Images
  • Dr Norshahril Saat
    Dr Norshahril Saat. (Gambar: Dr Norshahril Saat)

KOMENTAR: Antara populisme dengan sifat prihatin

BERITAMediacorp: Di tengah-tengah arus dan asakan media sosial sekarang ini yang terus menerus deras, di manakah kedudukan ‘populariti' dengan 'perbincangan serius'? Apakah kerana mahu menarik perhatian, perbincangan serius nampaknya dikesampingkan?

Sejauh manakah pula para pemimpin dalam kategori politik, cendekiawan dan juga agama perlu lebih aktif berwacana di ruang-ruang awam? Inilah antara persoalan yang diperbincangkan artikel KOMENTAR tulisan Dr Norshahril Saat, yang beliau sumbangkan kepada BERITAMediacorp ini:


(Gambar hiasan: REUTERS/Kacper Pempel)

DALAM era yang penuh dengan kegenjotan (age of disruption), memang sukar bagi seorang pemimpin, baik politik, agama, intelektual, atau sosial, untuk mendapatkan sokongan padu daripada masyarakat.

Setiap pandangan atau dasar pasti akan mengundang reaksi yang pelbagai. Masalahnya, haruskah seorang pemimpin terbawa-bawa untuk menjadi popular sehingga membelakangkan pandangan-pandangan yang baik tetapi pahit untuk diterima?

Jelas, imej atau populariti seorang pemimpin sama penting dengan kualiti pemikiran atau ideologi yang diperjuangkannya. Lazimnya, ahli-ahli politik hari ini membawa telefon bijak bersama-bersama mereka apabila beramah-mesra dengan masyarakat. Tujuannya? Mereka akan mengambil beberapa swafoto (selfie) bersama rakyat dan memuat-naikkan gambar-gambar tersebut di media sosial.

Tidak kurang pula yang memuatnaikkan gambar-gambar makanan atau pandangan alam sekitar kerana gambar-gambar tersebut lebih 'mesra masyarakat' berbanding perbincangan masalah-masalah yang bernada serius.

PEMIMPIN DAN MEDIA SOSIAL

Media sosial adalah sebuah medan politik penting hari ini, sehingga ahli-ahli politik yang menjauhkannya boleh dianggap ketinggalan zaman.


(Gambar: REUTERS/Lai Seng Sin)

Tun Dr Mahathir Mohamad, mantan perdana menteri Malaysia yang berusia 92 tahun, juga tidak ketinggalan memanfaatkan media sosial untuk memaparkan pandangan-pandangannya, mentelah media tradisional di Malaysia jarang sekali memberi liputan kepadanya lagi setelah beliau bersara.

Zaman ini, pertukaran maklumat beredar dengan cepat sehinggakan setiap pengumuman dasar oleh pemerintah bagaikan satu pungutan suara (referendum). Rakyat boleh menilai secara langsung sama ada setuju ataupun tidak secara langsung lewat media sosial.

Pada tahun 2011, apabila pemerintah mengeluarkan kertas putih kependudukan yang bakal melihat 6.9 juta orang di Singapura pada tahun 2030, ramai yang menyatakan tidak setuju. Begitu juga halnya semasa pengumuman tentang perubahan perlembagaan berkenaan pilihan raya Presiden yang khusus kepada calon-calon Melayu baru-baru ini.

Malah pemilihan Puan Halimah Yacob sebagai Presiden kelapan Singapura tidak melalui pemilihan umum juga mengundang pelbagai reaksi di mesia sosial. Dahulu, para Anggota Parlimen bertanggungjawab menyuarakan pandangan rakyat di Parlimen. Tetapi kini, rakyat boleh menyuarakan pandangan mereka secara langsung.

PENTINGNYA DUKUNGAN MASYARAKAT

Pemimpin tidak mungkin dapat menjalankan dasar-dasar dengan lebih efektif tanpa dukungan masyarakat. Kita bukan lagi hidup di zaman pemerintahan Suharto di Indonesia (1966-1998); Mahathir Mohamad di Malaysia (1981-2003) atau Lee Kuan Yew di Singapura (1965-1990).


(Gambar: DEWIRA / AFP)

Ketiga-tiga pemimpin ini sangat berpengaruh di Asia Tenggara, dan mereka boleh menyatakan pandangan mereka dengan bebas tanpa kesan politik yang besar. Dr Mahathir dan Lee Kuan Yew dianggap sebagai negarawan. Sebaliknya, bagi Suharto, beliau mempunyai sokongan tentera di belakangnya.

Para pemimpin masa kini sudah tidak boleh bertindak secara demikian kerana pengaruh media sosial semakin meluas, dan mereka sedar jika dasar-dasar mereka tidak popular, atau disokong rakyat, mereka akan menerima nasib sama seperti apa yang berlaku di Brexit (keluarnya UK daripada Kesatuan Eropah) atau juga Theresa May (yang mendapat majoriti lebih rendah pada pilihan raya UK yang lepas).

Pucuk pangkalnya, sejauh mana sentimen masyarakat diukur lewat komentar-komentar di media sosial? Dalam hal ini, adalah genting pemerintah melakarkan pelan komunikasi dengan baik tentang sesuatu dasar, dan menekankan mengapa dasar-dasar tersebut perlu dilakukan walaupun pahit.


(Gambar: REUTERS/Regis Duvignau/Files)

POPULARITI & SIKAP SENSITIF PERLU SEIMBANG

Kepentingan berkomunikasi secara efektif perlu difikirkan oleh pimpinan politik, sosial dan agama. Sebagai contoh, golongan cendekiawan, agamawan dan intelektual hari ini tidak boleh hanya duduk di pejabatnya atau di perpustakaan tanpa memahami perubahan di sekelilingnya.

Mereka juga perlu aktif berwacana di ruang publik memandangkan masyarakat lebih terpelajar. Mereka tidak seharusnya menulis rencana di jurnal-jurnal antarabangsa yang tidak sampai ke masyarakat. Sebaliknya, mereka harus menulis di akhbar-akhbar atau berceramah di tengah–tengah masyarakat, bukannya di hotel-hotel mewah.

Dalam masa yang sama, agamawan kita hari ini harus berlumba dengan pendakwah-pendakwah agama di media sosial yang semakin meningkat popularitinya walaupun kita sangsi akan mutu kesarjanaan mereka.

Timbul juga persoalan sama ada pendakwah-pendakwah asing ini tahu tentang kondisi masyarakat setempat seperti di Singapura. Di sini, ramai asatizah kita yang cuba menggunakan media sosial untuk mendekati masyarakat. Ada yang menggunakan nyanyian, puisi, cereka, dan jenaka untuk mendekati masyarakat.


(Gambar: MUIS)

ANTARA POPULARITI DENGAN PERBINCANGAN SERIUS

Seperti yang saya katakan tadi, tidak salah menaik-muatkan gambar-gambar seperti makanan atau foto-foto lain yang menarik, demi untuk mendekatkan masyarakat dengan perjuangan yang lebih besar.

Hal ini saya alu-alukan selagi ia tidak keterlaluan, atau tidak mengurangkan isi penyampaian. Pemimpin-pemimpin kita juga ada ruang privasi dan mereka boleh sahaja menyatakan perkara-perkara menarik terhadap diri mereka.

Malah, mereka perlu memanfaatkan media sosial untuk menyaingi propaganda kumpulan-kumpulan radikal di media sosial seperti ISIS, yang mempunyai ramai pengikut.

Bagaimanapun, adalah malang jika kita terlalu memikirkan cara-cara untuk menarik perhatian umum demi populariti sehingga memperlekeh perdebatan yang lebih serius. Kadang-kala, kerana terlalu mahukan publisiti, masyarakat akan anggap perbuatan kita sebagai lakonan sahaja.

Yang lebih penting adalah bagaimana para pemimpin kita boleh berada di tengah-tengah masyarakat dan dilihat sebagai memahami masalah rakyat dan keluhan-keluhan mereka. Aspek kehadiran (presence) dalam masyarakat itu sangat penting demi mencari pengaruh.


(Gambar: Nuria Ling/TODAY)

SENSITIF BERDEPAN DENGAN MASYARAKAT

Sebagai contoh, kesediaan Presiden Halimah Yacob untuk kekal tinggal di rumah HDB menyentuh rakyat Singapura, kerana itu satu simbol yang meletakkan beliau seiring dengan rakyat. Malangnya, atas sebab-sebab keselamatan, beliau akhirnya harus berpindah rumah.

Di sini, pemimpin-pemimpin—baik politik, sosial, atau agama—­perlu sensitif semasa berdepan dengan masyarakat. Dengan menonjolkan kereta-kereta mewah, gaya-hidup mewah, atau menaikmuatkan gambar-gambar langganan mereka di restoran-restoran mewah secara kerap, akan menyisihkan mereka daripada masyarakat biasa.

Dalam sejarah Islam sendiri, para pemimpin tidak hidup mewah dan mengamalkan sifat sederhana walaupun mereka mampu atau berjawatan penting. Nabi Muhammad sendiri tinggal di rumah kecil (kini makamnya) walaupun beliau adalah pemimpin umat.

Justeru, mencari populariti adalah penting demi objektif yang lebih besar: yakni untuk berwacana dengan lebih kritikal, dan meraih simpati buat perit-jerih masyarakat bawahan


MENGENAI PENULIS:

Dr Norshahril Saat adalah seorang pakar politik dan juga pengamat sosial yang aktif. Beliau kini bertugas sebagai Zamil di ISEAS - Institut Yusof Ishak. Dr Norshahril juga seorang Pensyarah sambilan di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Nasional Singapura (NUS). 

- BERITAMediacorp/nk

Komen Anda?

Top