Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: 2 aspek ini boleh hambat kemajuan masyarakat Melayu

Di tengah-tengah asakan isu mendesak seperti pengganasan, apakah ini menyerap tumpuan masyarakat Melayu/Islam kita sehinggakan kita kurang memberi tenaga yang sama kepada isu-isu dan masalah-masalah lain?

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: 2 aspek ini boleh hambat kemajuan masyarakat Melayu

Dr Norshahril Saat. (Gambar: Dr Norshahril Saat)

BERITAMediacorp: Di tengah-tengah asakan isu mendesak seperti pengganasan, apakah ini menyerap tumpuan masyarakat Melayu/Islam kita sehinggakan kita kurang memberi tenaga yang sama kepada isu-isu dan masalah-masalah lain?

Apakah kita juga masih melihat apa yang disebut sebagai “masalah orang Melayu” dengan kaca mata dan mekanisme yang kurang meluas, sehingga kita gagal mencari akar masalah dengan tepat?

Itulah yang dibincangkan artikel KOMENTAR Dr Norshahril Saat ini, yang beliau tulis dan sumbangkan kepada BERITAMediacorp. Dr Norshahril berkongsi tentang dua aspek yang beliau percaya boleh menghambat kemajuan masyarakat Melayu kita. Ini pandangan beliau:

(Gambar: BERITAMediacorp)

SETIAP KALI kita mendengar pemimpin-pemimpin kita menyenaraikan pencapaian masyarakat Melayu/Islam di Singapura, kita boleh ikut berasa bangga. Banyak cabaran yang telah dilalui masyarakat kita untuk mencapai tahap kemajuan hari ini.

Pada 9 Ogos 1965, masyarakat Melayu/Islam menjadi sebuah masyarakat minoriti apabila Singapura berpisah dari Malaysia. Malah, ramai juga anak-anak Melayu/Islam Singapura—terutama golongan karyawan—berhijrah ke negara seberang.

Mereka yang memilih untuk kekal di Singapura pula percaya bahawa sistem meritokrasi dan berbilang kaum boleh menjamin masa depan masyarakat kita dengan lebih baik. Pada masa itu, tidak timbul soal orang-orang Melayu/Islam tidak taat kepada negara, seperti yang berlaku pada era 80-an.

Satu cabaran yang dihadapi masyarakat pada tahun-tahun tersebut adalah untuk meyakinkan pemimpin-pemimpin politik bahawa kita bukan sahaja taat kepada negara, malah kita sedia berjuang demi penakatan Singapura.

Pemerintah pula mempunyai keprihatinannya sendiri: Masyarakat Melayu/Islam dibelenggu masalah-masalah pekerjaan, sosial, hubungan kekeluargaan, dan pendidikan.

Kebangkitan Islam pada dekad tersebut merumitkan lagi hubungan antara masyarakat Melayu/Islam dan pemerintah pada masa itu, mentelah lagi ada sekumpulan daripada masyarakat kita yang mahu menyisihkan diri daripada masyarakat umum.

(Gambar: Dr Maliki Osman/Facebook)

Kita bersyukur kerana kepercayaan pemerintah terhadap masyarakat kita semakin pulih, dan ini dapat dilihat dengan adanya orang-orang Melayu dalam bahagian-bahagian sensitif di dalam Angkatan Bersenjata Singapura (SAF).

Malah kita sudah ada seorang Menteri Negara Kanan, Dr Mohamad Maliki Osman, yang menerajui Kementerian Pertahanan dan Kementerian Luar Negara. Pemerintah juga memberikan banyak sokongan terhadap institusi-institusi agama kita, contohnya dalam pembangunan masjid dan madrasah.

Namun, beberapa penangkapan ISA (atas sebab-sebab keganasan) baru-baru ini seakan-akan cuba menghambat pencapaian masyarakat kita sejauh ini. Pendukung-pendukung ideologi ISIS and terrorisme ini boleh menyebabkan hilang kepercayaan pemerintah terhadap masyarakat kita sekali lagi.

BINCANG MASALAH: BELAJAR DARIPADA PEMIMPIN VETERAN

Graffiti dilihat di dinding lorong belakang sedang tentera pemerintah meneruskan serangan mereka terhadap kumpulan Maute di Marawi City, Filipina pada 12 Jun 2017. (Gambar: REUTERS/Romeo Ranoco/Files)

(Gambar: Reuters)

Hakikatnya, isu pengganasan hanyalah satu sahaja masalah yang menjejas masyarakat kita. Isu penggasanan itu amat jelas, bak kata pepatah “jauh boleh ditunjukkan, dekat boleh dikakokkan.” Ia ditolak agama dan justeru, tidak ada keperluan untuk mengulang bahawasanya pengganasan berlanggar dengan syariat agama.

Dari satu sudut, pengganasan hanya melibatkan golongan minoriti dalam masyarakat. Dari satu sudut yang lain, orang-orang Melayu/Islam setempat juga bergiat aktif untuk mengukuhkan keharmonian kaum lewat kerjasama dengan masyarakat lain. Lantas, usahlah kita memperlekeh usaha-usaha murni ini.

JANGAN BELAKANGKAN ISU-ISU LAIN

Kita tidak seharusnya hanya memberikan tumpuan kepada isu-isu pengganasan sehingga membelakangkan cabaran-cabaran lain.

Di sini, saya syorkan agar kepimpinan politik dan elit masyarakat kita membincangkan isu-isu lain secara terbuka dan mendapatkan respons masyarakat dan pemikir-pemikir setempat. Dalam mencari huraiannya, mereka tidak sekadar menceritakan hal-hal yang positif sahaja.

Pemimpin-pemimpin terdahulu telah menunjukkan contoh yang baik dalam membincangkan masalah-masalah masyarakat. Mereka menulis kertas-kertas kerja berdasarkan kajian-kajian terperinci bagi setiap cabaran.

Pada Mei 1982, Kongres Pendidikan Mendaki yang pertama diadakan demi membincangkan masalah pendidikan orang-orang Melayu/Islam. Pemimpin-pemimpin politik dan elit masyarakat kita bimbang tidak ramai anak-anak Melayu/Islam yang melangkah ke universiti.

Justeru mereka cuba melakarkan strategi untuk membantu anak-anak Melayu/Islam masuk ke politeknik atau maktab rendah. Hasil daripada Kongres ini, tenaga profesional bergabung dengan golongan cerdik-pandai untuk membantu golongan kurang berkemampuan keluar daripada lingkaran kemiskinan. Ini kemudian mencetus perbincangan di Kongres Mendaki II pada tahun 1989 demi membincangkan langkah-langkah seterusnya untuk kebaikan masyarakat.

BERBEZA PANDANGAN DENGAN CARA MEMBINA

Bukanlah tujuan saya untuk menilai sama ada pencarian akar masalah pendidikan ini tepat ataupun tidak. Tentu sekali bagi setiap usaha yang dilakarkan, ada yang setuju dan ada yang tidak setuju. Namun, perbezaan pandangan ini harus dilakukan dengan cara yang membina.

Sebagai contoh, salah satu buku yang memberikan pandangan kritikal terhadap masalah pendidikan ditulis oleh Dr Lily Zubaidah Rahim, The Singapore Dilemma: The Political and Educational Marginality Of the Malay Community.

Sebarang kritikan haruslah dijadikan pedoman demi kebaikan masyarakat dan bukanlah dijadikan api perpecahan. Bagi yang tidak setuju dengan Dr Lily, boleh sahaja menulis satu buku ilmiah—lengkap dengan statistik dan perspektif alternatif¬—dan menyanggah hujah-hujah beliau.

MENCARI AKAR MASALAH DENGAN TEPAT

Perlu ditekankan di sini tentang perlunya mencari akar setiap masalah dengan tepat. Ada kalanya, kita melihat sesuatu masalah sebagai “masalah orang Melayu” atau “masalah masyarakat Islam”.

Sebagai contoh, masalah dadah bukan sekadar berbincang sama ada ia dilarang dalam Islam atau tidak. Kita perlu selidik latar-belakang individu-individu yang terjebak dalam kegiatan dadah. Apakah kaitan status ekonomi terkait rapat dengan cara kehidupan si penagih dadah itu?

Satu lagi isu yang sering diperkatakan adalah masalah “keluarga pincang” yang seringkali disebut-sebut sebagai masalah orang Melayu. Tetapi, apakah ini hanya masalah orang kita sahaja? Adakah trend yang sama ini juga berlaku pada masyarakat minoriti di negara-negara maju?

(Gambar: BERITAMediacorp)

KELAS SOSIAL ADA KAITANNYA DENGAN KESIHATAN?

Ada pula contoh-contoh di mana analisis sesuatu masalah itu hanya separuh tepat. Misalnya, tahap kesihatan masyarakat Melayu yang sering diperkatakan.

Benar, ramai orang Melayu yang berpenyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi dan masalah jantung. Ini mungkin disebabkan faktor budaya dan pemakanan orang-orang kita. Tetapi, dalam masa yang sama, kita juga tidak boleh lupa pada faktor kelas.
Gaya kehidupan golongan pekerja Melayu/Islam mungkin menyulitkan mereka untuk mendapatkan masa untuk bersenam, atau mendapatkan makanan lebih berkhasiat atau berkualiti.

Cara pemakanan yang lebih sihat, seperti beras perang, mungkin mahal buat golongan tersebut. Lantas, saya berpandangan bahawa masalah kesihatan masyarakat Melayu berkait rapat dengan status sosio-ekonomi masyarakat Melayu.

(Gambar: BERITAMediacorp)

2 YANG HAMBAT KEMAJUAN MELAYU

Saya rungkaikan dua aspek yang boleh menghambat kemajuan masyarakat, terutama dalam mencari huraian masalah.

Yang pertama adalah sifat memilih perbincangan masalah tertentu, terutama yang berkaitan dengan keselamatan negara. Ini boleh memberi gambaran kurang tepat bahawa masalah-masalah lain sudah diselesaikan.

Yang kedua adalah untuk menyalahkan faktor budaya dan agama sesuatu masyarakat sebagai punca, tanpa mempertimbangkan faktor sosio-ekonomi. Mungkin sahaja cabaran yang sama akan dihadapi sekiranya masyarakat lain mempunyai status sosio-ekonomi yang sama dengan masyarakat kita.

Dr Norshahril Saat. (Gambar: Dr Norshahril Saat)

Dr Norshahril Saat. (Gambar: Dr Norshahril Saat)

MENGENAI PENULIS:

Dr Norshahril Saat Zamil ISEAS- Institut Yusof Ishak. Beliau pengamat politik Asia Tenggara. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan