Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Apabila anak nakal semasa kunjung Hari Raya dan ibu bapanya biarkan sahaja…

Esok masih lagi hujung minggu Syawal di mana masyarakat Melayu/Islam masih lagi berjalan Hari Raya dan menghadiri Rumah Terbuka.

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Apabila anak nakal semasa kunjung Hari Raya dan ibu bapanya biarkan sahaja…

Suasana Hari Raya semasa berkunjung ke rumah sanak-saudara. (Gambar: Petikan skrin dari Youtube)

Diterbitkan : 14 Jul 2017 07:22AM Dikemas Kini : 14 Jul 2017 08:04AM

BERITAMediacorp: Esok masih lagi hujung minggu Syawal di mana masyarakat Melayu/Islam masih lagi berjalan Hari Raya dan menghadiri Rumah Terbuka. Bayangkan scenario seperti ini: keletah anak tetamu yang menjadikan sofa tuan rumah seperti ‘mini playground’ atau menjenguk dari bilik ke bilik mencari permainan, manakala ibu bapanya membiarkan sahaja.

Ini mungkin menimbulkan perasaan dilema pada tuan rumah. Mahu ditegur atau dibiarkan. Itulah antara persoalan tentang adab bertandang ke rumah orang, yang disentuh wartawan Bernama, Sakini Mohd Said, dan kami terbitkan semula dalam ruangan KOMENTAR ini:

(Gambar: Petikan skrin dari Youtube)

Sepanjang bulan Syawal ini, pastinya setiap daripada kita tidak putus-putus menerima jemputan menghadiri jamuan rumah terbuka sama ada daripada sanak saudara mahupun rakan taulan.

Sehinggakan ada di antara mereka terpaksa menyusun jadual perjalanan bagi memastikan setiap jemputan itu dapat dipenuhi berikutan ia kebiasaannya dibuat pada hujung minggu.

Sesuatu yang bukan asing lagi, malah sudah menjadi kelaziman bagi umat Islam di negara ini mengadakan rumah terbuka sepanjang bulan Syawal.

Bahkan, ia boleh dikatakan seperti tidak lengkap rasanya kemeriahan Aidilfitri tanpa adanya penganjuran majlis yang dilihat sebagai platform untuk mengeratkan lagi silaturahim antara sanak saudara mahupun rakan taulan.

Biarpun demikian, di sebalik keseronokan menjamu selera dan bertukar cerita, masih ramai di luar sana yang memandang ‘remeh’ perihal adab bertandang atau berkunjung ke majlis rumah terbuka sehingga ada tidak menghormati pihak tuan rumah.

BERSIKAP SAMBIL LEWA

Hakikatnya, isu ini mendapat perhatian sangat meluas pada minggu pertama Syawal susulan daripada teguran Chef terkenal , Datuk Redzuwan Ismail berhubung sikap sambil lewa ibu bapa yang tidak menjaga kelakuan anak mereka semasa menghadiri jamuan rumah terbuka.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Chef Wan meluahkan kekecewaannya itu di laman sosial Instagram miliknya berikutan ada anak tetamu yang menjatuhkan kuah kacang/rendang pada kerusi meja makan di rumahnya sehingga meninggalkan kesan sangat ketara.

“Setiap Hari Raya, saya pasti ada masalah all this rendang atau kuah kacang yang leave a stain on my dining chair. My bro kata ada guests tadi anaknya jatuhkan di atas kerusi. Over the years, macam-macam tetamu yang ziarahi kami at times yang anak mereka yang kecil main-main ramas kuih dan tabur atas lantai, mak bapak kisah pun tidak.

“Off course, saya akan tegur macam saya tegur some guests yang ambil cakes dan cookies and left on the plate with out eating them. This goes with adults mau pun kanak-kanak. Saya suka tegur depan-depan secara baik.

“Segala adab nak masuk ke rumah orang, mereka mesti pelihara dengan baik. Mana tidak emak bapak boleh pandang macam tunggul lagi. Jika cucu saya, lama dah kena tangan macam my arwah dad did to us masa kecil.

“Emak cubit adik-adik sampai lebam yang saya ingat. Pelik bila kita jadi mak bapak tak boleh lentur anak sejak kecil lagi,” antara coretan beliau dalam laman Instagramnya.

Setiap Hari Raya saya pasti ada masalah all this Rendang atau kuah kacang yg leave a stain on my dining chair. My bro kata ada guests tadi anaknya jatuhkan di atas kerusi. Over the years mcm2 tetamu yg ziarahi kami at times yg anak2 mereka yg kecil main2 ramas kueh dan tabur2 atas lantai mak bapak kisah pun tidak. Off course saya akan tegur mcm saya tegur some guests yg ambil cakes dan cookies and left on the plate with out eating them. Saya tegur mereka and said jika tak nak makan jangan membazir makanan mcm tu. This goes with adults mau pun kanak2. Ramai lagi yg nak menjamunya lagi. Emak pernah tegur saya tegur anak2 tetamu as she said nanti mereka kecil hati. I told my mother guests yg behave that manner need to be told otherwise that bad habits mereka bawa ke rumah orang lain. I dont believed in sweeping all that issue under the carpet and later mengata behind mereka kerana kita tak suka apa yg mereka laku kan. Saya suka tegur depan2 secara baik. I rather not have such a guests that does not learned how to menghormati rumah tetamu mereka. Segala adap nak masuk kerumah orang mereka mesti pelihara dgn baik. Saya pantang juga org bila datang kerumah saya suka meraba itu dan ini. Ada yg sering suka tanya berapa harga itu dan ini. At time ada yg tanya berapa harga nilai rumah atau harga almari antique itu dan ini? Pasti saya bahasa kan " Nak tolong bayar kan hutang ke sibuk menanya itu dan ini harga berapa. Its so tacky to do that. Yg guna tandas tetamu tak flush atau kencing bertabur pun ada. Mcm2 manusia yg tak ambil kisah. Baik apa pun tak la semua yg perangai mcm tu. Ini hanya segelintir sahaja that u see also di mana2 juga. Yg anak lari sana sini mcm di rasuk dik pelesit pun ada. Langsung tak makan saman. Kena jerit dgn saya a few years ago langsung tak dtg lagi. Mana tidak emak bapak boleh pandang mcm tunggul lagi. Jika cucu2 saya lama dah kena tangan mcm my arwah dad did to us masa kecil. Emak cubit adik2 sampai lebam yg saya ingat. Pelik bila kita jadi mak bapak tak boleh lentur anak2 sejak kecil lagi. Anak2 pagi2 kena lepas masjid beri peluang pada Tuan rumah untuk bermaafan bersama keluarga dahulu baru after 10.30am nak ziarah rumah tetamu itu.

A post shared by chef wan (@chefwan58) on

Chef Wan yang memuatnaikkan sebuah gambar kerusi meja makannya yang kotor itu berserta kapsyen panjang lebar mendapat reaksi hangat daripada netizen yang rata-ratanya bersetuju dengan teguran beliau terhadap sikap ibu bapa yang pandang remeh akan adab bertandang di rumah orang.

Mendapat ribuan ‘likes’ dan ratusan status itu ditular, ia juga mendapat pelbagai komen orang ramai yang turut berkongsi pengalaman serupa.

MAIN LOMPAT-LOMPAT

Paling banyak dikongsi pengalaman adalah keletah anak tetamu yang menjadikan sofa tuan rumah seperti ‘mini playground’. Mereka dengan begitu gembiranya berdiri di atas sofa, melompat-lompat dan terjun dari atas ke bawah pun ada.

Yang peliknya kata mereka, ibu bapa ini hanya boleh ketawa gembira atau ada yang buat tidak tahu dan tidak nampak sahaja karakter anak. Sedangkan tuan rumah pastinya sedang berkira-kira dalam hati mereka sama ada hendak tegur mahupun sebaliknya.

Yalah, itukan anak orang. Kalau salah tegur, nanti sentap pula ibu bapanya mengatakan kita memandai-mandai. Keadaan ini tentunya membuatkan tuan rumah berada dalam situasi serba salah. Apatah lagi, kalau sofa yang dijadikan ‘mini playground’ itu baharu sahaja dibeli mereka.

Selain itu, turut diperkatakan adalah sikap kanak-kanak yang menjenguk dari bilik ke bilik mencari permainan. Manakala, si ibu ayah begitu seronok menjamu selera dan berborak sehingga membiarkan sahaja kelakuan anak kecil mereka sehinggakan ada yang hendak membawa balik alat permainan anak tuan rumah.

