Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Penganalisis ramal ekonomi S'pura tumbuh 2.3% tahun ini

Para penganalisis meningkatkan ramalan pertumbuhan ekonomi Singapura bagi 2017 kepada 2.3 peratus, berbanding 1.5 peratus sebelum ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 15 Mar 2017 12:47PM Dikemas Kini : 21 Mar 2017 12:06AM

SINGAPURA: Para penganalisis meningkatkan ramalan pertumbuhan ekonomi Singapura bagi 2017 kepada 2.3 peratus, berbanding 1.5 peratus sebelum ini.

Demikian menurut tinjauan setiap suku yang dikeluarkan Penguasa Kewangan Singapura (MAS) hari ini (15 Mac).

Ini berbeza berbanding trend pertumbuhan yang diramal merosot dalam industri ini.

Para ahli ekonomi meramalkan ekonomi Singapura akan tumbuh 2.5 peratus pada 2017 pada Mac tahun lalu, kemudian meramalkan pertumbuhan itu akan mencecah 2.1 peratus, 1.8 peratus dan 1.5 peratus masing-masing dalam suku-suku berikutnya. Pemerintah sudah meramalkan pertumbuhan 1 hingga 3 peratus untuk tahun ini.

Ekonomi tumbuh 2 peratus pada 2016, lebih tinggi berbanding ramalan 1.4 peratus. Ini sebahagian besarnya didorong oleh prestasi lebih baik daripada jangkaan sebanyak 2.9 peratus pada suku keempat, melebihi ramalan median 0.8 peratus kali terakhir tinjauan itu dijalankan.

Bagi suku pertama tahun ini, para responden memberikan ramalan median pertumbuhan 2.6 peratus. Mereka juga meramalkan pertumbuhan 2.4 peratus pada 2018.

Para penganalisis juga lebih optimis tentang prestasi sektor pengilangan, dan meramalkan pertumbuhan 4.5 peratus berbanding 1.1 peratus dalam tinjauan sebelumnya. Jangkaan mereka bagi sektor kewangan dan insurans, serta borong dan perdagangan runcit, juga masing-masing naik sedikit daripada 1.8 peratus kepada 2 peratus dan daripada 1 peratus kepada 1.1 peratus.

Bagaimanapun, ramalan bagi sektor binaan jauh lebih rendah berbanding tinjauan sebelumnya, merosot dari 2.4 peratus kepada 0.3 peratus. Para ahli ekonomi juga kurang optimis tentang sektor penginapan dan khidmat makanan, dan menyemak ramalan pertumbuhan untuk 2017 dari 1.7 peratus kepada 1.3 peratus.

RAMALAN INFLASI 1% UNTUK 2017

Inflasi untuk tahun ini dijangka mencecah 1 peratus, tidak berubah berbanding ramalan para penganalisis pada tinjauan sebelumnya. Untuk suku pertama tahun ini, inflasi dijangka 0.8 peratus.

Inflasi teras - tidak termasuk kos penginapan dan kereta - dijangka 1.5 peratus untuk keseluruhan tahun ini, naik sedikit berbanding 1.3 peratus yang diramalkan dalam tinjauan sebelumnya. Ia juga diramalkan mencecah 1.3 peratus pada suku pertama.

Untuk 2018, inflasi tegar dijangka 1.3 peratus sementara inflasi teras MAS diramalkan 1.7 peratus.

Para ahli ekonomi yang ditinjau menjangkakan kadar pengangguran akan mencecah 2.4 peratus pada akhir tahun, tidak berubah daripada ramalan sebelum ini pada Disember.

Tinjauan Peramal Profesional MAS dijalankan setiap suku selepas data ekonomi yang terperinci dikeluarkan untuk tiga bulan mendatang.

Ramalan median dalam laporan terbaru ini adalah berdasarkan anggaran daripada 23 ahli ekonomi, menurut MAS.

Sumber : CNA/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan