Images
  • singapore
    Gambar fail para pekerja di kawasan Raffles Place. (Gambar: AFP/Roslan Rahman)

Vertex milik Temasek berjaya kumpul S$286 juta; pertingkat pelaburan Asia Tenggara

SINGAPURA : Vertex Ventures, cabang modal usaha sama Temasek Holdings Pte baru selesai mengumpul dana terbesarnya bagi perjanjian teknologi di Asia Tenggara dan India.

Firma yang berpangkalan di Singapura itu berjaya mengumpul dana ketiga bagi Asia Tenggara bernilai AS$210 juta (S$287 juta), satu paras rekod bagi rantau ini yang melebihi sasarannya iaitu AS$150 juta (S$205 juta).

Dana itu akan digunakan bagi pelaburan awal, dengan tujuan untuk mengulangi kejayaannya semasa menjalin kerjasama dengan Grab. Vertex merupakan penyokong institusi pertama syarikat tersebut yang kini menjadi salah sebuah syarikat pemula paling tinggi nilai di rantau ini.

Vertex adalah firma modal usaha sama yang terunggul di Asia Tenggara, kata Chua Joo Hock, rakan pengurusan Vertex Southeast Asia dan India, dengan pejabat-pejabat di Singapura, Bangalore dan Jakarta. "Kami akan mengukuhkan kedudukan kami di bandar-bandar Asia Tenggara yang lain untuk memanfaatkan peluang-peluang tempatan yang lebih baik," katanya.

Vertex Ventures SEA III merupakan kali pertama firma itu berhasil mengumpul dana daripada pelabur-pelabur luar negara seperti Kasikornbank Pcl di Thailand dan Cathay Life Insurance Co di Taiwan. Vertex memiliki dua dana yang tertumpu kepada Asia Tenggara sebelum ini dan dibiayai sepenuhnya oleh firma pelaburan pemerintah Singapura, Temasek.

Sesetengah pelaburan Vertex baru-baru ini termasuk InstaReM, yang menyediakan khidmat bayaran rentas sempadan untuk lebih 40 negara; Turnkey Lender, sebuah syarikat perisian bagi penilaian kredit dan pengurusan pinjaman dan Synup, sebuah syarikat pemula bagi pemasaran digital di India.

Firma itu merancang untuk meneruskan strategi membuat pelaburan awal dalam syarikat-syarikat teknologi yang baru bertapak dalam bidang teknologi perusahaan, teknologi kewangan dan internet pengguna.
 

- BLOOMBERG/SM/sm

Komen Anda?

Top