Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Vivy Yusof lebarkan sayap dUCk dengan rangkaian produk kosmetik

Selepas tujuh tahun menerokai bidang fesyen, usahawan Vivy Yusof kini melebarkan lagi sayapnya dengan menceburi perniagaan kosmetik.

Anggaran Waktu Membaca:
Vivy Yusof lebarkan sayap dUCk dengan rangkaian produk kosmetik

Vivy Yusof. (Gambar: Vivy Yusof/Instagram)

Diterbitkan : 11 Sep 2017 12:09AM Dikemas Kini : 11 Sep 2017 12:12AM

KUALA LUMPUR: Selepas tujuh tahun menerokai bidang fesyen, usahawan Vivy Yusof kini melebarkan lagi sayapnya dengan menceburi perniagaan kosmetik.

Menerusi syarikat Kumpulan dUCk, rangkaian produk kecantikannya di bawah jenama dUCk Cosmetics, menampilkan koleksi gincu, pengilat bibir, krim bibir dan palet pembayang mata, lapor Astro AWANI.

Sebagai pengasas bersama syarikat, Vivy berkata, walaupun jenama itu lebih terkenal dengan jualan tudung, beliau mahu dUCk dikaitkan sebagai jenama 'gaya hidup'.

"Saya tidak mahu mengehadkan dUCk kepada segmen tudung sahaja, tetapi segmen lain seperti 'home and living' dan 'travel'.

"Saya yakin dUCk ada potensi untuk menjadi jenama bertaraf antarabangsa," kata Vivy kepada Astro AWANI.

SUDAH BANGUNKAN PRODUK KOSMETIK 1.5 TAHUN LALU

Jelasnya, proses membangunkan produk itu sudah bermula sejak satu setengah tahun yang lalu.

"Ia merupakan proses yang lama bagi kami kerana ia melibatkan penyelidikan dan pembangunan.

"Saya juga tahu persaingan dalam industri kosmetik juga sangat tinggi, maka saya amat menekankan pembungkusan yang baik," katanya.

Selain itu, katanya bahan-bahan yang digunakan adalah bersih dan selamat dan menepati tahap piawaian tertinggi Kesatuan Eropah (EU).

DAPATKAN SIJIK HALAL BAGI KOSMETIK

"Semua bahan yang kami gunakan adalah halal, dan kini kami dalam proses untuk mendapatkan sijil halal.

"Kami harap apabila koleksi kedua dilancarkan, kami sudah mendapat sijil itu," katanya.

Kedai dUCk Cosmetics yang dibuka pada 2 September lalu dikatakan sudah menyaksikan sambutan memberangsangkan terutamanya di kalangan peminat setia jenama dUCk.

dUCk Cosmetics - KEDAI KOSMETIK TEMPATAN PERTAMA DI PAVILION

Ia juga merupakan kedai kosmetik tempatan yang pertama dibuka di sebuah pusat beli belah eksklusif, Pavilion Kuala Lumpur, yang terkenal dengan rangkaian outlet berjenama antarabangsa.

"Saya banyak mendengar orang mempersoalkan mutu jenama tempatan, dan berkata mereka tidak pernah melihat jenama tempatan ini di pusat beli belah.

"Jadi saya mahu buktikan bahawa jenama tempatan juga setanding dengan jenama antarabangsa.

"Saya sangat bersyukur dengan pihak Pavilion kerana memberi kepercayaan kepada dUCk Cosmetics membuka kedai di sini dan saya harap ia memberi inspirasi kepada usahawan lain," Vivy memberitahu Astro AWANI.

Tambahnya, dUCk Cosmetics juga dalam rancangan untuk terus mengembangkan lagi perniagaannya.

"Kami mahu mengeluarkan bronzer, pemerah pipi dan penyerlah, termasuk produk mata yang lain. Saya juga berminat untuk menerokai segmen kesihatan kulit, tetapi itu masih dalam proses lagi.

"Sekarang kami mahu fokus terhadap produk kosmetik," katanya dalam laporan tersebut.

Beliau yakin jika sebelum ini dUCk hanya menarik perhatian mereka yang berhijab, kini ia mampu menarik pelanggan dari pelbagai latar belakang.

Menerusi jenama dUCk, Vivy berharap ia mampu menerbitkan kebanggaan di kalangan pengguna dan peminat dUCk kerana ia adalah produk tempatan. 

Sumber : Agensi berita/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan