Images
  • Mamanda 1
    (Dari kiri) Ketua Cef Mamanda,Yusnita Yusoff, CEO Mamanda, Masmunah Abdullah, Pengarah Mamanda Group, Zulkarnine Hafiz, Cef Eksekutif Kumpulan Mamanda, Dato’ Fazley Yaakob.

Restoran Mamanda buka cawangan di TPC KL, Ogos ini, berkonsepkan ala istana

BERITAMediacorp: Tidak lama lagi, penduduk Kuala Lumpur akan dapat menjamu makanan tradisional Melayu ala “fine-dining” di cawangan terbaru restoran Mamanda di Bukit Kiara, Kuala Lumpur.

Projek yang menelan belanja RM 1 juta ($324,000) itu direalisasikan dengan kerjasama rakan kongsi bisnes terbaru Mamanda iaitu Dato’ Fazley Yaakob.

Bahkan, juara Masterchef Selebriti Malaysia itu juga kini menyandang jawatan selaku Cef Eksekutif Kumpulan bagi kedua-dua cawangan restoran Mamanda.

Semasa ditemui di majlis iftar bersama media, Dato’ Fazley juga sempat memperkenalkan hidangan eksklusif terbaru Mamanda.

“Saya tampilkan menu sulung secara eksklusif iaitu Dulang Minang Seafood. Ia berkonsep setiap jenis makanan laut yang saya masak dengan kuah lemak cili api yang akan dituang bersama,” kata Dato’ Fazley.

Istimewanya, hidangan ini pernah memenangi beberapa anugerah hidangan terbaik di beberapa festival makanan antarabangsa termasuk Festival Gastronomi Antarabangsa Malaysia.

Sejak dibuka pada 2012, restoran Mamanda Singapura yang terletak bersebelahan Taman Warisan Melayu di Sultan Gate, menghidangkan masakan Melayu tradisional ala diraja dengan suasana bertemakan Istana Melayu.

Sesuai dengan cogan katanya, “Menjunjung Santapan Warisan”, Pengarah Mamanda Group, Zulkarnine Hafiz berkata usaha terbaru syarikatnya itu adalah untuk memenuhi permintaan hidangan Melayu ala “fine-dining” bagi penduduk dan pengunjung di ibu kota Malaysia itu.

Memandangkan Malaysia merupakan tempat tujuan bagi makanan-makanan tradisional Melayu, Mamanda Group melihat ini sebagi satu kesempatan untuk memperkenalkan dan memartabatkan masakan Melayu dari segi kesegaran bahan dan cara hidangan kepada pelancong asing dan golongan korporat.

Terletak kira-kira 8 km atau 30 minit waktu perjalanan menaiki kereta dari kawasan bandar, cawangan terbaru restoran Mamanda akan dibuka di lokasi mewah iaitu di Tournament Players Club (TPC) Kuala Lumpur.


Encik Zulkarnine memberitahu, “Kami memilih TPC di Bukit Kiara apabila kami sudah buat penyelidikan di mana kami dapati banyak tempat di situ di mana ramai ahli korporat berada di sekitarnya itu. Jadi inilah khalayak sasaran kami untuk memperkenalkan Mamanda di Kuala Lumpur”

Bukan sahaja jenis masakan sahaja yang dekat di hati Dato’ Fazley, lokasi cawangan restoran baru Mamanda ini juga sebenarnya di belakang rumah beliau.

TPC Kuala Lumpur pernah beberapa kali dinobatkan sebagai Kelab Golf Terbaik di Malaysia dan menjadi tuan rumah bagi beberapa Kejuaraan Golf Antarabangsa termasuk CIMB Classic dan Sime Darby LPGA.  

- BERITAMediacorp/nk

Komen Anda?

Top