Images
  • singapore skyline
    Latar langit kawasan perniagaan di Singapura. (Foto: AFP/ROSLAN RAHMAN)

Kian ramai pelabur manfaatkan wadah 'crowdfunding'; pakar beri amaran risiko

SINGAPURA: Dengan pulangan yang lebih tinggi dan menarik, kian ramai pelabur yang memilih untuk memanfaatkan wadah pendanaan awam atau 'crowdfunding' seperti 'MoolahSense', 'Funding Societies' dan 'Capital Match' untuk melaburkan wang mereka.

Malah sebahagian daripada wadah itu menjanjikan pulangan lebih 10 peratus dan ini jauh lebih tinggi berbanding pilihan pelaburan konservatif seperti deposit tetap dan Dana Dagangan Bursa (ETF).

'Crowdfunding' atau wadah pendanaan orang ramai, membolehkan perusahaan meminjam wang dari para pelabur.

Meskipun kebanyakan wadah sedemikian disediakan buat para pelabur yang ditauliah, hanya segelintir menawarkan alternatif kepada para pelabur runcit.

Bagi perniagaan-perniagaan, ini juga bermakna mereka mempunyai pembiayaan alternatif, selain pinjaman bank dan bursa saham.

Menurut wadah MoolahSense, ia sudahpun membantu lebih 150 perusahaan kecil dan sederhana mengumpulkan lebih $21 juta sejauh ini.

Ia merupakan antara wadah yang pertama seumpamanya di Singapura dan sudah memperolehi lesen Khidmat Pasaran Modal dari Penguasa Kewangan Singapura (MAS).

PENDANAAN AWAM BAGI PELABUR RUNCIT

Lazimnya, para pelabur runcit mesti berdaftar di wadah-wadah tersebut sebelum diberikan akses kepada pinjaman.

Jumlah minimum pelaburan dalam lingkungan antara $100 hingga $1,000, bergantung kepada wadah yang dipilih pelabur.

Sepanjang tempoh tiga tahun lalu, pengasas dan CEO MoolahSense Lawrence Yong berkata jumlah pelaburnya sudah meningkat.

"Kami melihat jumlah pelabur yang berdaftar dengan wadah kami naik lebih seganda, dari tahun 2015 hingga 2016. Maka, jumlah pelabur kami yang berdaftar sekarang sekitar 10,000," kata Encik Yong.

"Kami juga melihat trend ini kian tumbuh dengan pesat dari bulan ke bulan, apabila kami memperkenalkan wadah kami kepada para pelabur yang berminat."

PULANGAN TINGGI, RISIKO PUN TINGGI

Sekalipun pulangannya lebih tinggi, risiko yang diambil para pelabur runcit juga lebih tinggi, menurut pakar-pakar dalam bidang pelaburan.

Misalnya, para pelabur runcit mengambil pinjaman yang tidak berjaya diperolehi dari bank, kata CEO Motley Fool, David Kuo.

Beliau turut memberi amaran: "Hakikatnya mereka tidak boleh mendapatkan pinjaman dari bank, mungkin kerana mereka tidak mempunyai sejarah kredit yang baik. Kedua, mungkin kerana mereka tidak meminta pinjaman yang mencukupi untuk menunjukkan yang mereka patut diberi pinjaman. Ketiga pihak bank mungkin menganggap mereka dari kalangan yang berisiko tinggi."

Selain itu terdapat juga risiko pinjaman yang tidak dibayar balik. Sejauh ini bagi tahun 2016, menurut MoolahSense, pihaknya melihat "kurang daripada tiga peratus pinjaman yang tidak dibayar balik".

Wadah-wadah itu juga memerlukan para pengarah syarikat yang membuat pinjaman supaya menjadi penjamin peribadi.

Namun menurut peguam korporat Robson Lee, yang juga rakan kongsi di Gibson, Dunn & Crutcher, risiko kegagalan amat tinggi dan para pelabur mesti mampu "menanggungnya dan berupaya membatalkan" pelaburan dalam kes-kes seumpama itu.

Menurut pakar-pakar, untuk kekal berhemat, para pelabur tidak seharusnya melabur wang mereka pada satu tempat. Sebaliknya mereka perlu mempelbagaikan portfolio supaya dapat mengurangkan risiko. 

- CNA/nk

Komen Anda?

Top