Images
  • China
    Sektor e-dagang sedang berkembang bagi permintaan ruang logistik. (Gambar: AFP / Eric Piermont)

Kumpulan China tawarkan AS$11.6b bagi perolehi firma gudang S'pura

SINGAPURA: Sebuah konsortium China pada Jumaat (14 Julai) menawarkan lebih AS$11 bilion bagi memerolehi Global Logistic Properties Ltd, sebuah syarikat Singapura yang menyediakan gudang-gudang untuk syarikat Amazon China dan Walmart, sedang sektor e-dagang memacu permintaan bagi ruang logistik.

Menerusi pemfailan yang dibuat dengan Bursa Saham Singapura, kedua-dua pihak menyatakan ia "berbesar hati untuk mengumumkan mengenai pemerolehan yang disarankan itu" setelah GLP memilih Nesta Investment Holdings sebagai syarikat pembida pilihannya.

Di bawah perjanjian itu, Nesta akan membeli saham GLP pada harga S$3.38 bagi setiap satu, dengan menetapkan nilai syarikat itu pada sekitar S$16 bilion (AS$11.6 bilion).

Data yang dikumpulkan oleh Bloomberg menunjukkan bahawa perjanjian itu merupakan pembelian saham ekuiti privet paling besar yang pernah dibeli dari sebuah syarikat Asia dengan nilai usaha.

Ia bakal menjadi perjanjian logistik kedua terbesar tahun ini selepas China Investment Corp bersetuju untuk memerolehi syarikat logistik Eropah, Blackstone Group LP dengan nilai 12.25 bilion euro (S$13.8 bilion) pada bulan Jun, menurut Bloomberg.

GLP - dengan dana milik negara GIC adalah pemegang saham terbesar syarikat itu dengan hampir 37 peratus saham - memiliki dan menguruskan portfolio yang merangkumi kemudahan-kemudahan logistik moden di China, Jepun, Amerika Syarikat dan Brazil.

Antara para pelanggannya adalah Amazon China, WalMart, Adidas, FedEx dan DHL.

GLP juga adalah salah sebuah pengurus dana hartanah yang terbesar di dunia dengan memiliki aset bernilai sekitar $39 bilion, menurut pemfailan yang dibuat dengan Bursa Saham Singapura.

Lelaman seperti Amazon dan Alibaba yang kian meningkat bermakna para pelanggan kini boleh membeli sebarang produk seperti telefon bimbit dan peralatan sukan secara online dan mengirimkannya secara langsung kepada para penerima, sekaligus memacu pertumbuhan bagi sektor e-dagang.

Ia juga meningkatkan permintaan bagi ruang gudang di seluruh dunia bagi memudahkan kegiatan pengiriman sedemikian, kata para penganalisis.

eMarketer, syarikat penyelidikan yang berpangkalan di Amerika Syarikat, menyatakan bahawa hasil penjualan online dijangka mencecah S$1.9 trilion pada tahun ini, dan melebihi S$4.0 trillion menjelang tahun 2020.

Nesta terdiri daripada lima syarikat China, termasuk syarikat pelaburan ekuiti privet, HOPU Logistics Investment Management, dan Bank of China Group Investment.

Perjanjian itu dijangka dimuktamadkan pada atau sebelum 14 April tahun depan, bergantung kepada kelulusan para pemegang saham.

GIC memberi jaminan kepada Nesta bahawa ia akan menyokong pembelian saham itu.

Saham GLP ditutup hampir 22 peratus lebih tinggi semalam, selepas perjanjian itu diumumkan. 

- CNA/ai

Komen Anda?

Top