Images
  • workers sg
    Orang ramai di kawasan pusat bandar Singapura. (Gambar hiasan: AFP/Roslan Rahman)

MOM: Hampir 5 daripada 10 kerja kosong pada 2016 untuk PMET

SINGAPURA: Hampir separuh, atau 48 peratus kerja kosong di Singapura setakat 30 September 2016 adalah untuk golongan karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET).

Demikian menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM) hari ini (7 Feb).

Menurut laporan Kerja Kosong 2016 MOM yang dikeluarkan hari ini, peratusan kerja kosong yang dibuka untuk PMET naik dari 39 peratus, atau 24,300, pada 2013 kepada 48 peratus, atau 25,800, tahun lalu.

Ini mencerminkan penyusunan semula ekonomi dan tenaga kerja, menurut MOM, sambil menambah jumlah kerja kosong tersebut kebanyakannya daripada khidmat kewangan dan insurans, khidmat profesional serta maklumat dan perhubungan.

Antara kerja kosong utama bagi PMET pada 2016 adalah sebagai guru dan karyawan latihan, eksekutif pengurusan, sofwe, pembangun Web dan berbilang media, jururawat berdaftar dan penolong jururawat, menurut laporan itu.

"Peratusan kerja kosong peringkat PMET sudah meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Ia dijangka terus naik sedang ekonomi disusun semula seiring dengan kemahiran dan profil pendidikan tenaga kerja yang semakin meningkat," menurut MOM.

Pada masa yang sama, terdapat kemerosotan pada kerja kosong bukan PMET, kebanyakannya dalam khidmat penginapan dan makanan, pembinaan, perdagangan borong dan runcit dan pengilangan, menurut MOM.

Di kalangan jawatan bukan PMET, kerja kosong paling banyak adalah untuk pekerja perkhidmatan dan penjualan (11,840), disusuli pekerja pembersihan, buruh dan pekerja seumpama itu (6,540), pekerja sokongan kerani (3,160), pengendali dan pemasang loji dan mesen (2,970) dan pekerja tukang serta pekerja lain berkaitan bidang itu (related trade workers) (1,910), menurut laporan itu.

KURANG MASA DIPERLUKAN UNTUK PENUHI KERJA KOSONG

Laporan itu juga mendapati bahawa peratusan kerja kosong yang tidak diisi bagi sekurang-kurangnya enam bulan pada 2016 adalah 36 peratus, merosot dari 39 peratus pada 2015 dan 41 peratus pada 2014.

Satu daripada setiap dua kerja kosong bukan PMET, seperti pekerja perkhidmatan dan penjualan dan pekerja tukang serta pekerja seumpama itu dalam bidang tersebut, kekal sukar dipenuhi. Namun, hanya sekitar dua daripada setiap 10 kerja kosong PMET tidak dipenuhi untuk sekurang-kurangnya enam bulan, menurut MOM.

Para majikan berkata gaji yang rendah, minggu kerja yang panjang dan kerja syif antara ciri-ciri yang menjadikan kerja kosong PMET tidak menarik bagi warga tempatan, sementara kurangnya pengalaman kerja yang diperlukan adalah sebab utama pekerjaan PMET sukar dipenuhi.

"Memandang ke hadapan, satu keutamaan adalah untuk memaksimumkan pemadanan antara pemohon kerja dan kerja kosong. Pemerintah sudah mempertingkatkan inisiatif SkillsFuture dan Suai Maju, dan akan terus memperkukuhkan pengambilan pekerja dan sokongan pengambilan pekerjaan bagi rakyat kami," menurut MOM. 

- CNA/nd

Komen Anda?

Top
>