Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Makin banyak syarikat manfaatkan sokongan Pusat SME

Pusat-pusat SME merupakan bahagian penting dalam rangkaian sokongan untuk syarikat-syarikat kecil dan sederhana (SME).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 05 Apr 2017 12:21PM Dikemas Kini : 05 Apr 2017 11:19PM

SINGAPURA: Pusat-pusat SME merupakan bahagian penting dalam rangkaian sokongan untuk syarikat-syarikat kecil dan sederhana (SME).

Dan jumlah syarikat yang memanfaatkan sokongan ini kian bertambah, kata Menteri Negara Kanan Perdagangan dan Perusahaan Sim Ann, hari ini (5 Apr).

Bercakap di Sidang Pusat SME, Cik Sim berkata pusat-pusat tersebut kekal sebagai "rujukan pertama bagi SME" dan menawarkan sesi rundingan percuma tentang teknologi dan skim-skim sokongan yang sedia ada.

Pusat-Pusat SME merupakan inisiatif yang dimulakan SPRING Singapore pada 2013 untuk memberikan SME nasihat perniagaan dan membantu mereka mempunyai akses lebih baik kepada skim-skim Pemerintah. Kerjasama agensi perdagangan itu dengan Persatuan Rakyat (PA) dalam skim tersebut dilanjutkan tiga tahun lagi pada April lalu.

Sekarang ini terdapat 12 pusat, termasuk lima pusat utama yang ditempatkan di persatuan-persatuan dan pejabat perdagangan. Tujuh lagi pusat satelit ditempatkan di Majlis-Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) serta di Pusat Masyarakat Ang Mo Kio dan Kelab Masyarakat Changi Simei.

Menurut perangkaan terkini SPRING Singapore, kesemua 12 Pusat SME itu mendampingi sekitar 30,600 syarikat tahun lalu.

Cik Sim dalam ucapannya berkata bilangan SME yang disokong pusat-pusat itu dalam pembangunan keupayaan dan operasi sudah meningkat hampir tiga kali ganda dari sekitar 600 pada 2013 kepada 1,700 tahun lalu.

Jumlah SME yang menerima nasihat tentang peningkatan penghasilan juga hampir naik seganda dari sekitar 800 pada 2013 kepada 1,500 pada 2016, tambahnya.

Cik Sim berkata memandang ke hadapan, Pusat-Pusat SME akan terus menjalankan cara-cara yang lebih berkesan untuk menyokong perusahaan-perusahaan. Contohnya, mereka akan mengumpulkan sumber-sumber dan idea-idea bagi SME dari industri atau lokasi yang sama untuk mencari huraian bagi masalah-masalah yang sama.

Sebuah Hab Teknologi Digital SME yang baru akan dibuka pada suku ketiga 2017 untuk memberikan bantuan lebih khusus kepada SME dalam bidang-bidang seperti keselamatan siber dan analisis data, kata Cik Sim.

SPRING juga menjangkakan akan mendedahkan senarai pakej teknologi yang sudah disiapkan dan huraian-huraian yang sudah ditauliah, yang akan dikenali sebagai Tech Depot, pada suku kedua tahun ini, tambahnya.

Huraian-huraian ini akan membantu SME mempertingkatkan proses seperti pengurusan rantaian bekalan dan pemantauan inventori dan aset, kata Cik Sim.

Sumber : CNA/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan