Images
  • Chan Chun SIng
    Setiausaha Agung NTUC, Chan Chun Sing. (Gambar fail: Justin Ong)

Persatuan, dewan perniagaan penting dalam bantu perusahaan, kata Chan Chun Sing

SINGAPURA: Persatuan-Persatuan dan dewan-dewan perniagaan (TAC) memainkan peranan penting dalam membantu perusahaan-perusahaan menangani sekitaran ekonomi yang mencabar.

Demikian ditekankan oleh Menteri di Pejabat Perdana Menteri Chan Chun Sing.

"Mereka paling dekat dengan apa yang berlaku sekarang ini. Merekalah yang lebih memahami keperluan setiap industri dan sektor," kata beliau, yang bercakap di luar forum perniagaan yang dianjurkan oleh akhbar harian berbahasa Cina, Lianhe Zaobao hari ini (16 Mac).

Encik Chan berkata pemerintah sedang mengambil pendekatan lebih tertumpu untuk membantu perniagaan-perniagaan dalam iklim ekonomi yang berdepan dengan pelbagai cabaran. Ini berbeza dengan dasar-dasar yang dikeluarkan semasa krisis kewangan global pada tahun 2009, yang lebih luas, tambah beliau.

Beliau turut menyarankan agar satu program 'Perusahaan Masa Depan' - sama seperti inisiatif SkillsFuture pemerintah untuk menggalak pembelajaran tidak mengira usia - diterajui oleh persatuan-persatuan dan dewan perniagaan untuk memperkukuh keupayaan syarikat-syarikat Singapura.

Pengetahuan tentang industri boleh membantu mewujudkan langkah-langkah tertumpu bagi perusahaan-perusahaan kecil dan sederhana untuk menangani dengan lebih baik cabaran-cabaran musiman dan jangka panjang.

Encik Chan, yang juga Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), turut menyentuh tentang isu-isu berkaitan tenaga kerja asing di Singapura.

Menurut beliau, ia "bukan isu perangkaan", sebaliknya ia isu kualitatif dan sektor.

"Berapa ramai orang yang boleh kita ambil di peringkat makro bergantung kepada sejauh mana kita boleh menyepadukan mereka ke dalam masyarakat kita, sejauh mana prasarana kita boleh menampungnya," kata beliau.

Beliau menekankan bahawa pergantungan ke atas tenaga kerja berkemahiran rendah harus dikurangkan dan sebaliknya lebih fokus membawa masuk pekerja asing yang berkemahiran tinggi untuk melengkapi tenaga kerja tempatan.

"Maka secara keseluruhannya, kita boleh mewujudkan kerja yang lebih baik, lebih banyak, lebih bermutu bagi rakyat Singapura," kata beliau.

- CNA/nk

Komen Anda?

Top
>