menderita sebelum tubuh mereka tidak lagi dapat menahan penderitaan yang dilalui.

Oleh itu amat perlu setiap orang dewasa dalam sesebuah masyarakat mengambil sikap peduli terhadap setiap kanak-kanak di dalam masyarakat tersebut.

Masalahnya masih ramai yang teragak-agak untuk segera membuat aduan terhadap kes penderaan yang berlaku di rumah mahupun di sekolah, walaupun adanya bukti yang jelas. Antara sebab yang diberikan, "Oh itu masalah mereka sekeluarga. Tak usahlah kita masuk campur." Ataupun, "Dah memang begitu caranya beliau mendidik anaknya. Apa boleh kita buat."

Sikap tidak bertanggungjawab sebegini akan menyebabkan lebih ramai kanak-kanak yang akan meninggalkan kita secara tiba-tiba akibat dizalimi dan dikhianati, dan mereka yang pada saat ini menjadi mangsa penderaan akan terus merana dalam kesepian. 

MENGENAI PENGARANG:

Muhammed Shahril Shaik Abdullah ialah Pustakawan Bersekutu di Lembaga Perpustakaan Negara.

- BERITAMediacorp/nk

Komen Anda?

Top
>