Images
  • ocbc
    Gambar fail logo OCBC Bank.

OCBC beli unit niaga bank privet NAB di S'pura, Hong Kong

SINGAPURA: Bank OCBC pada hari ini (11 Mei) mengumumkan mencapai perjanjian untuk membeli unit perniagaan perbankan privet yang dimiliki bank National Australia (NAB) di Singapura dan Hong Kong.

Menurut OCBC, harga pembelian adalah sekitar nilai buku, atau nilai bersih aset perniagaan itu pada masa urus niaga dilakukan.

Pada akhir Februari 2017, perniagaan itu terdiri daripada portfolio gadai janji berjumlah kira-kira AS$1.7 bilion (S$2.39 bilion) kebanyakannya daripada pinjaman perumahan dan portfolio deposit bernilai sekitar AS$3.05 bilion (S$4.28 bilion) terdiri daripada deposit campuran mata wang, menurut OCBC.

OCBC menambah perjanjian itu membolehkannya mendapat akses kepada sekitar 11,000 pelanggan baru - lebih 7,000 di Singapura dan sekitar 4,000 di Hong Kong.

Tambahan pinjaman perumahan sebanyak S$2.39 bilion itu juga akan meningkatkan saiz keseluruhan portfolio gadai janji OCBC sekitar 4 peratus.

Ini berdasarkan buku pinjaman gadai janji sebanyak S$60 bilion pada akhir bulan Mac 2017.

Urus niaga itu, yang dijangka selesai sebelum akhir tahun ini tertakluk kepada kelulusan badan kawal selia, dijangka tidak akan mempunyai kesan ketara ke atas kedudukan modal bank OCBC.

Pengurus Besar NAB bagi Asia Neil Parekh menambah bahawa ia akan bekerjasama rapat dengan OCBC semasa tempoh peralihan bagi memastikan proses yang lancar. 

- CNA/ru

Komen Anda?

Top