Dan ini juga yang dirungut Zarina Halim apabila berhadapan dengan tetamu yang begitu memanjakan anaknya dan tidak ambil kisah pun hati tuan rumah apabila si kecil mereka membawa balik permainan.

“Ada tetamu datang okielah, tetapi anak dia angkut permainan anak aku semasa balik. Ibu ayah hanya senyum dan bagi reaksi ‘adik nak ke? nak ke?’ kepada budak berumur enam tahun dan kemudian balik begitu sahaja dengan permainan anak aku sedangkan anak aku hendak mainannya balik,” rungutnya.

(Gambar: Petikan skrin dari Youtube)

BUKAN SALAH KANAK-KANAK

Bagi Linda Farrel Aman pula, dia cukup tidak gemar dengan sikap segelintir anak tetamu dan orang dewasa yang mempunyai hobi suka menyibuk apa yang ada di dalam peti ais tuan rumah.

Biarpun ia tidaklah sampai merosakkan peti sejuk, namun ia sebenarnya adalah perbuatan yang agak menjengkelkan dan ini antara pandangan popular netizen.

Malah, Chef Wan juga dalam coretannya itu turut menegur adab masuk rumah orang mestilah dipelihara dengan baik termasuklah beliau ‘pantang’ apabila melihat ada tetamu yang datang ke rumahnya meraba itu dan ini.

Ini sekali gus turut mengingatkan penulis kepada bebelan rakan tahun lepas mengenai sikap anak kepada saudaranya yang leka bermain ‘fridge magnet’ yang dihiasi di depan peti sejuknya itu.

Manakala, ibu dan ayahnya pada masa sama begitu asyik berborak dan sibuk melayan telefon pintar mereka tanpa mengambil kisah perihal anak.

Hati rakan penulis merasa tidak keruan kerana takut ‘fridge magnet’ yang menjadi koleksi peribadinya itu rosak apatah lagi kebanyakannya diperoleh daripada kawan-kawan yang memberinya sebagai cenderahati setiap kali mereka ke luar negara.

Biarpun demikian, kebanyakan netizen tidak menyalahkan aksi kanak-kanak ini tetapi merujuk kepada sikap ibu bapa yang memandang ‘remeh’ akan adab bertandang ke rumah orang. Ia ditujukan kepada mereka yang langsung tidak ambil peduli akan keletah anak mereka.

“Ada ibu bapa yang mempunyai anak aktif tetapi mereka pantau, itu takpalah. Ibu bapa ini ada tegur jangan buat itu dan ini di rumah orang tetapi hendak buat bagaimana kalau anak dia sangat aktif.

“Yang penting mereka pantau. Menjadi masalah, adalah segelintir ibu bapa yang buat tidak tahu sahaja, larang pun tidak, pantau lagi memang tidaklah,” kata seorang netizen yang dikenali sebagai Anis Aina.

Gambar hiasan Kuih Tat. (Gambar: Seharum Dapur Bonda KC/ Facebook)

(Gambar: Seharum Dapur Bonda KC/ Facebook)

HORMATI TUAN RUMAH

Paling tidak dapat diterima logik akal adalah sikap segelintir ibu bapa yang tidak ambil peduli adab bertandang termasuklah membuang lampin pakai buang anak mereka di dalam tandas tuan rumah.

Penulis pernah mengalaminya sendiri sehingga ada ketikanya terfikir susah sangat ke hendak dibuang ke dalam tong sampah? Kadang-kadang terlintas di fikiran tidak malukah membuang sisa najis anak begitu sahaja walhal tuan rumah sudah penat menyediakan pelbagai juadah untuk tetamu justeru mengapa perlu ditambah lagi bebanan mereka?

“Kita mesti ada adab ketika mengunjungi rumah tuan rumah. Sepertimana tetamu yang ingin diri mereka dihormati, begitu juga dengan tuan rumah. Tidak kiralah yang tua mahupun muda, adab mengunjungi rumah orang perlu diutamakan.

“Manakala ibu bapa kena ajar anak untuk beradab ke rumah orang. Alasan bahawa mereka masih lagi budak-budak adalah tidak relevan. Masa mereka kecil inilah kita patut ajar budaya menghormati orang, bukankah melentur buluh biarlah dari rebungnya?,” antara komen netizen yang mendapat sokongan ramai.

(Komentar ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak membayangkan pendirian BERNAMA dalam apa yang diperkatakan oleh penulis) 

Sumber : Bernama/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan