Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

'Masa terburuk sudah berlalu' bagi ekonomi S'pura, MAS tidak tergesa-gesa ubah dasar

Data ekonomi Singapura menunjukkan pertumbuhan baru-baru ini tetapi Penguasa Kewangan Singapura (MAS) tidak dijangkakan untuk melakukan perubahan dasar semasa semakan dwi-tahunannya minggu ini, kata para pengamat ekonomi.

Anggaran Waktu Membaca:
'Masa terburuk sudah berlalu' bagi ekonomi S'pura, MAS tidak tergesa-gesa ubah dasar

Bangunan Penguasa Kewangan Singapura (MAS). (Gambar: AFP/Roslan Rahman)

Diterbitkan : 10 Oct 2017 10:22PM Dikemas Kini : 10 Oct 2017 10:24PM

SINGAPURA: Data ekonomi Singapura menunjukkan pertumbuhan baru-baru ini tetapi Penguasa Kewangan Singapura (MAS) tidak dijangkakan untuk melakukan perubahan dasar semasa semakan dwi-tahunannya minggu ini, kata para pengamat ekonomi.

Ini kerana bank pusat masih lagi berjaga-jaga terhadap tekanan inflasi dan pasaran pekerjaan tempatan yang lebih mantap. Buat masa ini, ramai penganalisis ekonomi berpendapat MAS tidak akan melakukan tindakan.

MAS menguruskan ekonomi Singapura menerusi matawang, bukan dengan menetapkan kadar faedah. Sebaliknya ia membenarkan mata wang untuk diapungkan pada paras yang tidak didedahkan. Ia mengubah lingkaran tersebut apabila ia ingin mengukuhkan ataupun melemahkan nilai mata wang Singapura.

Pada pertemuan sebelum ini pada April, MAS mengatakan ia akan mengekalkan dasar neutral buat "tempoh yang berpanjangan".

Dasar ini dilakukan meskipun adanya pertumbuhan pada ekonomi Singapura tahun ini. Dengan ekonomi global yang semakin pulih, sektor pengeluaran mencatat pertumbuhan baik pada suku terakhir 2016. Ini memberi manfaat kepada sektor perdagangan dan membantu pertumbuhan secara keseluruhannya.

Namun begitu, ini tidak cukup bagi MAS untuk melakukan perubahan pada dasar yang berasaskan kadar mata wang minggu ini, menurut penganalisis.

Salah satu faktor utama adalah pemulihan yang tidak begitu meyakinkan buat ekonomi yang lebih luas lagi, dengan pertumbuhan yang kukuh hanya "pada beberapa sektor ekonomi Singapura sahaja," menurut pakar ekonomi UOB Francis Tan.

Selain pertumbuhan utama dalam sektor pengeluaran seperti semikonduktor dan kelompok kejuruteraan jitu, Encik Tan mengatakan pertumbuhan bagi kelompok marin dan luar pesisir, terus merosot.

Penggunaan domestik dan pelaburan kekal lemah, khususnya perlaburan yang merosot 7.3 peratus setiap tahun pada suku kedua "yang hampir sama dengan kelemahan yang dicatat pada Krisis Kewangan Sedunia" - kemerosotan sebanyak 7.7 peratus pada suku keempat 2008.

Sementara itu, inflasi - salah satu pertimbangan menggubal dasar buat MAS - kekal pada paras 1 hingga 2 peratus, menurut Cik Selena Ling, ketua kajian dan strategi perbendaharaan OCBC.

Dengan itu, bank pusat dijangka mengekalkan dasarnya pada Oktober tetapi "akan membuka pintunya pada 2018, sedang ia menunggu tanda-tanda inflasi".

Namun demikian, terdapat beberapa pakar ekonomi yang berpendapat sebaliknya.

Encik Saktiandi Supaat, ketua kajian FX di Maybank Singapore, berpendapat "tiada alasan kuat" bagi MAS untuk mengekalkan dasar neutral kerana pertumbuhan ekonomi.

Kelengahan dalam mengubah dasar bermaksud bank pusat itu harus mengejar dan mengetatkan lebih agresif, menurut beliau. Pertemuan pada bulan Oktober merupakan "peluang yang baik" bagi MAS mengubah dasarnya dan kepada lebih cenderung untuk menaikkan sedikit nilai mata wang.

JANGKAKAN KEJUTAN BAIK BUAT GDP SUKU KE-3

Keputusan dasar terbaru MAS dijangka dikeluarkan bersamaan perangkaan awal GDP suku ketiga.

Dalam satu nota yang dikeluarkan hari ini (10 Okt), pakar-pakar ekonomi DBS mengatakan mungkin terdapat "kejutan baik" pertumbuhan 4.8 peratus , naik dari 2.9 peratus pada suku sebelumnya, "satu lagi kemajuan yang baik" dalam sektor pengeluaran.

Mengikut kiraan dari suku tahun kepada suku seterusnya, ekonomi boleh berkembang sehingga 7.3 peratus pada tempoh Julai hingga September, pacu dari 2.2 peratus buat suku kedua.

DBS turut menyatakan perangkaan bagi suku ketiga mungkin yang paling kukuh pada tahun ini.  

Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan