Images
  • fadhilah sabrina
    Cik Fadhilah Fauzi (kiri) dan Cik Nur Sabrina Adnan (kanan).

Siapa kata mustahil niaga Spa dan Kecantikan dari rumah flat HDB?

BERITAMediacorp: Dua wanita ini adalah usahawan spa dan kecantikan yang lain daripada yang lain. Mereka sebenarnya tiada kedai atau salon.

Sebaliknya, khidmat spa dan kecantikan yang ditawarkan kedua-dua wanita itu, terletak di dalam rumah flat HDB masing-masing, yang dihias seperti spa profesional yang terdapat di pusat-pusat beli belah, salon atau ruang-ruang komersil lain.

Bagaimanapun, selain menawarkan khidmat tersebut di flat mereka, khidmat itu juga dibawa ke rumah pelanggan jika ada permintaan. Malah salah seorang usahawan spa dan kecantikan yang kami maksudkan ini memberi khidmat kepada 200 pelanggan sebulan!

BERITAMediacorp bertemu dengan kedua-dua usahawan dan terapis kecantikan tersebut - Cik Fadhilah Fauzi dan Cik Nur Sabrina Adnan - untuk menjenguk lebih dekat lagi perniagaan mereka.

NUR SABRINA – TIADA SALON, TAPI RATUSAN PELANGGAN SEBULAN

Istilah ‘spa bergerak’ mungin agak janggal bagi sebahagian daripada kita, namun bagi Cik Nur Sabrina, perniagaan yang ditubuhkannya sejak tahun 2012 ini, mendapat banyak permintaan dari para pelanggan wanitanya.

Selain menyediakan perkhidmatan kecantikan di rumahnya di Sengkang, Cik Nur Sabrina juga akan datang ke rumah pelanggannya. Ini sudah beliau lakukan sejak 5 tahun yang lalu. Hingga kini, Cik Nur Sabrina menerima tempahan sehingga 200 pelanggan setiap bulan!


(Gambar: Nur Sabrina Adnan)

Apa yang unik, beliau bukan hanya memberikan perkhidmatan rawatan muka, malah turut memperkenalkan perkhidmatan waxing atau melilin untuk menghilang bulu-bulu di seluruh badan; termasuk muka, kaki, ketiak dan juga di bahagian sulit.

Menurut Cik Nur Sabrina, 32 tahun, walaupun pada mulanya, ada pelanggan yang agak janggal untuk melakukan perkhidmatan waxing, namun setelah merasai manfaatnya, ramai yang lebih terbuka untuk mencuba.

Mentelah lagi, khidmat yang ditawarkannya memberikan privasi. Iaitu dilakukan di rumah pelanggan sendiri.

“Pada awalnya, memang ada pelanggan yang agak ‘malu’ untuk mendapatkan perkhidmatan waxing di salon kecantikan. Namun dengan adanya pilihan untuk melakukan waxing dan mendapatkan layanan yang selesa dan privasi di rumah mereka sendiri, permintaan terus meningkat dari masa ke semasa,” ujar Cik Nur Sabrina yang memulakan spa bernama ‘WaxiNator MobileWaxing Sabrina’ melalui media sosial.

TREND BARU: MAKIN RAMAI WAITA HAMIL DAPATKAN ‘WAXING’

Yang pasti, khidmat di rumah, atau rumah ke rumah ini, tidak mengenepikan aspek kebersihan sebagaimana yang diamalkan di salon-salon.

Sebelum mengendalikan rawatan waxing, Cik Nur Sabrina akan memastikan setiap bahagian tubuh dibersihkan terlebih dahulu dengan menyapukan krim antiseptic. Ini demi memastikan keselamatan, kebersihan dan keselesaan pelanggan menjadi keutamaannya.


(Gambar: Nur Sabrina Adnan)

Wanita yang mempunyai pengalaman lebih 10 tahun di dalam bidang kecantikan ini juga memberitahu BERITAMediacorp bahawa para pelanggannya juga termasuklah wanita bukan Melayu dan wanita mengandung.

“Saya juga melihat trend peningkatan wanita hamil untuk mendapatkan perkhidmatan waxing untuk diri mereka. Saya rasa, ini adalah satu trend yang memberangsangakan kerana kebersihan diri perlu dijaga, untuk semua peringkat usia dan situasi. Saya juga mempunyai pelanggan termuda berusia 13 tahun yang menggunakan perkhidmatan saya,” kongsi beliau.

Cik Nur Sabrina juga menyatakan minat yang mendalam terhadap bidang kecantikan, dan amat gembira jika dapat memberikan yang terbaik untuk para pelanggannya.

“Sejak dari dulu lagi, saya memang meminati dunia kecantikan dan spa. Kita hidup hanya sekali, jadi saya ingin melakukan sesuatu yang saya minati, agar saya tidak merasa bosan melakukannya sepanjang waktu. Ramai juga pelanggan-pelanggan setia yang saya sudah anggap seperti teman saya sendiri. Mereka jugalah antara faktor utama saya masih kekal melakukan bisnes spa mobil dan kecantikan, hingga ke saat ini,” kongsi Cik Nur Sabrina lagi.

FADHILAH ADNAN – DARI JURURAWAT KE ‘ROYAL’S HOME SPA’

Bagi Cik Fadhilah Adnan, 28 tahun, kecantikan luaran dan dalaman adalah sama penting. Kesejahteraan mental boleh memberikan kesan atau impak pada diri seseorang.

Justeru itu, mantan jururawat ini mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan memulakan niaga spa beliau, ‘The Royal’s Home Spa’, di rumah flat maisonetnya di Tampines, lebih setahun yang lalu.

Siapa kata spa di rumah flat tidak boleh untung atau kurang menarik? Cik Fadhilah memberitahu BERITAMediacorp, beliau menerima sehingga 40 pelanggan setiap bulan di kediamannya.


(Gambar: Fadhilah Fauzi)

Spa yang berkonsepkan penjagaan dan kesejahteraan keseluruhan diri itu – iaitu fizikal dan mental - menekankan peri pentingnya untuk menjaga kesihatan dan kecantikan diri sambil merehatkan minda – dengan menawarkan perkhidmatan seperti rawatan muka dan mengurut bagi seluruh badan.

“Apa yang kita ketahui, kesibukan di tempat kerja atau di rumah, masalah peribadi yang ditanggung, boleh mengakibatkan tekanan atau stres jika ianya tidak dibendung dengan baik, dan mungkin boleh juga mengakibatkan penyakit mental bagi seseorang.

“Senaman adalah salah satu cara yang terbaik bagi melegakan tekanan. Selain itu, urutan badan juga mampu untuk menghilangkan keregangan otot dan boleh membantu mengusir toksin yang berlebihan di dalam badan, selain dapat meningkatkan tahap kesihatan kita,” cerita Cik Fadhilah tentang mengapa ini suatu perniagaan kesihatan.

TUJUAN UTAMA MULAKAN PERNIAGAAN SPA

Semestinya, pengetahuan dan penjelasan beliau tentang ‘spa dan kecantikan’ tak kalah berbanding khidmat terapis yang diberikan di salon-salon khusus.


(Gambar: Fadhilah Fauzi)

Cik Fadhilah menambah, tujuan utama beliau memulakan bisnes spa ini untuk menekankan betapa pentingnya penjagaan diri untuk kaum wanita.

“Bagi kaum Hawa, kita perlu terus menyayangi dan menghormati diri kita sendiri, dan dari situ, secara automatis, keyakinan diri pasti meningkat, dan segala tekanan dan permasalahan dapat diatasi dengan sebaiknya,”ujar beliau.

Buat anda di luar sana, Cik Fadhilah memberikan nasihat ini sebagai antara langkah untuk menjaga keseimbangan tubuh. Sertakan sayuran, memakan buah-buahan beri seperti strawberi, beri biru dan hitam, kerana kandungan aktioksidan yang tinggi, kata beliau.

Minum air putih sebanyak 2 liter sehari adalah satu kemestian saran beliau lagi, kerana ia menghalang dehidrasi dan baik untuk kesihatan tubuh badan kita.   

- BERITAMediacorp/nk

Komen Anda?

Top