Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ramalan pertumbuhan ekonomi S'pura dinaikkan; suku ketiga tumbuh kukuh 5.2%

Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) hari ini (23 Nov) menyemak semula ramalan ekonomi Singapura kepada 3 hingga 3.5 peratus.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 23 Nov 2017 10:26AM Dikemas Kini : 23 Nov 2017 10:21PM

SINGAPURA: Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) hari ini (23 Nov) menyemak semula ramalan ekonomi Singapura kepada 3 hingga 3.5 peratus.

Ia lebih tinggi dari ramalan sebelum ini sebanyak 2-3 peratus.

Ramalan pertumbuhan lebih tinggi itu diumumkan dalam keluaran terkini Tinjauan Ekonomi Singapura, yang menunjukkan ekonomi tumbuh kukuh 5.2 peratus dalam tiga bulan berakhir September lalu, berbanding tahun lalu.

Ia merupakan pertumbuhan suku tahunan paling kukuh sejak 2013 dan semakan lebih tinggi berbanding ramalan pemerintah sebelumnya iaitu 4.6 peratus.

Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) pada suku kedua tumbuh 2.9 peratus.

Berdasarkan penyesuaian musiman suku ke suku tahunan, GDP tumbuh 8.8 peratus pada suku ketiga, juga mengatasi ramalan rasmi 6.3 peratus. Perangkaan itu juga jauh lebih tinggi berbanding pertumbuhan 2.2 peratus bagi tempoh April hingga Jun.

MTI menyatakan GDP lebih kukuh pada suku ketiga itu didorong oleh pertumbuhan sektor berorientasi luaran seperi sektor pengilangan, kewangan & insurans, perdagangan borong dan pengangkutan serta sektor penyimpanan.

Pertumbuhan dalam sektor pengilangan melonjak sebanyak 18.4 peratus dari tahun ke tahun, berbanding 8.4 peratus pada suku sebelumnya. Semua kelompok dalam sektor itu mencatat pertumbuhan kecuali kelompok kejuruteraan pengangkutan.

Dengan mengambil kira prestasi "ekonomi yang lebih baik daripada yang dijangkakan" pada suku ketiga, dipacu oleh permintaan luar yang lebih kukuh, pertumbuhan GDP bagi tiga suku pertama tahun ini ialah 3.5 peratus, demikian menurut MTI.

Bagi sepanjang tahun ini, ekonomi dijangka "sederhana tetapi kekal kukuh". Sektor berorientasi luaran dijangka terus berkembang, walaupun pada kadar yang lebih sederhana, dan mendorong pertumbuhan sepanjang akhir tahun.

Sektor domestik seperti kesihatan, pendidikan dan khidmat sosial juga dijangka kekal kukuh.

Dalam ucapannya di konvensyen PAP pada Ahad lalu (26 Nov), Perdana Menteri Lee Hsien Loong, berkata ekonomi Singapura mungkin tumbuh lebih 3 peratus tahun ini, melebihi ramalan sebelumnya antara 2 hingga 3 peratus.

MTI: EKONOMI 2018 DIJANGKA TUMBUH ANTARA 1.5-3.5%

MTI meramalkan ekonomi Singapura bertambah baik tahun depan didorong pertumbuhan lebih kukuh di Amerika Syarikat dan beberapa pasaran baru serta ekonomi membangun.

Bagaimanapun, pertumbuhan bagi beberapa pasaran utama Singapura seperti China dan Kesatuan Eropah (EU), dijangka melemah pada tahun akan datang.

Singapura berdepan dengan risiko kerana ketidakpastian dasar global yang tinggi, dasar kewangan AS yang lebih ketat dan ketegangan geopolitik di Korea Utara.

Dengan keadaan luaran ini, MTI menjangkakan pertumbuhan "sederhana pada tahun 2018 berbanding 2017 tetapi kekal kukuh".

Oleh itu, tahun depan, MTI meramalkan ekonomi Singapura tumbuh 1.5 hingga 3.5 peratus. 

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan