Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Saudi Aramco akan labur AS$7 bilion dalam kilang penapisan minyak Petronas

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan hari ini (27 Feb) bahawa syarikat minyak negara Arab Saudi akan melaburkan AS$7 bilion (S$9.8 bilion) dalam sebuah kilang penapisan minyak yang akan ditubuhkan oleh syarikat minyak Malaysia, Petroliam Nasional Bhd (Petronas).

Anggaran Waktu Membaca:
Saudi Aramco akan labur AS$7 bilion dalam kilang penapisan minyak Petronas

PM Najib Razak mengumumkan syarikat Arab Saudi akan melabur AS$7 bilion dalam kilang penapisan minyak yang akan ditubuhkan Petronas. (Gambar: Melissa Goh)

Diterbitkan : 27 Feb 2017 06:22PM Dikemas Kini : 27 Feb 2017 10:37PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan hari ini (27 Feb) bahawa syarikat minyak negara Arab Saudi akan melaburkan AS$7 bilion (S$9.8 bilion) dalam sebuah kilang penapisan minyak yang akan ditubuhkan oleh syarikat minyak Malaysia, Petroliam Nasional Bhd (Petronas).

PM Najib berkata keputusan itu dibuat sebelum tengah hari tadi, setelah perbincangan diadakan antara para eksekutif kanan dari Petronas dan Saudi Aramco untuk membangunkan kilang itu, yang merupakan sebahagian daripada projek Pembangunan Bersepadu Penapisan dan Petrokimia (RAPID) bernilai AS$27 bilion (S$38 bilion) di Pengerang di selatan Johor.

Perjanjian itu, yang dijadualkan ditandatangani pada petang esok (28 Feb), akan menjadikan Aramco pelabur individu terbesar dalam RAPID di Johor.

Projek RAPID itu, yang dijangka mula beroperasi pada suku pertama 2019, akan termasuk kilang penapisan minyak yang mempu mengendalikan 300,000 tong sehari, serta kompleks petrokimia dengan kapasiti penghasilan 7.7 juta tan metrik.

PM Najib mengumumkan demikian pada hari kedua lawatan negara empat hari ke Malaysia oleh Raja Saudi, Raja Salman. Hubungan Malaysia dengan Arab Saudi kini berada dalam "kemuncaknya", kata PM Najib yang juga berharap agar pelaburan itu tidak akan dipolitikkan mana-mana pihak.

"Apabila kami ke China, kami dituduh menjual kedaulatan kami. Saya tertanya-tanya apa yang akan mereka katakan sekarang memandangkan Arab Saudi sudah membuat pelaburan di Malaysia. Adakah mereka akan katakan kami jual kedaulatan kami ke Arab Saudi?" kata PM Najib.

Mengulas laporan-laporan bahawa Aramco merancang untuk menyenaraikan aset-aset minyaknya awal tahun depan dan sedang mencari para pelabur dari rantau ini, PM Najib berkata isu itu tidak dibincangkan semasa pertemuan dengan Raja Salman.

IPO itu dikatakan adalah yang terbesar sejauh ini sedang Arab Saudi mendedahkan rancangan untuk merubah ekonominya, agar kurang bergantung kepada minyak.

Sebagai sebahagian daripada mesyuarat hari ini, satu siri Memorandum Kesefahaman (MOU) dimeterai antara kedua-dua negara untuk mempertingkatkan perdagangan dan pelaburan dalam jagaan kesihatan, pendidikan, binaan dan industri halal.

Pada 2016, jumlah perdagangan antara kedua-dua negara mencecah RM14 bilion (S$4.43 bilion), peningkatan sebanyak 28 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Malaysia juga mempunyai kehadiran kukuh dalam sektor binaan Arab Saudi - 19 kontrak bernilai RM18.5 bilion diberikan kepada syarikat-syarikat Malaysia.

Sumber : Reuters/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan