Images
  • zhulkarnain crop
    Encik Zhulkarnain Abdul Rahim. (Gambar: AMP)

KOMENTAR: Antara Pertahanan dan Mempertahankan – pendirian Singapura dalam isu Terrex tepat dengan undang-undang antarabangsa

Pada 23 November 2016, pihak berkuasa kastam Hong Kong menahan sembilan Kenderaan Pembawa Infantri Terrex (Terrex ICV) kepunyaan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) yang dibawa pulang setelah menjalani satu latihan ketenteraan di Taiwan. Ramai rakyat Singapura yang menjalani Perkhidmatan Negara (NS) maklum bahawa SAF sudah lama menjalankan latihan ketenteraan di Taiwan. Malah, batalion tentera saya sendiri juga menjalani latihan di Taiwan beberapa tahun yang lalu. Oleh itu, isu penahanan Terrex ICV ini mungkin mencetuskan kemusykilan di kalangan rakyat kita. Susulan penahanan itu, Beijing mengeluarkan kenyataan supaya Singapura mematuhi undang-undang Hong Kong dan dasar Satu China. Singapura sudah mengikitiraf dasar Satu China sejak ia menjalin hubungan diplomatik dengan China 25 tahun yang lalu.


WALAUPUN ada beberapa pengulas mencirikan isu ini sebagai satu ketegangan, hubungan Singapura dan China kekal kukuh kerana kedua-dua belah pihak akui manfaat yang dapat diraih bersama dalam hubungan dua hala dan perdagangan antara kedua-dua negara. Oleh itu, adalah penting untuk kita tidak bertindak balas secara keterlaluan tentang setiap isu yang timbul. Bagaimana kita bertindak mencerminkan nilai-nilai teras dalam masyarakat kita yang berbilang kaum dan kita tidak seharusnya membenarkan mana-mana isu tunggal menjejas hubungan baik Singapura dengan negara lain. Ini adalah pendekatan Pemerintah Singapura dalam menangani isu ini.

PENCEGAHAN DAN DIPLOMASI

Secara realitinya, Singapura tidak mempunyai tempat yang cukup untuk memenuhi semua keperluan latihan ketenteraan. Justeru, latihan ketenteraaan di negara asing adalah penting dari segi pertahanan. Pertahanan yang kuat bertujuan untuk menjadi batas penghalang bagi mencegah mana-mana pihak yang cuba mengancam keselamatan dan kestabilan cara hidup kita di Singapura. Jika pencegahan tersebut gagal, maka setiap anggota SAF akan harus menyahut panggilan untuk mempertahankan Singapura. Oleh itu, latihan SAF di luar negara akan kekal untuk jangka yang panjang.

SAF juga menggembleng teknologi dan peralatan ketenteraan yang serba canggih. Kebanyakannya adalah hasil negara kita sendiri. Ini termasuk Terrex ICV yang merupakan kenderaan tempur berperisai yang dibangunkan bersama oleh pihak ST Engineering Singapore.

Di sidang Parlimen pada 9 Januari 2017, Menteri Pertahanan Dr Ng Eng Hen menjelaskan bahawa di bawah undang-undang antarabangsa, aset milik sesebuah negara berdaulat tidak boleh ditahan oleh pemerintah negara lain dan menegaskan kedaulatan Singapura dalam isu penahanan Terrex ICV.

Ini bukan sahaja betul dari segi undang-undang antarabangsa tetapi undang-undang Hong Kong dan China juga.


(Gambar: REUTERS/Bobby Yip)

DOKTRIN KEDAULATAN

Sebagai undang-undang antarabangsa, doktrin kekebalan berdaulat membenarkan sesebuah negara berdaulat dikecualikan daripada bidang kuasa mahkamah negara asing. Ini bermakna, sebuah negara berdaulat tidak boleh didakwa di mahkamah negara lain tanpa keizinannya; begitu juga dengan segala aset negara itu. Mahkamah Rayuan Singapura memutuskan dalam satu kes pada tahun 2008 bahawa doktrin kedaulatan ini berlandaskan konsep kesaksamaan, kebebasan serta maruah negara dan prinsip iaitu sesebuah negara tidak mempunyai kuasa ke atas negara berdaulat yang lain.

Secara amnya, negara-negara di dunia mengamalkan satu daripada dua konsep kekebalan berdaulat yang berlainan iaitu: mutlak atau terhad. Dalam konteks kekebalan berdaulat (terhad), aktiviti dan aset negara yang bersifat komersial tidak mendapat perlindungan. Dalam kekebalan berdaulat (mutlak), kesemuanya (termasuk aktiviti atau aset komersial) dilindungi.

Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 2004 iaitu Konvensyen mengenai Kekebalan Daripada Bidang Kuasa Negara dan Hartanya, yang belum berkuat kuasa lagi, juga mempunyai struktur yang sama mengenai kekebalan berdaulat. Walaupun China sudah menandatangani konvensyen tersebut pada September 2005, ia masih belum mengesahkannya dalam rangka undang-undangnya.

Namun, pada tahun 2011, Mahkamah Rayuan Terakhir di Hong Kong berpendapat bahawa kekebalan berdaulat (mutlak) berkuat kuasa di Hong Kong. Susulan kes tersebut, Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Negara China memberikan penerangan tentang perlembagaan Hong Kong dan menyatakan bahawa undang-undang Hong Kong mesti selaras dengan dasar-dasar China termasuk kekebalan berdaulat mutlak yang diterapkan di China. Oleh itu, Hong Kong, sebagai wilayah pentadbiran China, juga menerapkan kekebalan berdaulat mutlak.
Kesimpulannya, respons pemerintah Singapura dalam isu Terrex ICV tentang undang-undang antarabangsa dan kekebalan berdaulat adalah tepat.

Ini menimbulkan suatu persoalan: mengapakah Terrex ICV masih ditahan apabila penahanan itu sememangya melanggar bukan sahaja undang-undang antarabangsa tetapi juga undang-undang Hong Kong dan China sendiri? Mungkin soalan itu hanya boleh dijawab pemerintah China. Dan mungkin, ia juga berkaitan dengan keperluan Beijing untuk mengekalkan sesuatu persepsi awam di China. Walau bagaimanapun, itu tidak mengubah bagaimana kita di Singapura harus bertindak.


(Gambar: SCMP)

BERSATU KITA TEGUH, BERCERAI KITA ROBOH

Dalam hubungan luar negara antara Singapura dengan China, pemerintah Singapura sentiasa mengimbangi dan mengekalkan hubungan baik serta memelihara autonomi demi kepentingan negara kita. Duta Kelana Ong Keng Yong di Ceramah IPS-Nathan pada 30 Mac 2016, menceritakan bahawa apabila mendiang Menteri Pembimbing Lee Kuan Yew berhubungan dengan pemimpin-pemimpin China, beliau tidak pernah menggunakan bahasa Cina, walaupun beliau memahaminya. Begitu juga untuk Perdana Menteri berikutnya.

Bagi saya, pendekatan ini adalah sejajar dengan masyarakat berbilang kaum Singapura dan menunjukkan bahawa Singapura bukan "negara China" walaupun majoriti penduduk Singapura adalah kaum Cina. Oleh kerana itu, Singapura sebagai negara kecil yang berdaulat akan tetap bertindak mengikut kepentingan negara. Ia juga terus komited pada prinsip peraturan perundangan sesebuah negara dan bukan “yang kuat berkuasa”. Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Justeru, sebagai rakyat Singapura, dan masyarakat Melayu Singapura khususnya, kita juga harus perihatin akan dasar-dasar permerintah Singapura tentang hal ehwal luar negara terutamanya pada masa sekarang di mana arus global kian berubah-ubah.

Dalam masa seminggu kita sudah melihat unsur-unsur perubahan dalam hubungan luar negara sedunia. Presiden Amerika Syarikat sudah berganti. Beijing menyatakan hasratnya untuk memainkan peranan yang lebih penting pada tahap global sepertimana yang dikatakan oleh Presiden China, Xi Jinping pada Forum Ekonomi Dunia di Davos pada 17 Januari 2017. Hubungan luar negara akan terus ubah. Singapura, seperti semua negara-negara yang lain, sama ada kita mahu atau tidak, akan dilanda perubahan tersebut.

Namun, isu Terrex ICV ini menunjukkan bahawa Singapura sudah bersiap sedia dalam melakarkan pendekatan yang konsisten dalam hal ehwal luar negara. Dan jika perlu, Singapura juga bersedia untuk mempertahankan prinsip dan maruahnya sendiri. Duta Kelana dan mantan Setiausaha Tetap Kementerian Ehwal Luar, Encik Bilahari Kausikan mengatakan bahawa kemarahan China adalah bertujuan untuk menakut-nakutkan rakyat Singapura supaya memberi tekanan kepada pemerintah. Saya berkongsi pandangan dengan beliau.

Marilah kita sebagai rakyat Singapura berdiri bersama-sama dan tidak membenarkan mana-mana belah pihak untuk menyemai perpecahan di kalangan kita. Bagi sebuah negara seperti Singapura, adalah lebih penting bagi kita berpegang teguh pada nilai-nilai teras yang berlandaskan undang-undang dan hak saksama. Bak pepatah Melayu, "bersatu kita teguh, bercerai kita roboh".


MENGENAI PENULIS:

Zhulkarnain Abdul Rahim adalah rakan kongsi dan peguam di firma guaman antarabangsa Dentons Rodyk & Davidson LLP. 

- BERITAMediacorp/nk

Komen Anda?

Top
>