Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

SIA muktamadkan perjanjian tempah Boeing bernilai S$18.8 bilion minggu depan

SIA melabur dalam pesawat yang lebih moden dan jimat minyak meskipun ia sedang melakukan semakan semula strategi yang direka untuk menjimatkan kos di tengah-tengah persaingan sengit.

Anggaran Waktu Membaca:
SIA muktamadkan perjanjian tempah Boeing bernilai S$18.8 bilion minggu depan

Seorang lelaki di kaunter khidmat pelanggan Singapore Airlines Lapangan Terbang Changi. (Gambar: AFP/Roslan Rahman)

Diterbitkan : 20 Oct 2017 04:54PM Dikemas Kini : 20 Oct 2017 04:56PM

SINGAPURA: Singapore Airlines (SIA) hari ini (20 Okt) menyatakan ia akan memuktamadkan tempahan bagi 39 pesawat Boeing bernilai AS$13.8 bilion (S$18.8 bilion) pada harga senarai semasa Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengadakan lawatan ke Washington D.C minggu depan.

Pada bulan Februari, SIA menyatakan ia akan menempah 20 pesawat 777-9 dan 19 pesawat 787-10 sebagai sebahagian daripada rancangan untuk memodenkan pesawat-pesawatnya dalam tempoh sedekad akan datang, namun perjanjian itu belum dimuktamadkan dan diletakkan dalam buku tempahan Boeing.

Perjanjian itu dilihat sebagai tamparan hebat kepada Airbus sedang ia cuba menyaingi Boeing dalam pasaran pesawat besar.

Airbus ketinggalan di belakang Boeing dalam tempahan bersih pada sembilan bulan pertama tahun ini, dengan mencatat 271 tempahan pada hujung bulan September berbanding 498 yang diraih syarikat pesaingnya dari Amerika Syarikat.

PM Lee memberitahu CNBC dalam satu wawancara semalam (19 Okt), Singapura berharap untuk menandatangani perjanjian dengan Boeing untuk membeli lebih banyak pesawat bagi Singapore Airlines semasa beliau mengadakan lawatan kerja ke Amerika Syarikat lusa (22 Okt) hingga 26 Oktober nanti.

Lebih banyak perincian mengenai tempahan itu akan didedahkan setelah majlis menandatangani perjanjian diadakan di Washington, menurut seorang jurucakap SIA.

Boeing pula enggan memberikan sebarang komen.

SIA melabur dalam pesawat yang lebih moden dan jimat minyak meskipun ia sedang melakukan semakan semula strategi yang direka untuk menjimatkan kos di tengah-tengah persaingan sengit dari syarikat penerbangan dari China dan Timur Tengah.

Meskipun tempahan Boeing itu bernilai AS$13.8 bilion pada harga senarai, syarikat penerbangan lazimnya akan diberikan diskaun bagi tempahan pesawat.

Pada bulan Februari lalu, syarikat kewangan Jefferies, menganggarkan nilai perjanjian itu sebagai hampir kepada AS$6.5 bilion atau sekitar satu daripada sepuluh jumlah tahunan syarikat pesawat Amerika Syarikat itu.

SIA merupakan pelanggan pertama yang melancarkan pesawat 787-10, versi lebih besar Dreamliner, setelah memenuhi 30 tempahan tambahan daripada 19 yang diumumkan pada bulan Februari.

Boeing selesai membina pesawat 787-10 yang pertama buat SIA awal bulan ini, sebelum tarikh penghantarannya ke Singapura pada separuh pertama 2018.

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan