Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

RAM sahkan penarafan global/asean S'pura pada aaa(pi)/stabil

RAM Ratings Services Bhd (RAM) mengesahkan penarafan negara Singapura berskala global dan ASEAN masing-masing pada gAAA (pi)/stabil dan seaAAA (pi) / stabil.

Anggaran Waktu Membaca:
RAM sahkan penarafan global/asean S'pura pada aaa(pi)/stabil

(Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 21 Sep 2017 10:48PM Dikemas Kini : 21 Sep 2017 10:51PM

KUALA LUMPUR: RAM Ratings Services Bhd (RAM) mengesahkan penarafan negara Singapura berskala global dan ASEAN masing-masing pada gAAA (pi)/stabil dan seaAAA (pi) / stabil, hasil daripada kedudukan kukuh luaran negara, profil kewangan yang mantap dan rangka kerja institusi dan asas yang kukuh, yang menyokong dan memacu daya tahannya.

Dalam satu kenyataan hari ini, agensi penarafan itu berkata kedudukan positif ini mengimbangi pendedahan ekonomi Singapura yang sangat terbuka dan kecil kepada keadaan luaran, dan cabaran struktur yang berkaitan yang membabitkan tenaga kerja dan jumlah penduduk yang semakin tua.

"Kami menjangkakan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencatatkan antara 2.5 peratus dan 3.0 peratus tahun ini, didorong oleh perdagangan luar yang kukuh, dengan trend eksport menunjukkan tanda-tanda pemulihan.

"Ini membantu mengimbangi kesukaran yang dilihat dalam sektor domestik, dengan pertumbuhan gaji yang perlahan dan peningkatan jumlah pemberhentian pekerja," katanya.

Sementara itu, RAM berkata langkah-langkah makro prudential yang diperkenalkan pada masa lepas, terus menyederhanakan harga rumah, yang kini sudah mencecah paras terendah.

Bagaimanapun, perubahan pesat langkah-langkah ini tidak dijangkakan, berdasarkan beberapa petunjuk penstabilan selain hasrat kerajaan, menerusi dasar-dasarnya, bagi membetulkan lonjakan harga kediaman pasca krisis kewangan global, menurutnya.

Firma penarafan itu berkata sektor hartanah komersial juga terjejas akibat kemerosotan ekonomi tahun lepas dan sentimen pengguna yang suram, namun, bekalan yang perlahan serta perancangan aktiviti ekonomi yang semakin meningkat. mengurangkan tekanan harga komersial.

"Kami melihat bajet yang diperluaskan pada tahun-tahun kebelakangan ini perlu untuk menangani isu-isu jangka panjang seperti populasi yang semakin tua dan mengubah ekonomi menjadi nilai tambah yang lebih tinggi," kata Ketua Penilaian Negara RAM, Esther Lai.

RAM berkata peningkatan perbelanjaan Singapura disokong oleh semakan semula dalam sumbangan pulangan pelaburan bersih Temasek Holdings (NIRC) pada 2016, berjumlah S$14.4 bilion (atau 3.5 peratus daripada KDNK) berbanding S$9.9 bilion pada tahun sebelumnya.

Pendirian fiskal berhemat kerajaan juga membolehkan pengumpulan rizab fiskal yang besar, berjumlah S$835 bilion (203 peratus daripada KDNK) pada Ogos 2017, menyediakan ruang fiskal yang mencukupi, katanya.

Dalam Bajet 2017, perbelanjaan ditumpukan kepada bidang seperti penjagaan kesihatan, pendidikan dan insentif kepada syarikat-syarikat untuk meningkatkan dan melabur dalam peningkatan teknologi, dengan lebihan fiskal dijangkakan mencapai S$1.9 bilion (0.5 peratus daripada KDNK) tahun ini.

Firma penarafan itu berkata kedudukan luar Singapura kekal antara kekuatan utamanya, dengan jangkaan lebihan akaun semasa sebanyak 20 peratus daripada KDNK tahun ini, didorong oleh prospek perdagangan yang lebih baik.

Republik itu katanya merupakan pemiutang luaran bersih, dengan kedudukan pelaburan antarabangsa bersih sebanyak US$ 635.3 bilion pada 2016, sebahagian besarnya disumbangkan oleh dana kekayaan negara yang besar.

"Kami juga melihat negara itu responsif dan berpandangan ke hadapan.

"Ini terbukti dalam usahanya untuk menggalakkan peningkatan teknologi untuk memperkukuh pertumbuhan produktiviti dan tumpuannya ke atas teknologi kewangan dalam lanskap yang berkembang dalam bidang ini dan kedudukan Singapura sebagai hab kewangan," kata RAM.

Sumber : Bernama/ur
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan