Images
  • manufacturing
    Gambar fail sebuah kemudahan pengilangan di Singapura. (Gambar: AFP/Roslan Rahman)

Sektor pengilangan S'pura berkembang 11 bulan berturut-turut

SINGAPURA: Sektor pengilangan Singapura berkembang buat 11 bulan berturut-turut pada Julai, menurut data yang didedahkan Institut Pembelian dan Pengurusan Bahan Singapura (SIPMM) hari ini (2 Ogos).

Indeks Pengurus Pembelian (PMI) - satu penunjuk awal kegiatan pengilangan - mencatat 51.0 mata, naik 0.1 mata berbanding bulan Jun.

Bacaan melebihi 50 bermakna ekonomi pengilangan berkembang sementara bacaan bawah 50 menunjukkan pengucupan.

SIPMM menyatakan kenaikan kegiatan pengilangan itu dipacu oleh tempahan baru, eksport dan hasil pengeluaran kilang yang bertambah baik.

Bagaimanapun, bacaan berkenaan juga terjejas dengan kadar inventori yang rendah dan pengucupan dalam pengambilan kerja.

"Bacaan PMI terbaru menunjukkan pertumbuhan sektor pengilangan boleh dikekalkan bagi tahun ini," tambah SIPMM.

Satu indeks sepadan bagi sektor elektronik juga mencatat pengembangan, dengan PMI bagi Julai adalah 52.2, naik 0.1 mata berbanding bulan Jun.

Dicatat sebagai pengembangan berterusan selama 12 bulan berturut-turut sektor berkenaan, SIPMM menyatakan bacaan lebih tinggi itu disebabkan tambahan pada tempahan elektronik yang baru eksport, hasil pengeluaran kilang dan kadar inventori.

Pakar ekonomi ANZ Ng Weiwen berkata beliau menjangka pertumbuhan dalam sektor itu untuk kekal kukuh sepanjang tahun ini.

- CNA/RU/ru

Komen Anda?

Top