Images
  • aramco petronas
    Aramco akan membeli 50 peratus ekuiti dalam aset kraker dan penapisan di bawah projek RAPID Petronas. (Gambar: Melissa Goh) 

Saudi Aramco akan beli 50% pegangan dalam aset RAPID Petronas

KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Bhd (Petronas) menandatangani perjanjian pembelian saham dengan Saudi Arabian Oil Company (Saudi Aramco).

Ini sekaligus membolehkan syarikat Arab Saudi itu membeli 50 peratus ekuiti dalam aset kraker dan penapisan di bawah Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata perkongsian itu memberi manfaat strategik kepada kedua-dua syarikat.

"Perkongsian itu membawa kedua-dua organisasi tersebut bersama-sama reputasi kukuh, kaya dengan pengalaman operasi, dan bukti pencapaian dalam pembangunan projek mega, serta memiliki rangkaian komersial dalam pasaran berbeza, di peringkat dunia," katanya kepada pemberita selepas mewakili Petronas menandatangani perjanjian bernilai RM31 bilion (S$9.7 bilion) itu hari ini (28 Feb).

Saudi Aramco diwakili Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Amin H Nasser.

Majlis tersebut disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud.

Datuk Wan Zulkiflee berkata, sebaik sahaja transaksi itu selesai, tertakluk kepada kelulusan pengawalseliaan dan penyelesaian perjanjian berkaitan lain, kedua-dua syarikat akan memegang pemilikan seimbang dalam teroka dan aset projek RAPID dalam Kompleks Bersepadu Pengerang.

Beliau berkata, Saudi Aramco juga akan membekal sehingga 70 peratus keperluan bekalan mentah kepada penapisan itu manakala gas asli, tenaga dan kemudahan lain dibekalkan oleh Petronas.

"Kini, kami mempunyai jaminan bekalan mentah jangka panjang memandangkan Arab Saudi merupakan pengeksport terbesar dari segi minyak mentah," katanya.

Datuk Wan Zulkiflee berkata Petronas dijangka dapat memenuhi semua syarat awal perjanjian itu dalam tempoh setahun selepas ia ditandatangani.

Projek RAPID merupakan sebahagian daripada pembangunan Kompleks Bersepadu Pengerang di Johor yang dilaksanakan Petronas dan akan menjadi hab perindustrian petrokimia dan minyak hiliran serantau.

RAPID mempunyai kapasiti penapisan sehingga 300,000 tong minyak mentah sehari, serta pangkalan produk petroleum ditapis, termasuk gasolin dan diesel yang menepati spesifikasi bahan api Euro 5.

Ia juga boleh menghasilkan bahan mentah untuk kompleks petrokimia bersepadunya, dengan mengeluarkan produk 3.5 juta tan setahun.

- Bernama/nd

Komen Anda?

Top
>