Images
  • Tenaga & Kimia
    Encik Lim Hng Kiang. (Gambar: Wendy Wong)

Perancangan Perubahan Industri tenaga & kimia dilancarkan

SINGAPURA: Inovasi akan menjadi tumpuan utama dalam industri tenaga dan kimia pada masa akan datang.

Demikian diumumkan oleh Menteri Perdagangan dan Perusahaan (Perdagangan) Lim Hng Kiang semasa majlis perasmian Perancangan Perubahan Industri (ITM) tersebut hari ini (21 Okt).

ITM itu dibangunkan oleh pasukan berbilang agensi bersama rakan-rakan industri, kesatuan dan persatuan-persatuan perdagangan, yang menggariskan strategi-strategi yang bertujuan mengubah industri tersebut menjadi sebuah hab utama dalam bidang tenaga dan kimia serta dapat bersaing di peringkat global.

"Meskipun kita sudah melakukan yang terbaik sehingga berada di tahap ini sekarang, kita juga sedang berdepan dengan cabaran-cabaran baru pada masa akan datang," kata Encik Lim.

"Perkembangan pesat teknologi menjejas rangkaian proses dalam industri sementara ia membuka peluang-peluang baru. Dalam pada itu sekitaran operasi global terus berubah-ubah," tambah Encik Lim, merujuk kepada harga minyak yang tidak menentu dan permintaan yang kian meningkat bagi minyak dan bahan pelincir.

Menerusi usaha-usaha ITM, industri itu dijangka meraih nilai tambah pengilangan sebanyak S$12.7 bilion dan memperkenalkan 1,400 pekerjaan baru menjelang tahun 2025, kata Encik Lim.

ITM TUMPU KEPADA INOVASI

ITM itu akan memberikan tumpuan kepada inovasi dengan menggunakan teknologi untuk mengubah pengilangan bahan kimia yang sedia ada, dengan menambah penggunaan teknologi canggih bagi pengilangan.

"Teknologi-teknologi canggih bagi pengilangan akan membolehkan syarikat-syarikat untuk lebih bersaing dengan menangani had-had dari segi tanah, buruh dan karbon serta meningkatkan daya penghasilan," kata Encik Lim.

ITM itu juga sudah menyasarkan sekurang-kurangnya 20 loji, termasuk semua kilang penapisan minyak dan loji petrokimia, yang akan menggunakan teknologi-teknologi canggih pengilangan menjelang tahun 2020.

Untuk membuka peluang-peluang pertumbuhan di rantau ini, industri itu juga akan mempelbagaikan produk petrokimia dengan nilai tambah yang lebih tinggi. Ini termasuk bahan-bahan bagi syampu dan makanan haiwan.

Pemerintah juga akan bekerjasama dengan syarikat-syarikat untuk memperkukuh pengetahuan dan keupayaan industri serta memberikan sokongan kepada firma-firma yang berinovasi dengan rakan-rakan syarikat bagi mendatangkan huraian-huraian.

Misalnya, Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) dan A*STAR sudah memulakan kerjasama mewujudkan pelan teknologi pada tahun lalu untuk mengenal pasti dan menangani keperluan-keperluan dan jurang sama yang dialami oleh syarikat-syarikat. Pemerintah akan melabur dalam usaha tersebut.

ITM juga menyasarkan untuk menubuhkan atau meluaskan 20 pusat pembangunan aplikasi menjelang tahun 2025, dengan kenaikan sebanyak S$55 juta dalam perbelanjaan perniagaan bagi kajian dan pembangunan.

Lebih banyak kerjasama antara syarikat berbilang negara, perusahaan kecil dan sederhana (SME) serta institusi kajian dan pengajian tinggi juga akan menjadi tumpuan utama.

LEBIH BANYAK PEKERJAAN BARU TIDAK LAMA LAGI

Dengan perubahan dalam industri tenaga dan kimia, sekitar 1,400 pekerjaan baru akan diadakan menjelang tahun 2025.

"Bakat masih lagi nadi strategi kami," kata Encik Lim. "Kami akan terus melengkapkan rakyat Singapura dengan kemahiran-kemahiran yang diperlukan untuk kekal relevan dan meraih manfaat daripada peluang-peluang pertumbuhan."

Untuk melengkapkan rakyat Singapura dengan kemahiran-kemahiran melakukan tugas-tugas itu, satu Rangka Kerja Kemahiran bagi industri dilancarkan. Rangka kerja baru itu merangkumi enam laluan kerjaya, termasuk kejuruteraan pengeluaran dan proses, pembangunan aplikasi dan produk serta kajian dan pembangunan.

Program-program latihan untuk menimba kemahiran teknikal seperti pengurusan Internet of things dan aplikasi robotik dan teknologi automasi akan dilancarkan di bawah rangka kerja itu.

Untuk menarik lebih ramai pelajar menyertai industri, dua program baru bekerja dan belajar bagi para lulusan ITE akan dimulakan pada tahun depan.

Ini di samping empat Program Bekerja dan Belajar SkillsFuture yang dilancarkan awal tahun ini. Program itu sejauh ini sudahpun menempatkan lebih 65 lulusan ITE dan politeknik dalam syarikat tenaga dan kimia.

ITM tersebut dilancarkan di luar acara Singapore Chemical Industry Experience (Pengalaman Industri Kimia Singapura) edisi ke-10.

Dianjurkan oleh Majlis Industri Kimia Singapura, acara tahunan itu bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang peluang-peluang kerja dalam industri tersebut kepada para pelajar di institusi pengajian tinggi.

Buat masa ini, Singapura mempunyai tiga kilang penapisan minyak yang menghasilkan lebih 1.3 juta tong sehari, menjadikannya hab kilang penapisan minyak eksport yang kelima terbesar di dunia dan antara 10 hab kimia utama di dunia berdasarkan jumlah eksport kimia.

Industri itu menyumbang hampir S$78 bilion hasil pengeluaran dan sehingga tahun 2015 ia menggajikan lebih 28,400 pekerja. 

- CNA/NK/nk

Komen Anda?

Top