Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: 4 faedah utama Belanjawan 2017 untuk masyarakat Melayu/Islam lebih tangkas

Belanjawan tahun ini juga berbeza daripada tahun-tahun sudah, di mana ada penanda yang boleh dilihat dengan jelas, jarak dekat dan pertengahan.

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: 4 faedah utama Belanjawan 2017 untuk masyarakat Melayu/Islam lebih tangkas

Encik Saktiandi Supaat ialah AP GRC Bishan. (Gambar: Saktiandi Supaat)

BERITAMediacorp: Apakah kesan Belanjawan 2017 kepada masyarakat Singapura amnya termasuk masyarakat Melayu/Islam? Apakah motivasi inisiatif-inisiatif yang dibentangkan Menteri Kewangan Heng Swee Kiat? Bagaimana pula belanjawan tersebut harus difahami oleh masyarakat Melayu/Islam baik dari segi sosial ataupun ekonomi?

Itulah antara yang dikupas pakar ekonomi yang juga Anggota Parlimen GRC Bishan, Saktiandi Supaat dalam artikel KOMENTAR, yang disumbangkan beliau untuk BERITAMediacorp ini: 

Latar langit Singapura. (Gambar fail: AFP/Roslan Rahman)

Latar langit Singapura. (Gambar fail: AFP/Roslan Rahman)

BELANJAWAN 2017 benar-benar mencerminkan keadaan ekonomi semasa di mana ketidaktentuan lebih mengabui hala tuju yang ada.

Belanjawan tahun ini juga berbeza daripada tahun-tahun sudah, di mana ada penanda yang boleh dilihat dengan jelas, jarak dekat dan pertengahan.

Kita sedang melangkah masuk ke tahun yang samar dan badai kuat mungkin tiba-tiba meniup ke arah anda.

Kami menyasarkan pertumbuhan sederhana antara 2% hingga 3%, lebih tinggi dari ekonomi-ekonomi yang membangun. (termasuk Hong Kong, Korea Selatan dan Taiwan).

Ekonomi kita sedang menuju kematangan (walaupun dengan pasaran buruh yang ketat – bermakna bilangan bersih penciptaan pekerjaan terus kekal) dan kita harus berpuashati dengan pertumbuhan ekonomi seperti ini.

Dengan berlatarbelakangkan ini, Menteri Kewangan menumpukan perhatian terhadap kekhuatiran jangka pendek bagi perniagaan, para pekerja dan keluarga.

Pada masa yang sama, beliau juga melakar tindakan jangka sederhana dan panjang, serta menyeru rakyat kekal positif dan bersatu sebagai sebuah negara.

CERMINKAN KEPRIHATINAN TERHADAP PELBAGAI INDUSTRI

Belanjawan ini juga menunjukkan keprihatinan Menteri Kewangan terhadap keperluan pelbagai industri, seperti sektor marin dan sektor proses, serta sektor binaan. Beliau menunda levi pekerja asing bagi sektor marin selama setahun lagi. Untuk membantu produktiviti dalam sektor binaan, beliau akan mempercepat projek-projek infrastruktur awam bernilai $700 juta.

Bagi masyarakat peniaga, beliau menyertakan rebat cukai korporat, meningkatkannya dari $20,000 kepada $25,000 dan melanjutkan rebat CIT hingga tahun kewangan 2018.

Sokongan yang kukuh diberikan kepada Syarikat Kecil dan Sederhana (SME) di bawah Pinjaman Modal Kerja di mana pemerintah akan berkongsi 50% risiko ingkar bagi pinjaman sehingga $300,000 bagi setiap SME sehingga 2019. Ia ditambah dengan Skim Kredit Gaji dan Kredit Pekerjaan Khas yang sedia ada.

Turut ketara ialah, Kredit Pekerjaan Khas akan dilanjutkan sehingga Disember 2019 untuk mengimbangi sehingga 3% gaji, bagi membantu pekerja lanjut usia kekal dalam pekerjaan. Ini seiring dengan usaha pengambilan semula pekerja dilanjutkan sehingga usia 67 tahun.

BELANJAWAN 2017 IBARAT SEORANG 'ATLIT'

Saya samakan belanjawan ini dengan seorang atlit yang akan bersaing dalam triathlon. Dia harus berlatih keras dan melakar strategi perlumbaan, memberi fokus kepada kelebihan yang akan memastikan dia akan berada kekal di hadapan.

