Images
  • pengilangan

Prospek perniagaan dalam pengilangan tidak berubah, enam bulan akan datang

SINGAPURA: Hampir empat daripada lima firma dalam sektor pengilangan menjangkakan persekitaran perniagaan bagi enam bulan akan datang kekal seperti suku sebelumnya.

Demikian menurut satu tinjauan yang dikeluarkan Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) hari ini (31 Okt).

Hasil tinjauan menunjukkan 77 peratus daripada syarikat-syarikat dalam sektor pengilangan menjangkakan prospek perniagaan kekal mendatar manakala 14 peratus menjangkakan perniagaan akan meningkat dan sembilan peratus lagi meramalkan prospek semakin merosot.

Menurut tinjauan itu lagi, kelompok industri pengilangan umum dan elektronik adalah yang paling kurang optimistik dengan masing-masing sembilan dan 11 peratus menjangkakan persekitaran yang kurang merangsangkan bagi enam bulan akan datang.

Bagi sektor pengilangan umum, unjuran lebih rendah itu disebabkan kegiatan sektor binaan yang lembab. Bagi kelompok elektronik pula, kebanyakan segmen menjangkakan prospek musiman perniagaan semakin perlahan bagi enam bulan mendatang.

Bagi peluang pekerjaan, tinjauan itu menunjukkan bahawa 11 peratus pengilang merancang untuk mengurangkan pengambilan pekerja pada suku keempat berbanding suku ketiga.

Tinjauan Jangkaan Perniagaan bagi Sektor Pengilangan bagi suku keempat 2017 dijalankan antara September dengan Oktober oleh Lembaga Kemajuan Ekonomi. 95 peratus daripada 429 syarikat pengilangan menyertai tinjauan itu.

 

- CNA/SM/sm

Komen Anda?

Top