Images
  • quantum solar
    Gambar Quantum Solar Malaysia. (Gambar: Facebook).

Sukuk SRI hijau terbesar dunia bernilai RM1 bilion diterbitkan Quantum Solar Park M'sia

KUALA LUMPUR: Quantum Solar Park Malaysia Sdn Bhd (QSPM), menerusi syarikat milik penuhnya, Quantum Solar Park Semenanjung Sdn Bhd, menerbitkan sukuk Pelaburan Kemampanan dan Tanggungjawab (SRI) hijau terbesar dunia bernilai RM1 bilion (S$320 juta).

QSPM dalam satu kenyataan hari ini (6 Okt), menyatakan Sukuk SRI hijau itu diterbitkan untuk membiayai portfolio tiga projek jana kuasa solar fotovoltaik solar berskala besar di Gurun (Kedah), Jasin (Melaka) dan Merchang (Terengganu), yang bernilai kira-kira RM1.25 bilion (S$400 juta), di kawasan seluas sekitar 243 hektar.

“Projek itu, apabila siap kelak, dengan kapasiti berjumlah 150 MWac atau 197 MWp, akan menjadi yang terbesar seumpamanya di rantau Asia Tenggara.

“Projek solar itu dijangka menjana dan menyalurkan sehingga 282,000 MWh tenaga elektrik setahun kepada Tenaga Nasional Bhd menerusi Perjanjian Pembelian Tenaga selama 21 tahun,” kata syarikat itu. 

QSPM ialah konsortium tiga anggota yang diterajui oleh ITRAMAS Corp Sdn Bhd.

Lee Choo Boo, Pengarah Eksekutif QSPM dan Pengarah Urusan Kumpulan syarikat peneraju konsortium ITRAMAS, berkata pencapaian itu menandakan satu titik perubahan kepada industri tenaga boleh baharu negara khususnya penjanaan kuasa fotovoltaik solar.  

Beliau berkata projek itu dijangka mewujudkan sehingga 3,000 pekerjaan dalam negara dan mengurangkan pelepasan karbon sehingga 210,000 tan setahun.

Ketiga-tiga jana kuasa itu, apabila siap kelak, akan menyalurkan tenaga elektrik kepada  93,000 isi rumah, katanya.

CIMB Investment Bank Bhd dan Maybank Investment Bank Bhd adalah Pengatur Utama Bersama dan Pengurus Utama Bersama bagi penerbitan sukuk ini. 

Malaysian Rating Corp Bhd telah mengekalkan penarafan ‘AA-IS’ dengan prospek stabil bagi Sukuk SRI hijau itu.

- BERNAMA/FA/fa

Komen Anda?

Top