Images
  • cars showroom
    Gambar fail kereta-kereta di sebuah bilik pameran di Singapura.

Jualan runcit merosot 1.9% pada Dis dek jualan kenderaan menguncup

SINGAPURA: Jualan runcit di Singapura merosot 1.9 peratus pada bulan Disember berbanding bulan sebelumnya.

Ini sedang jualan kenderaan menguncup semasa tempoh akhir tahun, menurut data yang dikeluarkan Jabatan Statistik (SingStat) hari ini (15 Feb).

Tidak termasuk jualan kenderaan bermotor, jualan runcit naik 0.7 peratus bulan lalu.

Apabila dibandingkan dengan tahun sebelumnya, jualan runcit naik 0.4 peratus, sebahagian besarnya disebabkan peningkatan pada sektor barangan perubatan dan kelengkapan dandanan diri. Tidak termasuk kenderaan bermotor, jualan runcit naik 0.3 peratus.

Jumlah nilai jualan runcit secara keseluruhan bagi bulan Disember dianggarkan S$4.2 bilion, serupa dengan pada Disember 2015.

Jualan kenderaan bermotor merosot 11.9 peratus pada Disember berbanding November. Jualan komputer dan kelengkapan telekomunikasi jatuh 6.8 peratus, sementara jualan gedung serbaneka merosot 2.2 peratus pada tempoh yang sama.

Sektor-sektor lain melaporkan jualan lebih tinggi pada bulan Disember berbanding bulan sebelumnya, iaitu antara 0.1 hingga 6 peratus.

Jualan khidmat makanan dan minuman merosot 2.2 peratus pada bulan itu berbanding bulan sebelumnya dan jatuh 0.3 peratus berbanding tahun sebelumnya. Jumlah nilai jualan dalam sektor itu dianggarkan S$695 juta, lebih rendah berbanding S$698 juta pada Disember 2015, menurut SingStat.

Indeks Jualan Runcit serta Indeks Khidmat Makanan dan Minuman menilai prestasi jangka pendek industri-industri runcit dan F&B berdasarkan rekod jualan kedua-dua industri itu.

Perangkaan jualan tidak termasuk cukai seperti GST dan COE.

- CNA/nd

Komen Anda?

Top
>