Semua langkah yang diumumkan adalah seperti seorang atlit yang mengambil diet yang sihat dan seimbang untuk membina otot-otot untuk bersaing dalam perlumbaan yang sengit.

Inilah keadaannya bagi industri-industri, di mana pemerintah mengetepikan lebih daripada $80 juta bagi Program Perubahan Digital, lebih $100 juta bagi Program Perikatan Inovasi Sejagat dan Inisiatif Pembangunan Kepimpinan, dan $600 juta dolar untuk Dana Kerjasama Antarabangsa.

Kasut untuk perlumbaan yang akan mencengkam trek balapan adalah Rancangan Perubahan Industri untuk 23 sektor dan rakan kongsi penting termasuk etos usaha sama yang perlu disemaikan dalam ekosistem.

Nada dan lagu bagi Belanjawan ini merupakan satu pengesahan kepada saranan-saranan Jawatankuasa Ekonomi Masa Hadapan (CFE) yang mempersiapkan kita untuk ekonomi global yang berdaya saing.

Ia mempunyai elemen menarik yang datang dari segmen sekitaran di mana tindakan tegas telah diambil untuk memastikan kita terus mengekalkan sekitaran hidup yang bermutu tinggi untuk generasi akan datang.

BESAR HATI: BANTUAN KEPADA KELUARGA MUDA

Dua orang sedang melihat model-model flat HDB. (Gambar fail: TODAY)

Dua orang sedang melihat model-model flat HDB. (Gambar fail: TODAY)

Di peringkat sosial pula, saya berbesar hati melihat Belanjawan tahun ini memberi bantuan kepada keluarga-keluarga muda menerusi geran perumahan yang lebih tinggi, dan lebih banyak bantuan diberikan kepada mereka yang mempunyai bayi.

Kita juga menunjukkan komitmen kepada Perjanjian Paris, justeru cukai pengeluaran karbon disel (dari 2019) dan langkah-langkah lain seperti skim pemulangan kenderaan awal untuk menggalak orang ramai menukar kepada kenderaan yang lebih mesra alam.

Menerusi keseluruhan bajet ini, prinsip dasarnya ialah untuk tidak melupakan golongan yang memerlukan. Baucar GST, rebat untuk perkhidmatan dan penyenggaraan, tokokan untuk Dana ComCare, MediFund dan rebat sederhana tersedia untuk membantu keluarga yang layak, berdepan dengan sebarang tekanan inflasi yang muncul dari kesan kenaikan harga air.

Bagi pekerja, usaha-usaha pemadanan pekerjaan lebih baik dan Inisiatif Suai Maju yang dikhususkan bagi Program Penukaran Profesional, Program Sokongan Pekerjaan, menyerlahkan lagi bantuan bagi yang mencari pekerjaan. Inisiatif Bekerja Sambil Berlatih yang baru diperkenalkan pula membantu meningkatkan prospek pekerjaan.

FAEDAH PERTAMA

Ada 4 faedah utama bagi Masyarakat Melayu/Islam. Pertama, jelas bahawa cara yang terbaik untuk mara ke hadapan ialah dengan memperkukuhkan kedudukan di sektor yang berkembang dan situlah Menteri Kewangan sedang membantu Syarikat Kecil dan Sederhana (SME) untuk terus maju.

Terdapat pelbagai peluang yang boleh dimanfaatkan para peniaga Melayu/Islam dalam Program Transformasi Digital untuk huraian IT dalam perniagaan, meneroka innovasi untuk meningkatkan persaingan menerusi Kajian dan Pengembangan (R&D), mengenalpasti dan memanfaatkan IP yang tidak digunakan, memperkasa perniagaan ke arena global dengan pelaburan bersama pemerintah dan pembiayaan bagi projek rentas sempadan yang berisiko.

Saya menggesa peniaga Melayu/Islam untuk meneroka peluang dan menjelajah ke ruang-ruang baru. Salah satu cara ialah, para peniaga Melayu/Islam boleh bekerjasama dengan agensi-agensi yang sedia ada untuk mencipta peluang dalam pasaran ekonomi Afrika yang membangun, sedang Singapura memperluaskan kerjasama ekonominya dalam landskap global sekarang ini.

Jadi, bagi perniagaan Melayu/Islam yang berada di antara 23 sektor yang tersenarai di bawah Rancangan Perubahan Industri (ITM), panduan akan diberikan untuk mengenalpasti arah yang harus dituju dan langkah-langkah yang harus diambil untuk mencapai matlamat kita.

Jika kita melihat dari perspektif peninju legenda, Muhammad Ali, apa dia lakukan ialah berlatih dan membina stamina dan otot.

FAEDAH KEDUA

Kedua, seorang peninju harus berlatih dengan jurulatih kecergasan dan jurulatihnya untuk menimba pengalaman dan meningkatkan kemahiran. Dengan demikian, di sebalik semua industri, kita ada SME dan kita memerlukan tenaga kerja.

Kita memerlukan pemimpin serta mereka yang boleh membangunkan idea, melaksanakan strategi dan tenaga kerja yang bermotivasi. Terdapat banyak peluang untuk masyarakat Melayu/Islam terokai.

Dalam masa-masa sukarlah, ada peluang yang menanti. Manfaatkanlah Pembelajaran Sepanjang Hayat, sertailah Program Sokongan Pekerjaan, Program Penukaran Profesional, dan Program Pekerjaan Percubaan.

Terdapat juga permintaan permintaan dalam sektor kesihatan, pendidikan dan keselamatan siber.

Oleh itu menyelaraskan rancangan latihan atau pendidikan agar kita dapat menyesuaikan diri dalam sektor yang sedang membangun ini, dapat membuka peluang pekerjaan dan meningkatkan gaji untuk tenaga kerja Melayu/Islam.

Bagi para pelajar pula, saya sarankan agar anda menyertai Perikatan Inovasi Sejagat – Akademi Pereka Baru untuk mendapatkan pengalaman di luar negara. Semoga kumpulan pelajar ini dapat diperluaskan dari universiti kepada pelajar politeknik dan ITE.

Bagi masyarakat peniaga Melayu, saya sarankan agar mereka melangkah masuk ke Pencetus Inovasi dan pusat menghubungkan syarikat tempatan dan antarabangsa (The Welcome Centres).

Saya juga ingin menggalak ketua-ketua SME Melayu/Islam yang berpotensi untuk turut-serta dalam Program Pembangunan Kepimpinan SkillsFuture di mana terdapat rancangan untuk menghantar 800 rakyat Singapura untuk mempelajari dan meningkatkan kemahiran di rantau ini, dan memastikan jaringan perniagaan dan pengetahuan di rantau tersebut dapat dipertingkatkan. Jangan sampai peluang ini terlepas dari genggaman.

Bagi para usahawan dalam masyarakat Melayu/Islam dan yang lebih cenderung dalam bidang digital, terdapat peluang-peluang berpotensi yang datang daripada penyeliaan ‘sandbox’.

Ini bermakna akan terdapat lebih banyak peluang untuk syarikat pemula yang mengubah kelaziman (disruptive startups). Ia juga bermakna akan terdapat usaha sama inovatif yang baru dalam masyarakat Melayu/Islam dalam sektor-sektor lain yang bukan tradisional bagi Melayu/Islam.

Pada ketika ini, adalah wajar untuk kita ingatkan kekata dari Muhammad Ali: “Jangan mengira hari; jadikan hari itu berguna” Maknanya, anda harus berusaha untuk mencapai impian.

Semestinya Belanjawan ini bukan sekadar tentang bisnes sahaja; tapi ia adalah tentang rakyat kita.

FAEDAH KETIGA

Ketiga, pekerja Melayu/Islam yang lebih tua juga akan meraih manfaat kerana kini mereka boleh bekerja sehingga usia 67 tahun, boleh menggunakan Kredit SkillsFuture dan menyumbang kepada ekonomi.

Warga Singapura yang berusia 60 tahun ke atas merangkumi 23 peratus daripada mereka yang sudah menggunakan Kredit SkillsFuture. (Gambar fail)

Warga Singapura yang berusia 60 tahun ke atas merangkumi 23 peratus daripada mereka yang sudah menggunakan Kredit SkillsFuture. (Gambar fail)

Akan terdapat banyak kursus modul pendek yang akan membantu para pekerja kita meningkatkan kemahiran. Sedang Kredit SkillsFuture terus menawarkan kursus yang bertauliah, ahli kesatuan boleh mendapat subsidi bagi kursus-kursus terpilih menerusi Dana Pendidikan & Latihan NTUC.

Senario yang ideal ialah untuk mempunyai produktiviti pekerja yang tinggi dan kemudian peningkatan gaji dalam tenaga kerja Melayu/Islam kita, tidak kira apa jua jenis pekerjaan atau tahap pendidikan.

Secara ideal, kita juga mahukan tenaga kerja Melayu/Islam yang mempunyai peningkatan gaji yang lebih tinggi daripada purata nasional. Tapi itu adalah titik penghujungnya.

Prosesnya ialah membina daya telaten kita, kemahiran lebih mendalam, belajar sepanjang hayat, meluaskan rangkaian pekerjaaan, inovasi yang disertakan dengan pemikiran positif agar dapat mengenalpasti sesuatu sebagai peluang dan bukan cabaran.

Sedang kita bicarakan tentang ekonomi, isu-isu harian seperti pekerjaan atau di antara kita yang mempunyai dua pekerjaan untuk menyara keluarga, mungkin menjadi perkara yang lebih diutamakan.

Tapi dalam konteks norma yang baru bagi Singapura, adalah penting bagi lebih ramai keluarga Melayu/Islam melihat Belanjawan, CFE dan isu-isu lain sebagai wadah yang berguna dalam memulakan perbincangan di majlis-majlis kenduri, meja makan atau ruang tamu untuk memupuk minat dalam cabaran, peluang dan arah ekonomi Singapura; serta meneroka apa yang diperlukan untuk berjaya dan melakukan penyesuaian serta meraih peluang bila ia muncul.

Saya fikir dengan ini masa depan generasi Melayu/Islam masa depan akan menjadi lebih cerah.

FAEDAH KEEMPAT

Keempat, untuk memberikan ketenangan bagi mereka yang berjuang di barisan hadapan, Belanjawan ini akan memperuntukkan keperluan bagi keluarga kurang bernasib baik atau berpendapatan rendah dalam masyarakat Melayu/Islam.

Jadi, terdapat geran perumahan tambahan bagi yang memohon rumah HDB buat kali pertama, skim jagaan prasekolah serta lebih banyak dermasiswa untuk pelajar sekolah menengah dan pos-menengah.

Geran-geran yang lebih tinggi juga akan diberikan kepada badan-badan bantu diri dan pertubuhan amal Melayu/Islam, tapi ini juga bermakna kita harus memastikan dana itu akan digunakan sebaik mungkin dan juga mungkin perlu ditumpukan kepada inisiatif-inisiatif berguna.

Untuk membantu mereka yang terjejas dengan langkah berhubung inflasi dalam Belanjawan, terdapat baucar GST, rebat S&CC, dan tokokan Medifund, ComCare, serta diberikan rebat sederhana cukai pendapatan yang dihadkan kepada $500.

Jadi, bagi mereka dalam masyarakat kita yang tinggal di flat 1-2 bilik, ada peningkatan tetap sebanyak $10 setiap bulan (berjumlah $120 setiap tahun) dalam bentuk rebat GST U-Save yang akan membantu untuk mengimbangi kenaikan dan perubahan yang dijadualkan pada harga air.

Ya, Muhammad Ali juga mempunyai pengurus serta pengiringnya untuk menjaga kesejahteraan dan keperluan logistiknya.

RUMUSAN BELANJAWAN UNTUK MASYARAKAT MELAYU/ISLAM

Yang boleh saya katakan setepatnya ialah Belanjawan tahun ini mahu menjadikan Singapura dan masyarakat Melayu/Islam lebih tangkas, agar pada masa yang sesuai ia boleh: “Terapung seperti kupu-kupu dan menyengat seperti seekor lebah (Float like a butterfly and sting like a bee.

Rumusannya, saya berpendapat Belanjawan tahun ini mengambil pendekatan yang sangat tertumpu. Dalam beberapa sudut, ianya ‘belanjawan vanilla’ tanpa oleh-oleh luar biasa.

Tetapi, ia merupakan Belanjawan yang akan meletakkan kita di sebuah wadah yang stabil sedang kita berlari dalam perlumbaan yang kadangkala membolehkan kita memecut jika perlu, dengan begitu pantas.

MENGENAI PENULIS:

Encik Saktiandi Supaat ialah AP GRC Bishan sejak tahun 2015. Beliau lulusan dua ijazah Sarjana - Sarjana Ekonomi Gunaan (Universiti Nasional Singapura) dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Universiti Cambridge).

Selaku pakar ekonomi, beliau kini bertugas sebagai Naib Presiden Eksekutif bagi Pasaran Global, Ketua Kajian Tukaran Asing, di Kumpulan Maybank.

Encik Saktiandi juga duduk dalam Panel Penasihat CPF. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan