Images
  • dr faizal musa
    Faisal Tehrani. (Gambar: BERITAMediacorp)

KOMENTAR: 1,300 tahun dahulu, Melayu sudah ada ‘piagam’ hak asasi manusia

BERITAMediacorp: Salah satu cara menilai kehebatan sesebuah kelompok manusia adalah bukan setakat menilai kekuatan bala tenteranya. Tetapi juga menilai daya inteleknya dan daya kemanusiaannya. Ramai orang Melayu sendiri mungkin kurang sedar, daya hak asasi manusia orang Melayu sebenarnya jauh lebih tua daripada yang pernah mereka sangka.

Itulah yang dihujahkan pengkaji dunia Melayu dan pengkaji hak asasi manusia dari Malaysia, Dr Mohd Faizal Musa. Dalam artikel KOMENTAR sumbangan beliau kepada BERITAMediacorp ini, Dr Faizal membutirkan hujah-hujah berdasarkan arkib dari dunia Melayu sendiri, mengapa orang Melayu boleh berbangga bahawa mereka tidak kalah berbanding bangsa besar lain.

Malah lebih penting lagi, Melayu bangsa yang cukup bertamadun dan maju dari segi cara fikir:


Gambar hiasan. (Gambar: AFP PHOTO / SIMIN WANG)

BEBERAPA ketika dahulu, terdapat dakwaan atau pandangan cetek yang mengatakan Hak Asasi Manusia adalah sesuatu yang baharu, moden sifatnya dan berasal dari Barat. Sebenarnya pendapat ini meleset. Hak Asasi Manusia adalah hak yang dimiliki oleh seseorang kerana dia adalah seorang manusia. Hari ini, tujuan dan niat murni gagasan Hak Asasi Manusia moden seperti terpancar menerusi The Universal Declaration of Human Rights 1948 (selepas ini UDHR 1948) adalah untuk memperbaiki taraf dan keadaan hidup manusia kebanyakan.

Gagasan Hak Asasi Manusia moden ini lahir sebagai respon manusia, iaitu kita, kepada masalah atau cabaran yang kita hadapi. Setiap umat manusia dari pelbagai zaman dan era berdepan dengan masalah tertentu yang sejagat dan perlu memberi reaksi untuk melindungi nilai-nilai kemanusiaan.

Saya memulai satu kembara mencari ‘respon’ ini, kerana saya berpandangan ini amat penting, memandangkan setiap zaman akan melakukan respon tersendiri untuk melindungi manusia dan kemanusiaan.

PRASASTI TALANG TUO - BATU BERSURAT TAHUN 684 MASIHI

Di sini saya ingin menawarkan satu dapatan yang hak asasi manusia di alam Melayu telah pun dikemukakan seawal 23 Mac 684 Masihi atau pada 606 Saka oleh raja Sriwijaya bernama Sri Jayanasa (atau Dapountah Hiyan).

Ini dapat dibuktikan menerusi ‘batu bersurat’ atau Prasasti Talang Tuo iaitu sebuah inskripsi dengan menggunakan tulisan bahasa Melayu lama atau Pallawa. Ia terdiri dari 14 baris tulisan yang secara asasnya menjelaskan perihal kualiti hidup manusia.

Prasasti Talang Tuo ini ditemukan di kampung Talang Tuo, Palembang di Sumatera Selatan pada tahun 1920. Ia diperbuat dari batu andesit dengan tulisan menggunakan aksara Pallawa, dan terdiri dari 14 baris. Prasasti ini dengan jelas menyatakan tarikh ia dipahat iaitu 606 Saka, atau 23 Mac 684 Masihi.

3 PRINSIP UNTUK ‘SEMUA MAKHLUK’

Talang Tuo ini adalah satu dekri diraja yang menyarankan tiga asas supaya rakyat atau manusia, atau dalam prasasti ini dirujuk ‘semua makhluk’ (yang mana mengisyaratkan hubungan manusia dengan alam dan haiwan), adalah pertamanya; bersaudara atau bersahabat, keduanya; keamanan dapat dikekalkan dan kekacauan dihindari, ketiganya; maruah dan kehormatan manusia terpelihara dan tidak dicabul sewenang-wenangnya.

PRINSIP PERTAMA – BERSAUDARA, BERSAHABAT

Asas pertama iaitu bersaudara atau bersahabat tercermin pada gesaan Sri Jayanasa supaya rakyat atau manusia amnya berbaik-baik dan pembinaan taman yang beliau ungkapkan di awal prasasti dapat menjadi ‘kebaikan buat semua makhluk’. Harapan baginda supaya taman atau dusun buah yang disiapkannya itu dapat dimanfaatkan oleh siapa sahaja termasuk musafir menunjukkan bukan sahaja kualiti kehidupan sudah dititik-beratkan pada zaman itu akan tetapi nilai yang ingin ditegakkan oleh gagasan hak asasi manusia moden iaitu kasih-sayang dan persaudaraan sesama umat manusia sudah terjelma.

Dalam zaman yang mana tiada undang-undang antarabangsa dan hidup berasaskan kekuatan, keberadaan prasasti ini sebagai satu titah diraja memberi makna besar. Sebagai contoh Sri Jayanasa mendoakan, atau mengharap manusia berbaik dan hidup rukun yang ‘lahir pikiran boddhi dan persahabatan (….) dari tiga ratna dan semoga mereka tidak terpisah dari tiga ratna itu’. Untuk itu Sri Jayanasa menekankan mutu hidup yang sebenar adalah dengan ‘murah hati, taat pada peraturan, dan sabar; semoga dalam diri mereka terbit tenaga, kerajinan.’

Prinsip pertama yang terkait pada Talang Tuo ini sejajar dengan objektif besar gagasan hak asasi manusia moden seperti terlihat pada UDHR 1948. Oleh kerana itu juga harus difahami, meskipun ada kata hamba, akan tetapi mengikut lingkungan zaman tersebut, hamba yang ada di sini mempunyai nilai yang sama di hadapan pengadilan walaupun secara sosial hamba itu perlu ‘setia’ dan ‘berbakti’.

Ini kerana jika hamba itu dianggap sebagai satu subjek hina ia tidak akan digandingkan dalam satu baris tulisan dengan ‘teman-teman mereka’ dan ‘isteri mereka’. Tambahan pula Talang Tuo mendoakan agar ‘teman tidak akan mengkhianati’ sementara ‘isteri akan setia’.

PRINSIP KEDUA – KEAMANAN DIKEKAL, KEKACAUAN DIHINDARI

Prinsip kedua yang terserlah dalam dekri diraja pada prasasti Talang Tuo ialah agar keamanan dapat dikekalkan dan kekacauan dihindari. Hal ini amat difahami kerana Buddhisme yang dianuti oleh orang Melayu ketika itu menyediakan undang-undang moral untuk penganut atau pengikutnya. Ini dapat dikesan pada prasasti Talang Tuo yakni pada baris yang memperincikan hasrat atau harapan supaya di dusun atau taman yang dibina ini tidak akan ada jenayah.

Sri Jayanasa menyarankan supaya ‘tidak ada pencuri, atau orang yang mempergunakan kekerasan, atau pembunuh atau penzinah’. Bahkan di dalam taman itu dianjurkan supaya manusia berbaik-baik, di mana ‘mereka mempunyai seorang kawan sebagai penasihat baik’.

PRINSIP KETIGA – MARUAH, KEHORMATAN MANUSIA DIPELIHARA

Ini juga menjelaskan prinsip ketiga Talang Tuo yang ketiganya; maruah dan kehormatan manusia terpelihara dan tidak dicabul sewenang-wenangnya. Harus diambil kira pada waktu itu institusi kekeluargaan amat dititik beratkan di mana kehidupan atau kerukunan berkeluarga, suami-isteri dan beranak-pinak adalah ukuran kemuliaan, maruah dan kehormatan manusia.

Justeru doa supaya manusia terhindar dari khianat, jenayah curi bunuh dan zina yang ditolak keras oleh Buddhisme diserlahkan sebagai asas pemeliharaan dan perlindungan maruah dan kehormatan manusia seperti yang dapat difahami dalam gagasan hak asasi manusia moden. Meskipun penekanan nilai sedikit berlainan, akan tetapi secara umumnya maruah dan status manusia disebutkan di sini.

MELAYU WUJUDKAN IDEA HAK MAKANAN LEBIH 1,300 TAHUN LALU

Satu hal yang menarik pada Talang Tuo adalah prasasti ini menjelaskan mengenai pembinaan sebuah taman atau dusun yang mana ditanami pelbagai tumbuhan untuk kegunaan bersama, dan juga supaya ternakan dapat hidup dan meragut dengan aman serta memberi manfaat kepada manusia kemudiannya.

Adalah satu hal yang membanggakan bahawa orang Melayu sejak era Srivijaya lagi telah mengiktiraf, malah melaksanakan, dan menjadikan ia satu dekri diraja hak asasi untuk mendapatkan makanan. Hak untuk mendapat makanan merupakan salah satu hak yang diperjuangkan oleh gagasan hak asasi manusia moden seperti terkandung pada UDHR 1948.

Malah untuk merealisasikan hakikat ini, badan antarabangsa tersebut mewujudkan jawatan pelapor khas hak asasi dan akses terhadap makanan. Pelapor ini bertanggungjawab membawa laporan mengenai pencabulan atau sebarang halangan yang menimpa manusia ekoran tertahannya makanan[i].

Hak untuk mendapatkan makanan secara kekal yang cukup dan bermutu tanpa sebarang halangan adalah hak asasi yang dilindungi oleh UDHR 1948. Ia malah dimasukkan secara spesifik dalam sebuah kovenan antarabangsa iaitu International Covenant on Economic, Social, and Cultural Rights (ICESCR) yang ditandatangi oleh 160 buah negara.

Kembali kepada Talang Tuo, Sri Jayanasa telah pun memberi akses dan menjayakan hak asasi terhadap makanan ini. Malah Talang Tuo menetapkan akses untuk makanan tersebut menjadi tanda aras kesejahteraan masyarakat Srivijaya. Inilah puncanya baginda menanam ‘pohon kelapa, pinang, arensagu, dan bermacam-macam-macam pohon, buahnya dapat dimakan, demikian pula bambu haour, waluh, dan pattum, dan sebagainya’.

MAKANAN UNTUK SEMUA, TIDAK KIRA KASTA ATAU MAKHLUK

Buah-buahan sebagai makanan ini tidak dihadkan untuk kasta, atau rakyat tertentu tetapi juga untuk musafir atau orang yang merantau. Sri Jayanasa malah membina ‘bendungan-bendungan dan kolam-kolamnya’ sebagai ‘amal yang dapat digunakan untuk kebaikan semua makhluk, yang dapat pindah tempat dan yang tidak, dan bagi mereka menjadi jalan terbaik untuk mendapatkan kebahagiaan jika mereka lapar waktu beristirehat atau dalam perjalanan, semoga mereka menemukan makanan serta air minum. Semoga semua kebun yang mereka buka menjadi berlebih (penennya)’.

Hakikat bahawa Srivijaya menyediakan hak untuk mendapatkan makanan ini kepada semua makhluk termasuk rakyatnya, orang luar dan para hamba, menunjukkan tunjang-tunjang asas UDHR 1948 iaitu persaudaraan, kebebasan, kesetaraan dan kehormatan dilindungi dan diberi nilai yang tertentu.

Setanding dengan Barat, umat Melayu boleh berbangga bahawa gagasan hak asasi manusia telah, paling tidak, pernah ditemukan seawal 683 Masehi. Hal ini cukup menunjukkan umat Melayu tidak kalah berbanding bangsa besar lain, dan lebih penting adalah bangsa yang cukup bertamadun, berkemajuan dari segi cara fikir dan menampung budaya yang luar biasa. 

MENGENAI PENULIS:
Dr Mohd Faizal Musa atau lebih dikenali dengan nama pena Faisal Tehrani, berusia 42 tahun, ialah seorang pengkaji, pemikir, novelis terkenal dan pejuang hak asasi manusia dari Malaysia. Beliau kini bertugas sebagai zamil penyelidik di Institut Alam dan Tamadun Melayu.  

- BERITAMediacorp/ru

Komen Anda?

Top