Images
  • kwek leng beng
    Kwek Leng Beng. (Gambar: Wikipedia) 

Keluarga Quek ketujuh terkaya di Asia

KUALA LUMPUR: Keluarga Kwek/Quek yang memiliki Hong Leong Group dari Singapura dan Malaysia merupakan yang ketujuh terkaya di Asia dengan nilai bersih berjumlah AS$23.3 bilion (S$32 bilion). Demikian menurut senarai Keluarga Terkaya di Asia Forbes 2017. 

Keluarga Ambani dari India berada pada kedudukan pertama dalam senarai buat kali pertama dengan nilai bersih berjumlah AS$44.8 bilion (S$61 bilion) diikuti keluarga Lee dari Korea Selatan dengan kekayaannya meningkat AS$11.2 bilion (S$15 bilion) kepada AS$40.8 bilion (S$55 bilion) tahun ini. 

Nilai bersih keluarga Ambani naik sebanyak AS$19 bilion (S$26 bilion)susulan saham dalam konglomerat Mukesh Ambani, Reliance Industries, melonjak pada tahun lalu berikutan margin penapisan yang lebih baik dan permintaan yang dihasilkan oleh cabang telekomnya, Reliance Jio.

Secara keseluruhannya, India berada pada kedudukan tertinggi dalam senarai buat kali pertama dengan 18 keluarga, diikuti Hong Kong dengan sembilan keluarga.

Editor Forbes Asia Tim Ferguson berkata nilai kekayaan jutawan yang aktif dan terkaya di Asia membentuk semula kedudukan senarai yang dipacu legasi.

“Berdasarkan saiz India, keluarga Ambani tidak dominan di sana seperti keluarga Lee (Kumpulan Samsung) di Korea Selatan. Bagaimanapun, dengan generasi Mukesh yang akan datang yang terlibat dalam operasi telekom Reliance Jio, ia boleh mencatat sejarah pada tahun-tahun akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini (15 Nov).  

Antara enam keluarga yang tersenarai buat kali pertama adalah keluarga Chey (Nombor 39, AS$6.3 bilion (S$9 bilion)) SK Group dari Korea Selatan. Saham SK Hynix mereka, pembekal cip memori komputer, meningkat dua kali ganda selepas ia mengumumkan perjanjian untuk mengambil alih pegangan dalam Toshiba Memory bernilai AS$3.5 bilion (S$5 bilion).

Nilai kekayaan secara kolektif 50 keluarga terkaya di Asia dalam senarai tersebut berjumlah AS$699 bilion (S$950 bilion), naik 35 peratus, berbanding tahun lalu. 

Sejumlah 43 keluarga daripada senarai tahun 2016 menyaksikan nilai kekayaan mereka meningkat berbanding tahun lalu susulan peningkatan 25 peratus dalam pasaran saham Asia bagi tahun berakhir 31 Oktober, menurut MSCI AC Asia Index. 

Minimum kekayaan bersih untuk layak dalam senarai tersebut adalah AS$5 bilion (S$7 bilion), meningkat AS$1.6 bilion (S$2 bilion), tahun lalu.

- BERNAMA/SM/sm

Komen Anda?

Top